Tutup
Orang KL

Kata awal

Facebook Twitter Email Google Whatsapp
Prev
Next

SEPERTI apa - atau bagaimana rupanya - yang dinamakan orang KL? Kalau misalnya kita diminta untuk menulis tentang orang KL, apakah yang akan, atau boleh, kita catat tentang manusia yang memilih menjadikan kota raya ini sebagai rumah mereka?

Siapakah sebenarnya orang KL?

Tidak semua warga kota ini tanah tumpah darahnya di KL. Banyak yang merantau - yang datang ke kota ini dengan pelbagai alasan masing-masing. Ada yang datang untuk membina hidup atau melupakan kenangan, menyalakan harapan atau menggapai impian. Ada yang datang mencari sesuatu. Ada pula yang datang melarikan diri daripada sesuatu. Semua orang ada sebab yang tersendiri kenapa mereka bermastautin di kota ini.

Ada yang menemukan cinta di KL. Ada juga yang kehilangan cinta. Ada yang datang mengejar cita-cita dan berjaya. Ada pula yang sehingga sekarang masih terus berusaha. Ada yang datang kerana mahu meninggalkan masa silam tetapi masa silam itu sebaliknya terus membelitnya.

Apakah yang mereka pelajari daripada gugusan pengalaman yang sempat mereka kutip sepanjang berada di kota ini? Sejauh mana pula pengalaman suka duka itu membentuk hidup mereka?

Bagi mereka yang berhijrah ke KL, setiap kali tiba musim cuti yang panjang, mereka pulang ke kampung halaman - dan kemudian kembali lagi ke kota ini. Mereka yang datang dan pergi dan datang kembali itu, apakah mereka pulang atau sebenarnya hanya singgah di kampung halaman?

Orang KL adalah satu usaha melihat bagaimana sebuah kota membentuk watak penghuninya. Moga pengalaman-pengalaman yang dirakamkan ini menjadi cermin untuk kita melihat diri kita sendiri.