Anda di sini: Laman Utama | Nasional »

Sekolah pondok Pak Ya dan PRK Sungai Limau

comments
Sekolah pondok Pak Ya dan PRK Sungai Limau
YAN: Tragedi kebakaran pada malam 22 September 1989 di sekolah pondok Pak Ya yang meragut nyawa 27 orang pelajarnya pernah mengemparkan penduduk Sungai Limau.

Peristiwa itu kini hanya tinggal memori dihati ibu bapa yang kehilangan anak mereka, malah mungkin masih ada yang termimpi-mimpi suara mereka merintih meminta tolong ketika api menjilat tubuh mereka.  

Tetapi ketika kejadian berlaku saya masih lagi bayi, baru belajar berjalan, susah untuk saya mengetahui apa yang berlaku ketika itu.

Cerita mengenai pondok Pak Ya hanya diceritakan kepada saya di warong-warong kopi oleh penduduk di Sungai Limau.

Hendak dijadikan cerita, menurut penduduk kampung, kerajaan BN ketika itu memberi bantuan bagi membangunkan semula pondok itu dan kini mempunyai lebih 700 pelajar dan dikenali sebagai Sekolah Menengah Agama Taufikah Khairiah Al- Halimiah.

Sekolah yang terletak di kawasan Padang Lumat itu dikatakan kubu kuat PAS kerana menerima undi yang banyak setiap kali berlaku Pilihan Raya selain faktor Allahyarham Ustaz Azizan Abdul Razak yang mempunyai hubungan baik dengan pendidik di sekolah itu.

Namun pada pemilihan pada tahun 2004, PAS dikatakan kehilangan undi di kubu kuat mereka kerana pengetua sekolah ketika itu bercakaran dengan Ustaz Azizan dan perkara itu juga dikatakan akan berulang pada Pilihan Raya Kecil kali ini.

Itu yang dikatakan penduduk kampung!

Pada PRU yang lalu, daripada 19 daerah mengundi, BN hanya menang 6 manakala PAS 13 daerah mengundi.

Tetapi sumber dalaman BN menyatakan  hasil kajian "war room" mereka menyatakan kawasan Padang Lumat dan beberapa kawasan lain juga akan berjaya ditawan sekaligus meencerahkan lagi peluang mereka merampas DUN Sungai Limau setelah 5 penggal dikuasai Allahyarham Ustaz Azizan.

Beberapa kawasan juga menunjukkan mereka mendahului berdasarkan bacaan tertentu, antaranya Kampung Titi Batu,kampung asal calon BN dan kawasan Sungai limau  yang menjadi lokasi "command centre" BN dimana ia menempatkan bilik gerakan Wanita, Puteri dan Pemuda.

Ia dikuatkan lagi dengan kenyataan Ahli Parlimen Langkawi Datuk Ir Nawawi Ahmad yang menyatakan setiap UMNO negeri mempunyai "kawasan angkat" yang perlu diberi perhatian dan kawasan mereka adalah di Padang Lumat.

Hasil risikan "war room" BN juga mendapati ruang untuk mereka mendapatkan undi kaum Cina yang mewakili 6.9 peratus jumlah pengundi keseluruhannya cerah.

Mungkin "war room" PAS juga mendapat bacaan yang sama, maka tidak hairanlah apabila Pesuruhjaya PAS Kedah Datuk Mahfuz Omar meletakkan sasaran untuk menang tipis dengan majoriti mudah sebanyak 500 undi, jumlah yang jauh lebih kecil ketika PRU ke-13 lalu.

Tetapi PAS juga dilihat mempunyai senjata yang tajam dengan memainkan isu tempatan yang dekat dihati pengundi yang kebanyakkannya pekerja sawah padi seperti isu kenaikan subsidi beras.   

Apa pun, 27,222 pemilih di DUN Sungai Limau pastinya mempunyai alasan mereka sendiri sama ada untuk "Berani Berhijrah atau "Kekal" dengan yang lama.

Wallahualam.

Untuk menonton banyak lagi program Astro terkini, layari Astro on the Go http://onthego.astro.com.my

Tag: Sungai Limau, PRK Sg. Limau, Sekolah Pondok Pak Ya