Anda di sini: Laman Utama | Nasional »

Najib: Tiada niat campur tangan urusan dalaman Palestin

comments
Najib: Tiada niat campur tangan urusan dalaman Palestin
KAHERAH: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata lawatan beliau ke Gaza adalah lawatan kemanusiaan dan bukan mahu campur tangan dalam urusan dalaman Palestin.

Sekaligus lawatan itu mempamerkan sokongan yang cukup kuat daripada rakyat dan kerajaan Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin termasuk di Gaza yang mendapat tekanan hebat daripada keganasan Israel selama lapan hari pada November tahun lepas.

Keganasan yang dilakukan oleh Israel di Gaza amat menyayat hati rakyat Malaysia dan dengan perkembangan terkini yang melibatkan rakyat Malaysia dalam menghulurkan bantuan, Najib berkata adalah amat wajar beliau melawat wilayah Palestin itu bagi menyatakan sokongan terhadap perjuangan mereka.

Najib berkata demikian dalam sidang akhbar Rabu di hari terakhir lawatan kerja tiga hari beliau di Mesir yang bermula Isnin lepas sebelum berangkat menghadiri Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland.

Najib juga berkata lawatan Selasa memberi peluang kepada beliau menyatakan sokongan kepada Fatah dan Hamas untuk menubuhkan kerajaan perpaduan secepat mungkin.

Kewujudan kerajaan perpaduan antara Fatah dan Hamas penting bagi rakyat Palestin iaitu pra-syarat untuk mereka mendapatkan kejayaan yang diidam-idamkan dalam perjuangan mereka, katanya.

"Saya telah tegaskan kepada (Perdana Menteri Palestin) Ismail Haniyeh dan saya ulangi dengan (Presiden Mesir Mohamed) Morsi dalam pertemuan malam tadi supaya Mesir menjadi broker atau orang tengah," katanya.

Najib berkata Morsi telah menetapkan jadual untuk dua pihak iaitu Fatah dan Hamas untuk meneruskan rundingan sehingga dapat menubuhkan kerajaan perpaduan dalam masa terdekat dan Morsi optimis mengenai rundingan itu.

Ditanya mengenai dakwaan Presiden Palestin Mahmoud Abbas tidak senang hati dengan lawatan beliau, Najib berkata mungkin ada salah faham tetapi beliau telah menjelaskan kepada wakil Fatah di sini semalam bahawa isu terkini Palestin ialah mengenai penderitaan rakyat di Gaza bukannya Tebing Barat.

"Saya tidak dapat lawat Ramallah (Tebing Barat yang dikuasai Fatah) yang ruang udaranya di bawah kawalan Israel dan Israel tidak akan memberikan kebenaran melainkan kita ada hubungan diplomatik dengan Israel," katanya.

Najib berkata rancangan asal beliau untuk melawat kedua-duanya, Tebing Barat dan Gaza, tetapi tidak dapat dilaksanakan kerana sekatan yang sedia ada di Tebing Barat.

Justeru, Najib berkata lawatan beliau ke Gaza jangan disalah tafsir di mana ia tidak memberikan kelebihan dan kekurangan kepada Hamas mahupun Fatah, sebaliknya Malaysia menggesa kerajaan perpaduan yang dianggotai Hamas dan Fatah menjadi kenyataan dalam masa terdekat.

Najib juga berkata kerajaan perpaduan di Palestin adalah amat penting supaya keputusan pilihan raya Israel yang berlangsung semalam dikhuatiri akan membentuk kerajaan yang mengamalkan dasar yang lebih keras terhadap Palestin.

Beliau juga berkata isu Palestin amat dekat di hati beliau di mana semasa beliau menjadi Menteri Pelajaran dan Pertahanan beliau sendiri telah menaja dua kanak-kanak Palestin.

Untuk menonton banyak lagi program Astro terkini, layari Astro on the Go http://onthego.astro.com.my

Tag: najib razak, gaza, palestine