Anda di sini: Laman Utama | Pilihan Raya »

PRU-13: BN, Pakatan dalam kedudukan seimbang

comments
PRU-13: BN, Pakatan dalam kedudukan seimbang

PLAY Click to Expand & Play

KUALA LUMPUR: Parti Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) dilihat berada dalam kedudukan seimbang untuk memenangi Pilihan Raya ke-13 (PRU13).

Berdasarkan satu kajian yang dilakukan oleh Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) sepanjang 17 hari mulai 4 April (sehari selepas Hari Pembubaran Parlimen) hingga 20 April (Hari Penamaan Calon) mendapati kedua-dua parti telah mendapat sokongan melebihi 40 peratus.

Pengarah UMCEDEL, Profesor Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman berkata untuk pertama kali dalam sejarah, kedua-dua parti berada dalam situasi yang seimbang dan akan ‘bertarung’ sehingga ke ‘garisan penamat’.

Malah kedua-dua parti ini hanya dibezakan dengan lima peratus margin perbezaan dan agak rumit untuk menentukan pemenang dalam pilihan raya ini.

Kedua-duanya, BN dan PR berada pada kedudukan seimbang untuk memenangi pilihan raya ke 13 yang bakal berlangsung pada 5 Mei depan.

“Dalam konteks politik di Malaysia sekarang, tiada parti boleh mengatakan bahawa mereka adalah pemenang kerana perjalanan masih lagi jauh,” kata Mohammad Redzuan kepada pemberita di Universiti Malaya semalam.

Siri-siri pilihan raya sebelum tahun 2008, jelas menunjukkan bahawa parti pembangkang tiada langsung tanda-tanda potensi untuk memenangi pilihan raya.

Namun, ianya tidak lagi pada pilihan raya yang bakal menjelang tiba ini dan dengan sembilan hari lagi yang tinggal sebelum hari pengundian, pelbagai perkara boleh berlaku termasuk perubahan drastik dalam corak pengundian.

“Faktor ini merujuk kepada bagaimana masyarakat memahami dan respon kepada manifesto yang dikeluarkan oleh kedua-dua parti  ini. Pemahaman terhadap kedua-dua manifesto ini adalah penting kerana ia mampu mengubah corak pengundian itu,” katanya lagi.

Selain itu, terdapat juga faktor pengubah corak pengundian seperti penglibatan calon-calon bebas dalam pilihan raya kali ini.

“Kita tidak jangka bahawa akan terdapat ramai calon-calon bebas bertanding untuk pilihan raya kali ini. Oleh hal demikian, ini akan menjejaskan upaya dan usaha jentera pilihan raya kedua-dua parti (BN dan PR) itu dan sekaligus akan mengubah sedikit demi sedikit pola pengundian itu nanti.

Malah, pertembungan sesama sendiri antara Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Islam Semalaysia (PAS) juga menyumbang kepada perubahan itu.

Beliau turut menambah, meskipun terdapat kecenderungan masyarakat untuk menerima manifesto yang dikeluarkan oleh pembangkang, ini tidaklah bermaksud bahawa mereka juga akan menterjemahkannya di atas kertas undi.

“Harus diingat, penerimaan itu bukan bererti mengundi. Ianya tidak semestinya akan diterjemahkan memalui pengundian dan dalam situasi ini kedua-dua parti harus membuktikan bahawa manifesto mereka benar-benar berkesan dan memberi manfaat kepada masyarakat,” kata beliau.

Sementara itu, dalam tempoh berkenaan juga, kajian mendapati terdapat kecenderungan oleh pengundi Cina memilih untuk pembangkang.

“Terdapat kecenderungan dari pengundi Cina memilih pembangkang sebagai pilhan mereka manakala kaum Melayu akan terus setia bersama BN. Kajian itu juga menunjukkan bahawa pengundi Cina sudah lama membuat keputusan tersebut dan mereka akan kekal dengan keputusan itu sementara itu pengundi bangsa Melayu dilihat lebih bersikap ‘atas pagar’ dan hanya akan mengubah keputusan mereka di saat-saat akhir sebelum pilihan raya,” kata beliau lagi.

Mohammad Redzuan turut berkata manifesto yang diperkenalkan oleh kedua-dua parti tersebut sebenarnya tidak merangkumi keseluruhan masyarakat dan hanya berfokuskan kepada kelompok masyarakat tertentu sahaja di mana sokongan mereka inilah yang sangat-sangat ditagih.


Berita mula diterbitkan pada: April 26, 2013 07:30 (MYT)

Untuk menonton banyak lagi program Astro terkini, layari Astro on the Go http://onthego.astro.com.my

Tag: BN, Pakatan Rakyat, UMCEDEL, Profesor Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman, PRU-13