Tutup
Orang KL

Jadi penulis di kota plural

Wawancara: Khairunnisa Kasnoon

Facebook Twitter Email Google Whatsapp
Prev
Next

FATHI ARIS OMAR

Editor, penulis, aktivis; 48 tahun. Lahir di Kuala Terengganu dan berhijrah ke Kuala Lumpur sejak 30 tahun lalu untuk mengejar cita-cita.

SAYA memilih untuk menjadi wartawan dari dulu... daripada minat dengan kerja-kerja penerbitan di sekolah. Saya pernah mohon kerja di akhbar Watan, mohon kerja juga di Karangkraf tapi tak ada peluang. Peluang yang ada hanyalah suratkhabar pembangkang, Harakah ataupun majalah kecil-kecilan seperti Tamadun dan Dunia Islam. Tak ada peluang kerjaya dalam dunia kewartawanan sehinggalah apabila berlaku krisis politik pada 1998 dan krisis ekonomi pada 1997, 1998, 1999.

KRISIS politik itu memberi peluang kerjaya kepada saya sebab ada demand… tuntutan yang besar daripada pembaca untuk mengikuti perkembangan politik. Jadi, saya mula bekerja sepenuh masa dengan majalah isu semasa iaitu Detik, dan itu kurang lebih setahun sebelum Malaysiakini didirikan. Apabila Malaysiakini didirikan pada November 1999, sebulan selepas itu pada Disember saya sertai Malaysiakini.

ITU memberikan saya pengalaman pertama sebagai wartawan harian, penerbitan ataupun media harian, kalau tidak saya rasa memang susah untuk mencari peluang perkejaan dalam bidang kewartawanan. Kerana saya rasa, pertama, kita tidak ada latihan rasmi. Kedua, kita tidak ada pengalaman. Ketiganya, mungkin kita dilihat ada rekod orang yang melawan, menulis di tempat-tempat yang orang selalunya dianggap kritikal.

Kuala Lumpur
Seorang pelukis sedang berehat seketika di kedai menjual lukisannya yang terletak di Pasar Seni Kuala Lumpur. AWANI / SHAHIR OMAR

KUALA LUMPUR ini menarik, dengan macam-macam cerita. Antaranya… saya ingat, sesiapa yang jalani zaman percintaan muda remaja di Kuala Lumpur… akan sentiasa ingat, ini memori 80-an, 90-an… yang barangkali generasi sekarang tidak ikuti. Downtown di tengah-tengah kota Kuala Lumpur ini ialah tempat yang menarik, misalnya Kotaraya, Puduraya, Pasar Seni, Chow Kit. Itu tempat pertemuan cinta. Itu yang saya tidak dapat lupakan.

DAHULU pada tahun 80-an, 90-an kita tidak miliki kenderaan pun untuk bergerak kecuali dengan bas… bas mini, misalnya. Ini dah tak ada, digantikan dengan Rapid. Jadi, ini elemen-elemen kenangan yang nostalgia, yang romantis, pada zaman itulah. Saya masih ingat masa saya sampai di sini pada tahun 1986, Pasar Seni baru dijadikan kelompok seni. Saya lihat Pyan Habib baca sajak Aku Anak YB. Saya boleh ingat memori itu sampai sekarang, tentang puisi itu, tentang Pyan Habib. Tentang peristiwa itu.

Kalaulah Kuala Lumpur ini ada kegiatan budaya yang rancak... tak perlu banding jauh, misalnya Jakarta.

KALAULAH Kuala Lumpur ini ada kegiatan budaya yang rancak... tak perlu banding jauh, misalnya Jakarta. Ataupun, kalau ada kegiatan budaya yang banyak, bacaan puisi yang  lebih bersifat bebas dan demokratik dan tidak perlu dikawal oleh kerajaan.

JAKARTA itu ada kegiatan kesenian, kebudayaan, diskusi yang menarik, buku yang menarik, bahan buku yang menarik. Alangkah baik kalau hal seperti itu rancak lagi di Kuala Lumpur. Saya rasa kalau kita bandingkan 20, 30 tahun lepas, perkembangan yang ada sekarang 10 atau 15 tahun sekarang ini, lebih positif. Pada satu sisi, ada kegiatan yang lebih banyak, lebih aktif sekarang ini, tetapi kita perlukan lebih kurang lima kali ganda atau sepuluh kali ganda kegiatan seperti itu… kebebasan berucap yang lebih baik, bukan baik maksudnya kritikal kepada kerajaan tetapi ekspresi kritik itu lebih seni, lebih halus, lebih menarik.

KADANG-KADANG yang tak menarik di Kuala Lumpur ini ialah soal kritikan itu tidak polish, kadang-kadang terlalu kasar. Ekspresi seni kasar. Ekspresi politik itu kasar. Perbahasan kaum intelektual pun kasar.

TEMPAT yang paling membosankan di Kuala Lumpur ini ialah ruang berjalan kaki yang sangat terbatas. Di kota Eropah misalnya kita akan rasakan ruang keselesaan itu, bergerak sebagai pejalan kaki kita rasa kita dihormati sebagai pejalan kaki. Di kota Kuala Lumpur ini, tidak ada ruang pejalan kaki yang selesa. Kita terpaksa berhimpit, berkejar-kejaran dengan orang ramai, dengan kenderaan yang kadang-kadang dipandu laju. Ini saya rasa tidak selesa kerana saya adalah orang yang paling setia berjalan kaki. Maksudnya, saya tidak memandu dan tidak boleh memandu.

Kuala Lumpur
Seorang penumpang merenung jauh dari tingkap sebuah bas sewaktu hujan turun. AWANI / SHAHIR OMAR

NOSTALGIA? Saya tidak tahu ini buruk atau baik. Banyak orang misalnya mengkritik cara pemanduan bas mini tetapi bas mini adalah salah satu identiti Kuala Lumpur… tahun-tahun itulah, tahun 80, 90-an. Puduraya. Semua orang akan gunakan Puduraya khususnya mahasiswa… zaman awal-awal tidak ada kenderaan. Bagi mereka yang bersesak dengan Puduraya, dengan bas mini itulah momen yang menarik, yang diangkat oleh kartunis Lat, majalah Gila-Gila. Watak-watak manusia muncul dalam momen seperti itu.

KUALA LUMPUR memberi peluang kepada saya, peluang yang saya rasa siginifikan dalam sejarah hidup saya ini, iaitu berkenalan dengan orang daripada pelbagai kaum dengan latar kelas menengah yang berpendidikan tinggi dan kehidupan berbudaya yang baik. Saya lahir di Terengganu, tempat yang boleh dikatakan mono etnik dan kemudian ke asrama penuh yang juga mono etnik walaupun saya ada rakan-rakan kaum India, Cina, dari Sabah dan Sarawak tetapi minimum. Peluang di Kuala Lumpur ini datang apabila saya terlibat dengan proses politik khususnya sewaktu mendirikan Malaysiakini… krisis politik 1998,1999,2000 dalam proses gerakan Reformasi. Itu memberi peluang kepada saya. Kalau tidak, saya rasa kalau kita duduk di Kuala Terengganu misalnya, atau dalam kelompok yang bersifat mono etnik… Melayu sahaja, saya rasa ini tak beri peluang untuk saya maju dan keluarga saya akan ulangi kesilapan itu… duduk dalam taman perumahan yang satu kaum; bekerja di syarikat yang bersifat satu kaum, berdialog dan bercakap, sembang di warung, hanya satu kaum. Saya rasa ini satu hal yang tidak membantu orang Melayu, dan tidak membantu kesejahteraan masa depan Malaysia, umumnya.

WALAUPUN saya melalui jalan sukar sebagai wartawan, editor dan penulis, saya rasa pencapaian saya yang paling tinggi ialah memimpin Malaysiakini selama 5 tahun. Daripada kegiatan itu, melalui bantuan kawan-kawan, saya menjadi seorang penulis yang dikenali walaupun saya tahu, itu bukan sumbangan peribadi saya. Saya banyak itu didorong, dibantu oleh kawan-kawan sekeliling saya yang sebahagiannya seniman, aktitivis, editor berpengalaman seperti Steven Gan dan Ahmad Lutfi Othman, Zin Mahmud dan dibantu oleh agamawan muda. Jadi, saya rasa ini pencapaian yang menarik, dengan ambil keputusan lari dari Kuala Terengganu.

SEBAB itu saya sentiasa rimas apabila balik ke daerah asal saya sebab saya tidak boleh berdiskusi dengan rakan-rakan yang sealiran dengan saya, dengan, orang kata dalam bahasa Inggeris, yang satu wavelength dengan saya, yang baca buku sama, yang baca bahan berita yang sama. Di Kuala Lumpur, yang menarik kita berpeluang membina rangkaian sahabat-sahabat yang baca bahan berita sama, kongsi minat, kecenderungan politik yang sama, idealisme yang sama sebagai wartawan, sebagai aktivis dan  sebagai rakyat Malaysia.