Tutup
Orang KL

Hidup ini tak pernah siap

Wawancara: Noor Azam Shairi

Facebook Twitter Email Google Whatsapp
Prev
Next

SANI SUDIN

Penulis, pemuzik, pelakon, anggota kumpulan Kopratasa; 59 tahun. Lahir dan besar di Kuala Lumpur.

AKU sendiri anak jati Kuala Lumpur. Suka tak suka Kuala Lumpur ini, aku kena redah juga supaya aku dapat sesuatu daripada yang suka dan tak suka tentang Kuala Lumpur ini.

WAKTU aku masih budak-budak aku jual tapai. Aku duduk di Kampung Datuk Keramat setelah orang tua pindah dari Kampung Baru. Aku lahir di Kampung Baru... No. 20, Perkins Road. Sekarang Perkins Road sudah tukar nama jadi Jalan Raja Alang. Rumah itu pun sekarang sudah dirobohkan oleh orang tertentu kerana, iyalah, nak cari makan, nak beli beras. Aku jual tapai untuk cari belanja sekolah. Tapai waktu itu sebungkus 5 sen, sekarang RM1.50. Itu tak kisahlah, zaman berubah.

PADA tahun 1960-an tempat riadah orang Melayu pada hari Sabtu malam minggu ialah di pasar malam. Pasar malam pertama yang aku ingat lagi ialah di Jalan Raja Alang, berdekatan dengan jambatan gesel. Siapa yang pernah duduk di Kampung Baru tahu jambatan gesel itu apa. Kenapa dipanggil jambatan gesel? Jambatan itu sempit, untuk basikal atau motor... tetapi orang nak pergi membeli-belah malam minggu, orang Melayu shopping... itulah tempat hiburan kononnya. Ada yang kena raba, ada yang kena lenyek... itu yang sampai ada yang menjerit sehingga dipanggil jambatan gesel.

Sebenarnya Kuala Lumpur ini tidak pernah menjanjikan apa-apa kepada sesiapa pun. Kita yang kena berjanji untuk jadi apa di Kuala Lumpur, untuk buat apa di Kuala Lumpur.

SEBENARNYA Kuala Lumpur ini tidak pernah menjanjikan apa-apa kepada sesiapa pun. Kita yang kena berjanji untuk jadi apa di Kuala Lumpur, untuk buat apa di Kuala Lumpur. Itu saja. Kuala Lumpur ini hanya platform untuk kita berdiri, berlari kemudian meragut. Ragut ini boleh jadi macam-macam. Kalau sebut ragut orang mesti ingat ragut beg... bukan. Boleh jadi ragut perasaan.

AKU suka duduk sendiri-sendiri di tengah-tengah KL ini bukan apa, aku merayap. Aku suka tengok perangai manusia. Aku mengkaji lakonan. Semua orang tahu aku main teater. Apabila aku tengok orang membaca buku dalam bas, aku bertanya: Apakah membaca itu perlu ada buku di tangan? Pada aku melihat dan mendengar itu pun membaca. Aku suka perhati perangai orang. Aku buat kajian... bukan apa, untuk membina satu bait-bait untuk peribadi. Semua orang tahu aku comot. Aku memang macam begini dari dulu. Masa miskin aku sombong, sudah kaya aku bongkak.

APABILA membaca perangai manusia, macam-macam sikap yang aku belajar. Apa orang putih cakap? Attitude? Daripada situ watak-watak manusia ini datang. Kita tidak boleh menghukum seseorang itu betul atau salah kerana sudah sikap dia macam itu. Hanya kita untungnya dapat memerhati untuk jadikan bahan kajian, bahan rujukan untuk lakonan... macam aku.

Kuala Lumpur
Mercu tanda Malaysia, Menara Kuala Lumpur dan Menara Berkembar Petronas terlihat megah menjulang di tengah-tengah pembangunan yang terus pesat berkembang. AWANI / SHAHIR OMAR

KADANG-KADANG kita tunggu benda lain, datang benda lain. Kadang-kadang melintas ayat tentang Kuala Lumpur. Itu yang aku dapat sebuah puisi: "Kuala Lumpur, di dadamu ada sungai yang mengalir membawa lumpur ke kuala." Kau dalami, kau fahamlah maknanya. Kuala Lumpur tidak menjanjikan apa-apa... bawa 'lumpur'. Lumpur dalam tanda kutip... benda yang bukan-bukan. Itu pada aku punya kefahaman, yang tidak pergi sekolah tinggi. Nasib baik aku untung dapat berkawan dengan kawan-kawan yang ada ilmu yang bagus tetapi mereka tidak kedekut, yang kita dapat duduk bersembang di kedai kopi.

KUALA LUMPUR ini pun satu ruang kuliah untuk orang macam aku, ruang kuliah... kuliah peribadi. Aku dengar orang cakap, aku catat... untuk jadi bahan bukti kepada diri sendiri.

PENGALAMAN yang tidak dapat dilupakan? 13 Mei 1969. Waktu itu aku berumur 12 tahun. Aku menjual tapai di pasar Chow Kit. Aku tak tahu apa-apa, tengok orang lari sana lari sini, kejar sana kejar sini. Apa barang ni? Kita gelak saja. Kita senyum saja. Rupanya mak aku di Keramat dah risau. Kita tak tahu. Kita budak-budak apa tahu. Tengok orang kejar-kejar kita gelak... macam sarkas. Rupanya benda itu serius. Malam baru tahu itu rusuhan kaum sebab politik.

AKU tak masuk politik. Aku masuk... aku suka seorang-seorang. Siapa yang faham aku, fahamlah.

Banyak yang dah hilang di KL. Kalau aku cakap nanti jadi isu sensitif. Banyak. Banyak sangat dah hilang. Yang menghilangkannya pun bukan orang lain. Sendiri fikirlah.

BANYAK yang dah hilang di KL. Kalau aku cakap nanti jadi isu sensitif. Banyak. Banyak sangat dah hilang. Yang menghilangkannya pun bukan orang lain. Sendiri fikirlah. Bapa kita buat rumah suatu ketika dulu untuk dia membela anak-anaknya. Kadang-kadang anak-anak ramai tapi tak semua ada perangai bagus, ada yang tak bagus. Apabila orang tua dah tak ada, berebut tanah sekangkang kera.

SIAPA kita hendak menasihatkan orang? Macam orang tanya aku: "Abang tak mahu mengarah filem atau drama?" Aku kata kalau nak mengarah, dah lama aku mengarah. Pengarahan hidup aku pun lintang-pukang, aku nak mengarah orang?

Kuala Lumpur
Seorang gelandangan tidur di tebing Sungai Klang dekat Jalan Syed Putra, Kuala Lumpur tanpa menghiraukan hidup yang telah bergulir di kelilingnya. AWANI / SHAHIR OMAR

RAMAI juga 'pelakon-pelakon' di sekitar Kuala Lumpur ini. Macam-macam watak ada. Misalkan kau dah kahwin. Di luar kau watak kawan tetapi balik rumah kau watak suami kepada isteri, ayah kepada anak. Betul tak?

HIDUP ini lakonan. Tapi kalau kita cakap kepada orang yang tak faham, dia kata... eleh, suka-suka hati saja cakap. Memang. Hari-hari kita tukar baju, kan? Kostum. Kuala Lumpur ini platform untuk kita buat apa saja, sama ada yang dihalalkan atau yang diharamkan. Yang haram itu orang tolak tepi. Aku hanya mampu tengok, lihat dan mencatat.

ORANG cakap, "Sani itu tidak pernah serius". Terpulanglah kepada kau orang, macam mana hendak tafsir aku dengan Kualu Lumpur. Kuala Lumpur akrab dengan aku. Tetapi aku jalan kaki, Kuala Lumpur tak tegur. Aku lapar, Kuala Lumpur tak tegur. Aku dahaga pun, Kuala Lumpur tak tegur. Kuala Lumpur biar tengok saja perangai aku.

KADANG-KADANG orang cakap, "Kau ini macam orang gelandangan di KL?" Aku tak marah. Memang hidup ini kena gelandangan. Kau kena cuba apa saja yang ada di Kuala Lumpur untuk majukan diri, tak kiralah dalam bidang seni atau kerja biasa. Mak bapak kita pun hendak kita jadi bagus, setidak-tidaknya jadi lawyer bawa beg James Bond.

Kuala Lumpur
Pekerja kelihatan mencari barangan terpakai di lautan sampah-sarap di Kuala Lumpur

MENGEMBARA luar negeri satu hal, mengembara dalam negeri satu hal. Menyelongkar tong sampah pun satu pengembaraan. Sebab apa orang itu selongkar tong sampah? Sebab dia lapar. Tapi dia tak kacau orang. Kau jangan kacau dia. Kalau kau nak hulur (duit), kau hujur sajalah. Itu kerjaya dia. Dia sedar ruang... kelulusan tak ada, kerja tak ada. Daripada duduk saja, duit tak datang. Rezeki bukan datang bergolek. Kita kena bergerak mencari rezeki. Rezeki itu dalam bentuk macam-macam. Yang orang nampak kalau rezeki itu duit. Jodoh pun rezeki. Jumpa kawan-kawan lama pun rezeki, betul tak? Benda ini kena tafsir jauh-jauh, jangan ambil yang simple. Memang hidup ini simple tapi bukan senang nak jadi simplicity.

Kita ini sama saja, tidak bodoh tidak pandai, tidak punya apa-apa sebenarnya. Dalam pandai ada bodoh yang tersembunyi. Dalam bodoh ada pandai yang tersendiri.

KEBINGUNGAN itu kadang-kadang perlu dan kebodohan itu pun perlu dalam hidup. Kita ini sama saja, tidak bodoh tidak pandai, tidak punya apa-apa sebenarnya. Dalam pandai ada bodoh yang tersembunyi. Dalam bodoh ada pandai yang tersendiri. Kalau aku suruh kau tebar roti canai, kau kata tak tahu, bodohlah tu.

AKU kaji-kaji, aku tengok-tengok... sebenarnya, kehidupan manusia itu sendiri tidak pernah siap. Kau lapar, kau pergi makan. Kau lapar lagi, kau pergi makan lagi. Dah siap ke hidup ini? Tidak pernah siap. Kau ingat hidup kau dah siap?