Tutup
Orang KL

Hutan pedalaman, hutan batu

Wawancara: Hafiz Marzukhi

Facebook Twitter Email Google Whatsapp
Prev
Next

RAMAN BAHTUIN

Orang Asli dari suku Semai. Pemain seruling dan pengumpul hasil hutan, 45 tahun. Lahir di Gombak, membesar di Cameron Highlands dan kini kembali menetap di Gombak.

SAYA lahir di Hospital Orang Asli, Gombak pada tahun 1971. Saya membesar dan menetap di Cameron Highlands dan kembali ke Gombak pada tahun 2002 sehinggalah sekarang.

SAYA membesar dalam persekitaran hutan, pedalaman di Cameron Highlands yang sekarang sudah berubah jadi seperti pinggir bandar. Dulu ia pedalaman.

SEJAK kecil saya membesar dalam keadaan yang serba kekurangan. Nak ke pekan pun ambil masa begitu lama… 3 jam jalan kaki dalam hutan, balik pun 3 jam juga. Perjalanan yang cukup menyeksakan hanya sekadar untuk mencari bahan keperluan asas sahaja. Itulah pengalaman saya.

Kuala Lumpur
Orang ramai sedang menikmati pemandangan matahari terbit di Bukit Tabur, Kuala Lumpur. - Foto Shahir OMAR/ASTRO AWANI

TAHUN 2002 saya berhijrah ke Gombak, berhijrah ke dunia yang berbeza. Suku Semai ini populasi kami antara yang teramai di Malaysia. Saya tidak pasti berapa.

SAYA hijrah ke Gombak pun ada sebabnya. Saya nak ganti mendiang ayah kerana rumah pusaka keluarga kami di sini. Dia meninggal pada 2003. Sejak itu, saya hidup di sini bersama isteri dan lima anak-anak kami yang juga bersekolah di sini. Isteri saya seorang suri rumah. Saya pula tiada kerja yang tetap. Kerja saya lebih melibatkan alam semula jadi, iaitu aktiviti dalam hutan dan ada juga aktiviti kemasyarakatan.

WALAUPUN saya berasal dari pedalaman di Cameron Highlands, masa Tok saya bercerita, dia kata kita kena juga pergi ke Kuala Lumpur kerana di sana ada segala-galanya. Bagi masyarakat kami di pedalaman, jika bercakap tentang Kuala Lumpur, memang teruja... teruja dengan apa yang ada di Kuala Lumpur yang berbeza dengan keadaan di pedalaman.

Kalau di dalam hutan, memang kami cukup berpengalaman tetapi hutan di sini tidak sama dengan ‘hutan’ di Kuala Lumpur. Kadang-kadang orang tidak faham.

SEKARANG kita di zaman 2016, zaman yang betul-betul luar biasa bagi masyarakat saya, suku kaum Semai. Sangat mencabar. Ekonomi pun teruk. Cuaca pun dahsyat. Oleh itu, kita kena banyak bersabar. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang berada di sekitar Kuala Lumpur. Ramai juga dalam kalangan suku kami yang ada di Kuala Lumpur. Banyak anak-anak buah saya yang bekerja di sana. Bila sampai masa, saya percaya, mereka akan balik juga ke kampung. Itulah yang dikatakan hijrah. Kita kena keluar dari tempat asal. Bila kita keluar, kita cari pengalaman. Daripada pengalaman itulah kita jadi dewasa.

KALAU bercakap tentang zaman sekarang ini, kita kena selalu contohi perkara yang baik dan elok. Kuala Lumpur memang dikatakan canggih, berkembang pesat dengan segala-gala kemudahan. Macam kami ini, dari kalangan masyarakat yang kurang pengalaman dengan perkara sebegitu. Kalau di dalam hutan, memang kami cukup berpengalaman tetapi hutan di sini tidak sama dengan ‘hutan’ di Kuala Lumpur. Kadang-kadang orang tidak faham. Itu kadangkala mereka terleka dengan apa yang ada di Kuala Lumpur.

Kuala Lumpur
Seorang pekerja sedang melakukan pengubahsuaian ke atas bangunan lama di Leboh Besar Kuala Lumpur. - Foto Shahir OMAR/ASTRO AWANI

KESAN daripada hidup di bandaraya seperti Kuala Lumpur itu, kita boleh tengok. Biasanya, mereka dari pedalaman yang datang ke Kuala Lumpur untuk bekerja, akan ada sedikit perubahan pada diri mereka. Jika lagi lama mereka menetap di Kuala Lumpur, lebih banyak perubahan yang boleh dilihat.

MENDIANG nenek saya pernah beri nasihat kepada saya: masa itu ibarat emas. Jika kita leka atau lalai, masa tidak akan menunggu kita. Dia pesan kalau bangun pagi, kena bangun awal. Itu yang patut diamalkan tetapi di Kuala Lumpur tidak begitu. Ini kerana cara kerjanya itu berbeza. Kami di pedalaman, biasanya kerja dari 7 pagi hingga 7 malam. Waktu malam pula kami akan berada di rumah. Cara hidup yang sangat berbeza kalau nak dibandingkan dengan di pedalaman.

Biasanya, mereka dari pedalaman yang datang ke Kuala Lumpur untuk bekerja, akan ada sedikit perubahan pada diri mereka. Jika lagi lama mereka menetap di Kuala Lumpur, lebih banyak perubahan yang boleh dilihat.

CONTOHNYA di Kuala Lumpur, kalau saya nak ke suatu tempat pada jam 8 pagi tetapi kerana kesesakan, saya gagal. Saya kena keluar lagi awal daripada masa yang sepatutnya. Ini banyak mengganggu masa. Hidup di Kuala Lumpur ini memang betul mencabar. Serba-serbi. Bagi saya, ini bukanlah kehidupan saya. Saya lebih rela hidup di hutan.

KALAU nak beri satu pesanan, saya pesan ciptaan Tuhan ini harus dihargai. Ciptaan apa yang saya maksudkan? Hutan. Ini kerana hutan adalah sumber kehidupan manusia sejagat. Tanpa hutan, tiadalah oksigen. Tanpa hutan, tiadalah kehidupan yang sempurna. Hutan banyak peranannya. Jika kita musnahkan hutan, tak tahulah apa akan terjadi.