Tutup
Orang KL

Belajar dari kemalangan

Wawancara: Hafiz Marzukhi dan Noor Azam Shairi

Facebook Twitter Email Google Whatsapp
Prev
Next

MICHAEL LEE CHEE CHEONG

Bekas remisier, 57 tahun. Lahir dan besar di Kuala Lumpur. Kini memandu perkhidmatan kongsi kenderaan.

SAYA lahir di pekan lama Petaling Jaya. Ayah saya kemudian berpindah dari sebuah rumah ke sebuah rumah sehinggalah akhirnya saya sekarang tinggal di Jalan Klang Lama.

SAYA suka kehidupan di bandar berbanding dengan di pekan kecil. Saya sudah pergi ke banyak pekan kecil. Saya rasa di pekan kecil hidupnya kurang keseronokan, kurang bertenaga seperti di bandar besar seperti Kuala Lumpur. Maksud saya, KL ini terbaik.

HIDUP di bandar besar penuh dengan kejutan, ada banyak u-turn... patah balik, ada banyak halangan, ada banyak kemalangan. Maklumlah, ini bandar besar.

KEMALANGAN paling besar dalam hidup saya ialah apabila saya terlibat dengan pasaran saham. Semuanya bermula pada 1993 apabila saya ditemuramah oleh seorang Datin untuk jawatan sebagai remisier. Sudah tentu saya berminat. Saya kata kepada diri saya, kerja ini boleh dapat banyak duit, apa salahnya? Pada awalnya saya tidak ada cukup modal tetapi tidak lama kemudian saya ada duit yang cukup-cukup untuk memulakannya.

DUIT yang saya dapat pada masa itu sangat luar biasa. Nahas kemudian datang pada tahun 1997 apabila ekonomi Asia jatuh. Menjelang tahun 1999, saya tersungkur tetapi tidaklah kritikal. Ia satu kemalangan yang besar. Tapi ingat, tidak ada apa-apa yang kritikal. Hidup di bandar seperti ini kita akan selalu berdepan dengan kemalangan. Banyak. Besar. Kecil. Katakanlah kamu terlibat dengan satu nahas besar, apa masalahnya? Bangun semula dan tengok keliling. Kamu akan nampak ada banyak lagi peluang lain di bandar ini.

Kuala Lumpur
Seorang pelancong menuruni tangga di Masjid Negara, Kuala Lumpur. AWANI / SHAHIR OMAR

APABILA saya jatuh teruk, saya pun terperanjat. Saya perhatikan orang lain dan perasan betapa pentingnya untuk kita belajar daripada kesilapan. Lain kali, kalau saya ada peluang untuk buat duit yang banyak saya tahu bila mesti berhenti supaya saya tidak rugi. Saya bangun semula dengan melihat orang lain dan saya banyak merenung diri.

SAYA percaya kemalangan-kemalangan ini memberikan kita pengalaman yang berguna. Kalau tidak, kita tidak akan belajar apa-apa. Cabaran itu penting kerana daripadanya kita akan belajar sesuatu. Tidak semuanya lancar begitu saja. Kalau macam itu, senanglah hidup ini. Kalau hidup ini terlalu mudah, kita akan jadi cepat selesa, kita jadi lemah. Saya lebih suka hidup yang keras. Hidup semestinya susah kerana ia akan membuatkan kita kental. Hidup saya susah dan saya bersyukur kepada Tuhan, Tuhan yang mencipta alam ini. Tuhan harus menjadi panduan hidup kita. Jangan ada hal-hal lain yang lebih utama. Dekatilah Tuhan pada setiap masa dan kita boleh mengharungi hidup ini dengan lebih mudah.

Hidup di bandar ini penting untuk kita ada kawan yang baik, seorang pun memadai sebenarnya. Tapi hati-hati kalau berkawan kerana ada sesetengahnya yang hendak menggunakan kita untuk kepentingan sendiri.

APABILA berdepan dengan krisis, saya berbincang dengan kawan-kawan. Hidup di bandar ini penting untuk kita ada kawan yang baik, seorang pun memadai sebenarnya. Tapi hati-hati kalau berkawan kerana ada sesetengahnya yang hendak menggunakan kita untuk kepentingan sendiri. Itu sebabnya ada seorang kawan yang baik sudah cukup. Kalau ada dua orang, itu sudah bonus. Selalulah berhubung dan berkongsilah pengalaman dengan mereka. Kata orang, hanya berlian yang boleh memotong berlian. Belajar daripada satu sama lain dengan berkongsi pengalaman.

SAYA ada seorang kawan tetapi dia sudah meninggal dunia. Saya kenal dia sejak tahun 1980-an. Kami berjumpa di Kolej Tunku Abdul Rahman. Dia pernah bekerja di sebuah bank besar. Dia ada kurang upaya. Dia menghidap polio. Tetapi saya suka kebijaksanaannya dan cara dia memandang hidup. Bukan senang bekerja di sebuah bank yang besar, susah lagi untuk orang seperti dia. Kalau dia boleh lakukannya, kenapa tidak saya? Kami saling mencabar diri masing-masing secara tidak sedar dan itu menjadikan saya orang yang lebih baik. Itu sebabnya saya kata kita mesti ada seorang kawan baik, yang boleh saling tolong-menolong. Ia mestilah persahabatan dua hala. Ini persahabatan yang sangat diperlukan untuk membantu kita keluar daripada krisis atau kemalangan.

SATU perkara penting yang sahabat saya ajar ialah kerja keras, work hard. Tidak ada jalan singkat dalam hidup ini. Work smart boleh bawa kita hanya ke satu peringkat tertentu. Tetapi mereka yang bekerja keras, mereka naik dengan perlahan dan belajar pengalaman yang berguna dalam setiap langkah. Work smart boleh beri kita pangkat dan wang dalam jangka pendek tetapi kalau kita work hard, kita akan dapat lebih banyak dalam jangka masa panjang.

Kuala Lumpur
Sebatang jalan utama di Kuala Lumpur pada waktu puncak pada sebelah pagi. AWANI / SHAHIR OMAR

DALAM hidup ini kita jangan selalu menyesal. Boleh kalau kita hendak menyesal sekejap mungkin seminggu, dua minggu atau paling lama pun sebulan tetapi selepas itu, toleh balik ke belakang dan lihat apa pengajaran yang boleh kita dapat daripada kesilapan itu? Kita ini manusia. Tidak ada apa yang patut dikesalkan kerana semuanya adalah pengajaran. Tidak ada apa juga yang patut dimalukan dalam hidup ini. Betul, tidak ada. Kita hanya boleh belajar daripada kesilapan. Tetapi terlalu positif dalam hidup pun tidak boleh juga. Apa yang mushak ialah berpada-pada. Jangan positif membabi buta.

DALAM hidup ini kita mesti selalu memaafi. Misalnya, ada orang yang mengecewakan kamu... katakan kepada diri sendiri, ada sebab kenapa kamu dihadapkan dengan cabaran ini. Jangan marah sangat. Belajar untuk memaafi. Apabila kita memberi maaf, perkara itu tidak lagi jadi satu isu. Kita boleh pilih sama ada hendak memaafkan atau tidak. Orang ada alasan tersendiri kenapa mereka berbuat sesuatu. Setiap kali kita rasa marah kerana tindakan seseorang atau satu-satu perkara yang terjadi, selalu ingat untuk memaafi. Kalau kita selalu ingat Tuhan, kita akan lebih mudah memberi maaf. Tidak mengapa kalau kita tidak mahu melupakan. Kita boleh tidak melupakannya tetapi kita mesti memberi maaf.