MH17
MH17
Anda di sini: Laman Utama | Nasional »

Timbalan Ketua Pengarah Kastam ditembak mati

comments
Timbalan Ketua Pengarah Kastam ditembak mati
PUTRAJAYA: Timbalan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Shaharuddin Ibrahim mati ditembak dipercayai oleh dua lelaki bermotosikal sewaktu beliau dalam perjalanan ke pejabatnya di Putrajaya, pagi tadi.

Pegawai ketiga tertinggi dalam Kastam yang mengetuai Bahagian Perkastaman/Cukai Dalam Negeri itu dipercayai diekori oleh dua suspek yang menaiki motosikal lebih kurang pukul 8 pagi di Lebuh Wawasan dari arah Dengkil.

Shaharuddin, 58, rebah di bahu pemandunya selepas suspek berkenaan dipercayai melepaskan tiga das tembakan ke arahnya di persimpangan lampu isyarat Lebuh Sentosa.

Allahyarham telah berkhidmat sebagai pegawai kastam selama 30 tahun.

Polis memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran Ibu Pejabat Polis Putrajaya untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Pemeriksaan forensik di lokasi menemui beberapa kelongsong peluru di tempat kejadian.

Kesan tembakan

Menurut polis, suspek dipercayai menggunakan pistol jenis automatik dan dua das tembakan mengenai leher mangsa.

Difahamkan Shaharudin disahkan meninggal dunia kira-kira satu jam selepas digegaskan ke Unit Kecemasan Hospital Putrajaya. Jenazah kemudian dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah yang mengesahkan kejadian berkata, polis sedang menyiasat motif serangan.

Pihak kastam juga telah menyerahkan siasatan kepada polis dan enggan membuat sebarang spekulasi.

"Kita serahkan kepada polis untuk menyiasat dan kita tidak ada apa-apa prasangka atau buat apa-apa andaian pada masa ini. Allahyarham merupakan seorang yang berintegriti, tegas," kata Penolong Kanan Pengarah Kastam I Cawangan Perhubungan Awam Aidid Tajuddin.

Sementara itu, anak sulung Allahyarham, Suhana, 34,  seorang doktor di sebuah klinik di Kuantan berkata Allahyarham seorang yang tegas, berdisiplin dan penyayang kepada anak-anak dan cucunya.

"Ayah tak tunjukkan apa-apa perubahan, tapi pagi tadi kami tak sempat bersalam, yang macam selalu. Dia macam tergesa pergi kerja," katanya yang tinggal di rumah bapanya untuk berpantang anak keempat.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri Datin Rahimah Ibrahim, 58, sepasang anak dan empat cucu.
Anak lelaki Allahyarham, Mohd Ahtar, 30, bekerja sebagai arkitek.

Suasana pilu mengiringi upacara pengebumian jenazah Allahyarham Shaharuddin  pada kira-kira 6.30 petang.

Lebih 100 orang termasuk kakitangan kastam seluruh negara hadir untuk memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Untuk menonton banyak lagi program Astro terkini, layari Astro on the Go http://onthego.astro.com.my

Tag: Pengarah Kastam, ditembak mati, Putrajaya, lampu isyarat, CCTV, Lebuh Wawasan