Tutup
Orang KL

Jumpa kebebasan di Kuala Lumpur

Wawancara: Izza Izelan

Facebook Twitter Email Google Whatsapp
Prev
Next

ABDUL RAHMAN ZAFRUDIN @ KO KO GYI

Doktor. Berasal dari Myanmar, 66 tahun. Berhijrah dari Myanmar 30 tahun lalu.

NAMA Myanmar saya bermakna abang. Oleh sebab saya yang sulung, saya diberi nama itu.

SAYA mula datang ke Malaysia pada Januari 1986 dan bekerja sebagai doktor. Sebelum itu, saya juga seorang doktor di Myanmar selama 10 tahun. Maknanya, saya sudah menjadi doktor selama 40 tahun dan berkhidmat di negara ini selama 30 tahun. Saya sudah tinggal di Malayia hampir separuh daripada umur saya, dan selama saya di sini, saya seorang doktor.

DI Myanmar dulu saya terkenal sebagai aktivis hak asasi manusia yang memperjuangan kesaksamaan hak untuk orang Islam Myanmar seperti Rohingya.

SAYA berhijrah ke Malaysia kerana saya jelek dengan kerja yang lama dan berhenti kerja. Tidak lama selepas itu, saya menonton sebuah video tentang beberapa orang doktor Burma yang bekerja dengan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim). Ini menarik minat saya kerana pada masa itu tidak ramai orang Burma ada peluang berhijrah ke Malaysia. Jadi saya minta kerja dengan pertubuhan itu dan apabila akhirnya mereka ada kekosongan, saya tidak fikir dua kali. Saya berkhidmat dengan mereka selama tujuh tahun sebagai doktor bergerak, masuk ke kampung-kampung Orang Asli, dan merawat kanak-kanak kurang upaya di Tasputra-Perkim.

Kuala Lumpur
Dr. Abdul Rahman Zafrudin memeriksa pesakit di kliniknya. AWANI / SHAHIR OMAR

SAYA gembira dengan jalan hidup yang saya pilih walaupun pada mulanya saya tidak pernah ada cita-cita hendak jadi doktor semasa kecil. Tetapi kerana keputusan saya cemerlang dan saya dapat biasiswa, keluarga saya menggalakkan saya untuk jadi doktor.

SAYA rasa sekarang ini lebih sebagai orang Malaysia berbanding dengan Burma. Mungkin Malaysia 51 peratus dan Myanmar 49 peratus. Saya sayang Myanmar tetapi negara itu tidak kasihkan rakyatnya yang beragama Islam. Sebagai orang Islam, kami bukannya meminta hak istimewa di sana. Kami hanya mahukan kesaksamaan hak atau hak asasi manusia.

WAKTU saya mula-mula sampai di Malaysia 3 tahun lalu, hanya ada beberapa saja shopping mall macam Yaohan (The Mall -- Editor), Plaza Bukit Bintang dan Ampang Park. Tidak ada banyak jalan raya dan bangunan tinggi juga. KL sekarang sudah jauh berbeza.

ORANG-ORANG yang tinggal di KL ini keseluruhannya masih sama, dulu dan sekarang. Satu-satunya yang berbeza, pada masa itu tidak begitu banyak orang asing, dan mungkin hanya ada sedikit orang Burma. Hari ini, saya lihat ada banyak orang asing.

MANDALAY, tempat saya lahir dan membesar, hanya sebuah pekan macam yang anda boleh lihat di Kelantan. Kebanyakan orang kenal saya, dan mereka kenal orang lain juga. Saya pun kenal kebanyakan mereka, sesetengahnya sanak saudara dan kawan-kawan. Apabila saya datang ke sini, kebanyakan orang tidak begitu pedulikan orang lain. Mereka semua sibuk sepanjang masa. Tetapi selepas beberapa tahun, saya mula kenal beberapa orang kawan. KL ini kehidupan di bandar yang sepenuhnya. Dengan urbanisasi dan pembangunan, kos hidup meningkat dengan cepat.

Saya masih ingat betapa gembiranya saya pertama kali sampai di KL. Ini kerana di Myanmar, kami hidup di bawah pemerintahan sosialis yang diktator

SAYA masih ingat betapa gembiranya saya pertama kali sampai di KL. Ini kerana di Myanmar, kami hidup di bawah pemerintahan sosialis yang diktator manakala Malaysia sebuah negara demokratik yang mula membangun pada masa itu. Anda akan terkejut kalau saya ceritakan keadaan yang sebenarnya di Myanmar. Di sana, anda tidak boleh dapat bekalan elektrik 24 jam - kami bertahan dengan generator sendiri. Untuk air, kami terpaksa gali perigi sendiri. Kadang-kadang kami berbaris sepanjang malam untuk dapatkan 4 gelen petrol. Di sini, kami dapat semuanya. Semua orang gembira, dan anak-anak juga gembira. Semuanya ada 24 jam. Selalunya, kalau saya mahu ke rumah ibu bapa saya, walaupun kami tinggal di pekan yang sama, saya perlu melapor diri kepada pihak berkuasa memaklumkan kunjungan saya. Polis akan datang dan periksa, dan kalau tidak lapor diri, mereka boleh tangkap. Begitulah ketatnya keadaan di sana Di sini, tidak perlu beritahu sesiapa. Saya boleh merasakan kebebasan yang penuh.

Kuala Lumpur
Dr. Abdul Rahman Zafrudin pada zaman mudanya. KOLEKSI PERIBADI

SALAH satu kegemaran saya di sini ialah pergi ke pantai. Yang paling dekat dengan KL mungkin Port Dickson. Di Myanmar, sistem pengangkutannya sangat teruk... jadi tidak banyak orang dapat peluang untuk berehat di pantai. Saya jarang ada peluang untuk ke pantai. Saya boleh bilang berapa kali sebenarnya saya pergi ke pantai di Myanmar - tiga kali. Beberapa bulan pertama saya dan kawan-kawan sampai di sini, setiap kali ada peluang, kami pergi ke pantai. Berpuluh-puluh kali dalam masa hanya empat bulan. Kami sangat gembira. Kami menikmati hidup pada masa itu. Sekarang, semua kami hanya menghabiskan masa dengan bekerja... sama seperti orang lain di KL.

KALAU boleh memilih, saya mahu menghabiskan hari-hari akhir saya di sini, di KL. Saya rakyat Malaysia sekarang, dan semua tiga anak saya lahir dan dibesarkan di KL. Ini rumah mereka. Tiga puluh tahun saya berjuang mendapatkan kerakyatan Malaysia. Satu-satunya harapan saya ialah anak-anak saya akan terus belajar dan bekerja dengan keras, sebab walaupun mereka selama ini tinggal di sini, hidup tidak akan mudah untuk mereka kerana mereka bukan sepenuhnya orang tempatan.

SAYA akan bekerja sebagai doktor selagi mana termampu. Selebihnya, saya sudah hampir ke penghujung usia. Saya juga akan beri masa untuk diri sendiri - sembahyang, berpuasa dan jadi orang Islam yang baik, serta terus bekerja keras.