Adanya keserasian antara Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sepanjang lawatan rasmi tiga hari Obama ke negara ini minggu lepas, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Khairy yang merupakan Menteri Pengiring kepada Obama dalam lawatan itu berkata kedua-dua pemimpin itu juga dilihat begitu selesa dalam perbincangan dua hala mereka.

"Saya, sebagai Menteri Pengiring kepada Presiden AS, hadir dalam mesyuarat dua hala. Mereka juga ada perbincangan empat mata di mana selepas perbincangan itu, saya melihat keserasian di antara kedua-dua pemimpin itu cukup tinggi," katanya ketika ditanya pengalamannya itu di sini, Selasa.

Khairy berkata beliau juga sempat menyampaikan pendapatnya mengenai belia dan Islam sebelum Obama berlepas ke Filipina dari Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia, semalam.

"Antara perkara yang saya bangkitkan ialah supaya inisiatif belia berterusan. Saya ucapkan terima kasih kepada beliau kerana banyak meluangkan masa dengan orang muda di sini termasuk di Universiti Malaya," katanya.