Tutup
Orang KL

Antara Caracas dan KL, kita jatuh cinta

Wawancara: Tan Su Lin

Facebook Twitter Email Google Whatsapp
Prev
Next

MINA PEREZ

Asal dari Venezuela, tinggal di Malaysia sejak 8 tahun lalu. Setiausaha Kedua di Kedutaan Venezuela di Kuala Lumpur, bekas wartawan, 40 tahun. Sayang dua ekor kucingnya, Misha dan Brutus. Makanan tempatan kesukaannya, char kuey teow.

SAYA bekerja di sebuah universiti di Venezuela pada 2007 dan saya terima satu emel daripada duta Venezuela ke Malaysia bertanya apakah saya berminat untuk bekerja di Malaysia, di sebuah agensi berita untuk tempoh setahun. Dalam masa lima minit, saya menelefon kekasih saya ketika itu dan membalas emel itu dengan jawapan "ya, sudah tentu, kenapa tidak." Dalam masa dua atau tiga bulan, saya selesaikan sarjana dan semua tugas dan tanggungjawab, saya berkahwin dan pindah ke KL. Itu pada Julai 2007.

HAKIKATNYA tidak banyak yang saya tahu tentang Malaysia. Saya hanya tahu Petronas, dan tentunya perlumbaan F1. Kami mengenali Malaysia daripada watak seorang lanun kurun ke-19 bernama Sandokan. Banyak orang Malaysia tidak kenal watak ini, tetapi itu satu cerita yang lain. Itu satu-satunya hal yang saya tahu bahawa ini sebuah tempat yang eksotik, ada harimau dan raut orangnya dengan rambut yang panjang dan mereka semua kelihatan seperti lanun. Itu yang saya fikirkan pertama kali mendengar nama Malaysia. Kemudian saya cari di Internet dan terfikir: "Wow, tempat ini menarik."

ADA orang beritahu kepada saya ini sebuah negara Islam dan kamu mesti berpakaian konservatif, hanya lengan panjang dan skirt yang longgar. Sebaik saja turun daripada pesawat, saya nampak seorang wanita Cina berjalan dengan seluar pendek dan seorang wanita India yang mempamerkan perutnya. Saya terus telefon suami dan minta dia membawa lebih banyak pakaian saya kerana saya sedar ia tidaklah seperti yang digambarkan oleh orang lain. Sebaik saja sampai di sini, saya tahu saya sudah jatuh cinta.

Kuala Lumpur
Seorang penumpang transit aliran ringan (LRT) merenung gerabak tren yang berselisih. AWANI / SHAHIR OMAR

SUAMI saya yang menyusul dua bulan kemudian menyesuaikan dirinya lebih cepat. Dalam masa 24 jam, dia sudah naik LRT keliling kota, pergi ke semua tempat sendiri dan dia langsung tidak boleh berbahasa Inggeris pada masa itu. Kami menyesuaikan diri dengan cepat sejak awal dan semua itu kerana orang-orangnya.

CUACA di sini sama dengan di Venezuela. Kita terletak di Khatulistiwa. Semuanya hijau sepanjang tahun dan tidak ada empat musim. Hanya musim kering dan musim hujan. Dari segi itu, saya rasa seperti di negara sendiri. Kami tidak terlalu rindukan tanahair dan itu kerana orang-orang di sini. Ini mengagumkan kerana sampai sekarang pun kami masih berjumpa dengan orang setiap hari, mereka datang dan menegur kami. Orang ada rasa ingin tahu yang tinggi. Orang Malaysia sama seperti orang Amerika Latin dan itu sebabnya mudah cari kawan di sini.

BERPINDAH ke sini, dalam banyak hal, adalah satu perubahan besar dalam hidup saya. Saya baru berkahwin sebelum berpindah ke mari. Saya baru hendak memulakan pengalaman baru hidup berumahtangga dan seperti kebanyakan orang dalam kalangan generasi saya, kami tinggal bersama keluarga. Ini adalah kali pertama saya keluar dari rumah dan datang ke Malaysia memberikan pelbagai makna. Tetapi ia bukan satu pengalaman yang mengejutkan. Saya terlalu gembira, sepanjang masa, sampai tidak sempat ada rasa rindu. Sebenarnya saya betul-betul rindukan tanahair selepas empat tahun dan itupun kerana saya lama tidak menziarahi keluarga.

SEJAK di KL, kami tidak pernah menyambut Krismas, malam tahun baru malah hari jadi bersendirian. Kami merayakan perayaan rakyat Malaysia sepanjang tahun. Kami dapat jemputan merayakan Tahun Baru Cina, Deepavali dan Hari Raya sepanjang tahun dan sepanjang lapan tahun ini, kami menziarahi teman-teman dan keluarga. Tidaklah seperti keluarga di Venezuela tetapi ada beberapa orang di Malaysia yang sudah kami anggap seperti keluarga sendiri. Tinggal berjauhan daripada tanahair tidaklah terlalu sukar kerana saya selalu berhubung dengan keluarga di Venezuela melalui Skype dan WhatsApp 24/7. Dari segi itu saya tidak rasa terlalu jauh. Hanya apabila menaiki pesawat barulah saya perasan betapa jauhnya negara saya.

APABILA orang di tanahair bertanya tentang KL, saya kata KL mengagumkan, KL hebat. Ada hal-hal yang elok yang sama seperti di Caracas misalnya, panas sepanjang tahun dan benda-benda yang tak elok, seperti jalan sesak. Tetapi keramahan orang-orangnya sangat penting, yang menjadikan kita rasa dihargai. Orang tersenyum kepada kita dalam LRT pada pukul 7 pagi ketika di luar hari hujan. Anda lihat wajah mereka dan mereka akan tersenyum. Itu sangat tidak ternilai. Selalu ada alasan untuk tersenyum walaupun mereka beritahu mereka tidak boleh menolong... "tak boleh" kata mereka sambil tersenyum. Sebagai orang Amerika Latin, ini sesuatu yang kami hargai, kemesraan dan senyuman.

SAYA suka orang sini... sangat suka. Semua orang daripada pemandu teksi... ya, saya pernah jumpa pemandu teksi yang baik... guru Bahasa Melayu yang bagus, semuanya... sampai kepada personaliti terkenal. Semua orang baik, merendah diri, mesra, mudah tersenyum, ramah dan mengutamakan keluarga. Bagi saya, mereka seperti orang Amerika Latin. Itu yang saya suka tentang KL. Yang saya sangat tidak suka tentang ialah tentunya keadaan trafik yang berpunca daripada orang-orang yang saya sayang termasuk diri saya sendiri. Ia tidaklah terlalu buruk kalau dibandingkan dengan keadaan di Caracas tetapi ia sudah jadi semakin teruk. Saya perasan. Tentulah, kerana ini sebuah kota yang sedang membangun. Ke mana-mana kita pergi, ada pembinaan sedang berjalan dan keadaan semakin teruk. Tetapi apa nak buat? Kita perlu terima.

BAGAIMANA KL telah berubah? Semasa kami mula tiba lapan tahun yang lalu, orang lebih tertanya-tanya tentang orang asing. Kami malah pernah ditahan di tengah jalan oleh orang-orang yang hendak bergambar dengan kami dan kami terfikir, apakah ada sesuatu pada wajah kami? Kemudiannya kami sedar bahawa tidak banyak orang yang berbahasa Sepanyol di sini. Itu yang menarik perhatian orang. Tetapi sekarang kami tidak lagi eksotik kerana sudah ada banyak orang asing dan ekspatriat yang datang ke Malaysia.

Kuala Lumpur
Mina Perez di apartmennya di Kuala Lumpur. AWANI/SHAHIR OMAR

SETIAP kali orang bertanya apakah saya boleh berbahasa Melayu, saya rasa malu. Rasanya saya mahu menipu berapa lama saya sudah tinggal di negara ini kerana ia bahasa yang indah. Ia bahasa yang mudah. Saya boleh faham apa yang orang cakap tetapi saya tidak mampu hendak bercakap dengan fasih dan ini selalu terjadi. "Ah, anda bercakap Bahasa Melayu" "Tak boleh"... dan hati saya hancur. Saya sudah tinggal di Malaysia selama lapan tahun dan perkara paling akhir yang saya boleh lakukan ialah belajar bahasa tempatan. Ia bahasa yang dipakai oleh orang sehari-hari dan itulah caranya menunjukkan hormat kepada orang sini. Itulah yang menjadikan seseorang itu sebagai orang Malaysia. Mereka bertutur dalam bahasa yang sama. Saya ada banyak kawan orang Cina dan India dan saya dengar mereka bercakap Melayu. Saya malah ada kawan dari Australia dan saya dengar mereka bercakap Melayu, mungkin dengan loghat yang agak lucu dan saya rasa cemburu. Saya kena cuba lebih gigih. Saya sudah masuk beberapa kursus pendek dan beberapa orang kawan ada beri buku untuk saya belajar. Tetapi saya rasa mungkin saya perlu masuk kampung dan bercampur dalam persekitaran yang sangat Melayu. Saya tidak ada pilihan kecuali belajar. Saya tahu ia akan jadi suatu hari nanti kerana semuanya sudah saya bayangkan dalam kepala.

Apabilanya masanya tiba, apabila kami rasa bab ini sudah berakhir, kami akan tutup buku dan pulang dengan semua kenangan indah tentang saat-saat manis yang kami habiskan di Malaysia, di Kuala Lumpur.

SAYA tidak tahu berapa lama lagi saya akan tinggal di sini. Saya tidak pernah terfikir saya akan tinggal di sini 10 atau 20 tahun kerana asalnya saya datang ke sini hanya untuk setahun. Kemudian kontrak saya disambung lagi setahun dan selepas itu saya berkhidmat dengan kedutaan. Saya sedia untuk balik apabila dipanggil pulang sama ada tahun ini atau tahun depan. Kami akan berkemas, bawa kucing dan balik. Tetapi saya tidak kisah untuk tinggal di sini lima atau lapan tahun lagi. Saya tidak kisah tetapi kami tidak tetapkan masanya. Apabilanya masanya tiba, apabila kami rasa bab ini sudah berakhir, kami akan tutup buku dan pulang dengan semua kenangan indah tentang saat-saat manis yang kami habiskan di Malaysia, di Kuala Lumpur.

TETAPI saya mungkin tidak akan beritahu kepada sesiapa yang saya akan pergi. Memikirkan tentangnya saja sudah cukup perit. Apabila masanya sampai, ia akan terjadi juga. Saya mungkin makan setengah biji pil tidur dan ucap selamat tinggal kepada sesiapa yang saya perlu beritahu bahawa saya akan pergi. Orang lain mungkin hanya akan tahu melalui Facebook. Tetapi ini satu hal yang kami tidak mahu sentuh. Ini sama seperti bercakap tentang apa akan jadi kalau kita mati, kalau ibu kita mati kerana kita tahu dan kita pernah melihatnya. Selepas kita pergi, kita tidak akan datang lagi. Ia terlalu jauh. Tidak ada seorang pun kawan kami yang datang balik... Carlos, Javier, Zhaybel. Semua mereka mengatakan "Oh, kita akan jumpa lagi. Aku akan simpan duit dan datang semula dalam masa dua tahun." Tidak ada, terlalu mahal dan terlalu jauh. Ini yang kami tahu bahawa apabila kami naik pesawat, apabila kami masukkan kucing-kucing ini dalam pesawat, kami tidak mungkin datang lagi.