MH17
MH17
Anda di sini: Laman Utama | Nasional »

Sosma terbukti berjaya tangani ancaman keselamatan negara

comments
Sosma terbukti berjaya tangani ancaman keselamatan negara
KUALA LUMPUR: Sekalipun tanpa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1970, Malaysia berjaya menangani ancaman keselamatan negara dengan undang-undang keselamatan baharunya, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (Sosma) 2012.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata kejayaan itu terbukti apabila pasukan keselamatan mampu membendung insiden pencerobohan pengganas di Lahad Datu dan Semporna di Sabah.

"Di bawah akta baharu ini, bukan sahaja mengimbangi hak asasi di peringkat antarabangsa tetapi mengimbangi kepentingan nasional dan keselamatan nasional. Dalam kes ini keselamatan dan kepentingan rakyat dan negeri Sabah," katanya ketika melakukan lawatan kerja di Tawau, hari ini.

ISA dimansuhkan 31 Julai 2012 dan diganti dengan Sosma yang berkuat kuasa pada tahun yang sama.
Dalam krisis pencerobohan di Sabah, 121 individu yang dipercayai terlibat dengan pengganas dari selatan Filipina ditahan di bawah Sosma.

Lapan warga Filipina yang ditahan dibawah Sosma, didakwa di Mahkamah Tinggi Tawau atas pertuduhan melancarkan perang ke atas Yang di-Pertuan Agong dan menganggotai kumpulan pengganas mengikut Kanun Keseksaan, 21 Mac lalu.

Pada masa sama, Hishammuddin mengumumkan pewujudan talian terus 088-488850 ke bilik gerakan Bahagian Keselamatan Dalam Negeri di Kota Kinabalu untuk rakyat membantu menyalurkan maklumat kepada pasukan keselamatan dalam membanteras penceroboh dari selatan Filipina di negeri itu.

Sementara itu, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman yakin Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE) berupaya menjadi enjin pertumbuhan dan melonjakkan ekonomi Sabah ke tahap lebih tinggi.

Beliau berkata ESSZONE juga akan memantapkan kestabilan di kawasan timur Sabah, Laut Sulu dan negara anggota Kawasan Pertumbuhan Asean Timur (BIMP-EAGA) iaitu Brunei, Indonesia, Malaysia dan Filipina.

Di Lahad Datu, 21 keluarga dari Kampung Tanjung Batu dan Kampung Tanjung Labian, yang menjadi mangsa pengganas dari Selatan Filipina akibat pencerobohan kumpulan itu sejak 12 Feb lalu, telah dibenar melawat rumah mereka hari ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib pula berkata Operasi Daulat yang memasuki hari ke-26 hari ini, hanya akan ditamatkan selepas pasukan keselamatan yakin kawasan yang bergolak benar-benar telah selamat.

"Kita mesti ingat, Operasi Daulat bukan sahaja melibatkan kawasan Lahad Datu tetapi ianya lebih luas merangkumi daerah Semporna dan Sandakan," katanya pada sidang media di Markas Operasi di Felda Sahabat, 130 kilometer dari bandar Lahad Datu.

Sejak dilancarkan pada 5 Mac lalu, Operasi Daulat telah membawa kepada penangkapan 443 individu atas pelbagai kesalahan, 121 orang ditahan mengikut Sosma manakala 68 militan ditembak mati.

Untuk menonton banyak lagi program Astro terkini, layari Astro on the Go http://onthego.astro.com.my

Tag: Sosma, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Sabah