Tutup
Orang KL

Demi cita-cita aku datang ke kota

Wawancara: Israr Khalid

Facebook Twitter Email Google Whatsapp
Prev
Next

AWANG SURNIAFIZUL AWANG JAMAIN

Penggiat teater, freelancer seni; 28 tahun. Lahir dan besar di Sri Aman, Sarawak. Mencari rezeki di Kuala Lumpur.

Kuala Lumpur
Istana Budaya di Jalan Tun Razak yang menjadi pusat persembahan kesenian dan kebudayaan utama di Kuala Lumpur. AWANI / SHAHIR OMAR

SEBENARNYA aku tak pernah terfikir untuk tinggal di Kuala Lumpur ini. Tanggapan awal aku terhadap Kuala Lumpur adalah pusat kepada segala benda, tapi memang tak pernah terfikir untuk jadi salah seorang warganya.

AKU dengar di Kuala Lumpur banyak peluang kerja dalam bidang seni, tak macam di Sarawak. Bukan tak ada, tapi terhad. Aku minat benda-benda kesenian ini, aku suka menyanyi, berlakon. Asalnya cita-cita aku masa kecil dulu nak jadi saintis... biasalah impian budak-budak. Tapi belajar tak pandai, dan aku sedar kebolehan dan bakat aku terarah ke benda-benda seni. Jadi pada 2010 kalau tak silap, aku datang ke KL dengan beberapa orang kawan sekampung untuk cuba cari peluang. Sekarang ni mereka semua dah balik kampung, tinggal aku seorang yang masih bertahan di sini. Disebabkan minat aku yang mendalam terhadap kerja-kerja seni, aku nekad untuk terus berada di sini, cuba survive.

SEPANJANG hampir enam tahun aku duduk di Kuala Lumpur, paling aku tak boleh lupa adalah job lakonan pertama aku di sini. Aku dapat tawaran memegang watak sampingan dalam satu produksi teater di pentas paling berprestij. Punya semangat, aku sanggup jalan jauh, dalam 2 atau 3 kilometer dari rumah sewa ke tempat latihan hari-hari. Tamat pementasan, tak dapat bayaran. Sampai hari ini produksi senyap, tak ada berita langsung. Kau bayangkan pertama kali kau dapat job, benda yang kau minat pulak, sekali payment satu sen tak dapat. Punyalah bengang. Tapi nak buat macam mana, aku ambil benda ini sebagai pelajaran.

BUKANNYA aku gila payment, cuma nak kerja aku itu dihargai. Aku paling tak suka bila orang ambil remeh kerja-kerja seni ini. Mungkin bagi mereka... "alah, watak sampingan saja, bayaran sikit, tak bayar pun tak apa." Tapi hargailah penglibatan orang.

Aku nekad tak nak balik macam kawan-kawan aku yang lain. Aku nak buktikan kepada keluarga aku yang kerja seni ini pun mampu untuk menjamin kehidupan yang bahagia.

MEMANG susah tinggal di Kuala Lumpur. Bukan setiap hari dapat job. Tapi aku nekad tak nak balik macam kawan-kawan aku yang lain. Aku nak buktikan kepada keluarga aku yang kerja seni ini pun mampu untuk menjamin kehidupan yang bahagia. Sebelum ini aku selalu gaduh dengan arwah bapak aku, dia kata "iboh kau diam sia di KL, susah... balit jak, minta kerja dengan kerajaan (tak payahlah kau duduk di KL itu, susah... kau balik sajalah, minta kerja dengan kerajaan)." Tapi aku berkeras, aku nak buat benda yang aku minat. Alhamdulillah, lama-lama mereka dapat terima dan sekarang mereka sentiasa sokong apa saja yang aku buat.

SATU benda tentang Kuala Lumpur yang paling aku benci ialah traffic jam. Bila dah serabut sangat dengan KL ini, aku akan balik ke Sarawak. Tempat aku tenang, tak jam langsung... kalau ada pun, di Kuching tapi waktu puncak sahaja, tak macam Kuala Lumpur, sepanjang masa jam saja. Kadang-kadang bawa kereta di kampung terasa laju sangat, sebab dah terbiasa hidup pantas di KL. Tapi setiap kali aku balik ke Sarawak, aku pasti teringat aktiviti seni aku dan kawan-kawan dalam industri. Itu yang buatkan aku cepat-cepat nak kembali ke KL.

PALING banyak aku belajar dari Kuala Lumpur ini adalah tentang kehidupan. Di sini, semua jenis orang ada. Daripada orang Cina, India, Bangladesh, Arab, Nepal, semualah. Di sinilah aku belajar kenal manusia, apa perbezaan mereka, apa perangai mereka. Kalau aku kekal terperap di Sarawak, aku mungkin akan kenal orang Sarawak saja... pengetahuan aku tak berkembang. Orang cakap, lagi banyak kau merantau, lagi banyak pengalaman kau, dan lagi kau kenal apa itu erti kehidupan. Itu yang aku cari.

Kuala Lumpur
Suasana di pasar basah Chow Kit di Jalan Raja Alang, Kuala Lumpur. AWANI / SHAHIR OMAR

KUALA LUMPUR juga ajar aku bahawa kau tak boleh sentiasa selesa dengan apa yang kau ada sekarang. Sebab kau tak akan tahu apa yang akan datang pada kau bila-bila masa. Jadi kau kena sentiasa fikir dan bergerak untuk terus hidup. Peluang sentiasa ada dan cepat saja terlepas kalau kau lambat. Sebab itu aku buat macam-macam. Ada tawaran berlakon, aku berlakon. Ada tawaran jadi stuntman, aku ambil... itupun mujur aku ada asas silat. Ada tawaran jadi make-up artist, aku jadi. Bukannya pandai sangat, tapi belajarlah sikit-sikit. Lama-lama bolehlah.

Kau kena pandai pilih kawan, dengan siapa kau belajar, dengan siapa kau tinggal. Kalau salah pilih, kau habis.

PEMBELAJARAN hidup di sini yang sentiasa buat aku nak terus ada di Kuala Lumpur. Nak dapatkan sesuatu yang berharga bukan senang, jadi terpaksalah jauh dari keluarga untuk belajar. Di Kuala Lumpur ini, kau kena pandai pilih kawan, dengan siapa kau belajar, dengan siapa kau tinggal. Kalau salah pilih, kau habis. Tapi kena pandai, sebab jumpa salah orang pun satu daripada pembelajaran.

SEPANJANG hampir enam tahun aku di sini, pencapaian yang boleh aku banggakan ialah bekerja dengan produksi antarabangsa dan orang-orang hebat dalam industri. Orang yang aku dulu selalu tengok muka dia atau nama dia di layar perak atau di TV saja, sekarang aku dah kerja dengan mereka. Nicholas Saputra, antaranya. Walaupun skala produksi itu atau peranan aku kecil, aku tetap bangga.

AKU suka bidang seni ini bukan sebab nak orang kenal aku. Impian aku bukan untuk dikenali, tetapi orang ingat hasil kerja aku. Biar orang nilai aku daripada hasil kerja aku, bukan daripada populariti aku.

SELALU aku sembang dengan kawan-kawan, kalau benda-benda seni ini banyak ada di Sarawak, memang aku duduk sana saja. Keluarga pun dekat, jalan pun tak jam. Tapi iyalah, di sana peluang terhad. Sekurang-kurangnya aku boleh tengok tempat orang bila merantau. Macam aku cakap tadi, pengalaman kau pun bertambah.

Rezeki aku banyak di sini, aku jadi lebih dewasa di sini. Tapi sampai bila-bila pun kampung aku takkan aku lupa.

MEMANG Kuala Lumpur ini banyak mengajar aku, rezeki aku banyak di sini, aku jadi lebih dewasa di sini. Tapi sampai bila-bila pun kampung aku takkan aku lupa. Aku tetap anak Sarawak.