Tutup
Orang KL

Kota batu yang hilang hijau

Wawancara: Dania Zainuddin

Facebook Twitter Email Google Whatsapp
Prev
Next

BAIDA JANE HERCUS

Presiden Free Tree Society, 38 tahun. Lahir di Sabah, membesar di Kuala Lumpur, Melbourne dan Perth.

SAYA dilahirkan di Sabah dan membesar di Kuala Lumpur untuk suatu masa sebelum berpindah ulang-alik ke Australia. Keluarga saya menetap di sini... ibu, ayah dan adik lelaki saya. Selepas tamat pengajian di universiti dan memutuskan untuk berumahtangga, kami membuat keputusan untuk berpindah semula ke Kuala Lumpur untuk bersama-sama keluarga.

SAYA seorang orang Malaysia yang ganjil. Saya orang Melayu yang aneh. Saya orang Melayu kulit putih yang pelik. Saya selalu tertarik dengan tanaman dan tumbuh-tumbuhan. Apabila kita memandu di sekitar Kuala Lumpur, dengan sistem jalan rayanya yang agak kacau-bilau dan berlubang serta tiadanya ruang pejalan kaki, saya merasakan orang boleh melakukan lebih daripada apa yang mereka lakukan dengan kawasan hijau di luar rumah mereka dan menanam sesuatu di halaman rumah. Pokok-pokok tropika tumbuh dengan cepat tetapi orang lebih memilih untuk memasang simen di luar rumah kerana mereka rasa pokok-pokok itu menyemak.

AKTIVITI bercucuk tanam di Malaysia sudah semakin berkurangan. Orang sudah terlupa kemahiran nenek moyang serta kualiti yang ada pada herba tempatan. Dalam persekitaran kita, pokok-pokok tumbuh dengan cepat. Jadi, bagi saya, memulakan satu budaya bercucuk tanam dan memberi tumbuh-tumbuhan sebagai hadiah untuk menggalakkan lebih banyak orang menjaganya dan tidak lupa kepada kemahiran nenek moyang ini adalah satu perkara yang penting. Ini yang memang saya mahu lakukan sejak remaja. Akhirnya, saya memulakan Free Tree Society pada 2012. Ia satu pengalaman yang sangat menarik... berjumpa dengan banyak orang, memberikan penerangan. Ada banyak pelajar datang ke taman saya ini dan saya suka berinteraksi dengan dengan mereka.

ADA satu pengalaman yang mahu saya lupakan, dan ini sangat menjengkelkan saya... orang yang buat rumah tanpa permit yang sah. Dari tingkap bilik tidur, saya boleh lihat pemandangan indah bukit yang menghijau di Bangsar. Jiran saya kemudiannya membangunkan bukannya rumah tiga tingkat tetapi rumah lima tingkat. Dia menghalang pandangan saya. Saya kesal kerana pemandangan hari-hari saya sudah tidak ada lagi. Sekarang saya nampak tandas di rumahnya.

APA yang saya tidak suka tentang KL ialah masalah jerebu yang berulang-ulang. Apabila ia datang berulang-ulang, saya terfikir, apakah saya patut pindah? Tetapi harap-harapnya masalah ini akan berakhir.

Kuala Lumpur
Seorang wanita sedang melalui jalan Leboh Pasar Besar, antara laluan penting di tengah-tengah ibu kota. AWANI / SHAHIR OMAR

KALAU hendak dibandingkan, KL semasa saya masih kecil tidak ada banyak kenderaan dan tentunya lebih selamat. Saya boleh berjalan dengan kawan-kawan semasa muda remaja, berjalan kaki untukke kedai. Tetapi sekarang ada banyak kejadian ragut dan ada banyak orang yang kita tidak kenal. Saya tidak akan pernah membenarkan anak-anak saya berjalan kaki untuk ke kedai.

SAYA bukan orang Malaysia yang lazim anda jumpa. Kalau anda lihat saya, saya orang Melayu berkulit putih. Saya suka tanam-tanaman. Rumah saya mesra alam. Saya menyimpan air hujan. Saya tanam sayur sendiri. Jadi saya tentunya bukan orang yang boleh dianggap sebagai orang KL yang biasa. Tetapi saya ada banyak kawan rakyat Malaysia yang sama seperti saya. Dalam sebuah kota sebesar KL, anda boleh jumpa orang seperti saya. Ia sebuah kota yang agak besar dan cukup pelbagai sehinggakan saya tidaklah terlalu berbeza dengan orang lain, biar bagaimana berbeza sekalipun saya ini.

Kuala Lumpur
Sebuah keluarga sedang menikmati hidangan berbuka puasa di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad Kuala Lumpur sewaktu bulan Ramadan yang lalu. AWANI / SHAHIR OMAR

SAYA suka kehidupan sosial di KL. Boleh keluar pada bila-bila masa, duduk bersama kawan-kawan dan berbual. Akan selalu ada orang yang ada masa lapang. Ini sebuah kota yang mudah untuk bersosial. Orang selalu mahu pergi bercuti bersama, makan angin dan pergi makan. Ya, kita tidak akan pernah rasa sunyi. Mungkin adakalanya terlalu ramai orang sampai susah hendak lari. Adakalanya juga rasa KL ini memenatkan. Kita mahu merancang sedikit masa untuk diri sendiri tetapi ia tidak berlaku. Kita kena tutup telefon atau sembunyikan diri kalau benar-benar mahu bersendiri. Jika tidak, akan selalu ada orang yang mahu berjumpa, mahu berhubung.

KEJAYAAN terbesar saya di kota ini ialah menubuhkan Free Tree Society, bahawa saya mampu melakukannya dalam masa yang singkat dan maklum balas yang saya terima juga positif. Saya berjumpa banyak orang yang belum pernah saya temui sebelumnya dan banyak juga orang yang mahu membantu. Saya gembira impian saya terlaksana di sini, di Kuala Lumpur.