Tutup
Orang KL

Kuala Lumpur kota seni

Wawancara: Hilal Azmi

Facebook Twitter Email Google Whatsapp
Prev
Next

MEOR YUSOFF AZIDDIN

Pemuzik jalanan, penulis buku, 49 tahun. Berasal dari Beruas, Perak.

SAYA datang ke Kuala Lumpur pada tahun 1985. Sekolah di sini, tinggal dengan kakak. Dari situ saya baru mula nak kenal KL.

KEBANYAKAN anak-anak muda masa itu kalau nak ke Kuala Lumpur, dia punya mission nak capai bintang di Kuala Lumpur. Tak kira dalam apa bidang pun. Masa itu ekonomi baru nak naik. Jadi, saya pun sebahagian daripada mereka yang ada cita-cita itu.

KUALA LUMPUR ini bukanlah tempat yang ramah. KL ini kejam. Kita kena berusaha. Kita tak boleh malas di Kuala Lumpur.

Kuala Lumpur
Ahli muzik jalanan meninggalkan Jalan Tuanku Abdul Rahman Kuala Lumpur selepas membuat persembahan lebih 10 jam. Kumpulan muzik jalanan ini dianggotai oleh empat orang yang cacat penglihatan. Mereka selalunya akan membuat persembahan di sekitar Kuala Lumpur, iaitu di hadapan kompleks membeli-belah Sogo dan juga Jalan Tuanku Abdul Rahman. - Foto Astro AWANI / SHAHIR OMAR

KEJAM ini maksudnya kalau kamu tak ada kerja, duduk tepi jalan, kamu jadi gelandangan… homeless. Itu sebahagian daripada skrip kehidupan di Kuala Lumpur. Kita yang tentukan nasib sendiri. Lain kalau duduk di kampung. Rumah tak payah nak sewa, kos hidup rendah. Di sini kalau kamu tengok, cost of living tinggi. Sewa rumah di KL pun dari 800 ringgit jadi 1,000 ringgit. Kos pengangkutan pun dah naik berapa peratus? Bayangkan kalau income kita 1,000 ringgit. Belanja saja dah berapa ringgit sehari? Kalau 10 ringgit sehari, dah 300 ringgit sebulan. Sewa rumah apa semua lagi? Jadi, kalau kamu malas memang susahlah hidup di KL.

KUALA LUMPUR ini pusat seni. Kalau nak capai impian dalam bidang seni, tempatnya di Kuala Lumpur. Ini pusatnya. Di negeri-negeri lain, belum sampai… sebab di sini warganya agak open dari segi seni dan  muzik. Di kawasan-kawasan luar bandar belum lagi.

SAYA tak boleh nak hidup dengan muzik semata-mata. Dari segi pendapatan, bolehlah saya sara kehidupan... bukan nak jadi kaya tapi bolehlah untuk hidup. Tapi satu, kena usaha, kena rajin. Jangan malas. Kalau malas, habis... susah.

Kadang-kadang pembangunan ini hilangkan sifat seni yang ada. Kita pergi ke Pasar Seni pun dah macam pergi ke Bukit Bintang atau Petaling Street.

SAYA mula busking di KL pada awal tahun 2000. Waktu itu saya kerja di Yamaha Music. Memang cita-cita saya nak busking. Walaupun ada kerja yang tetap, saya memang suka busking sebab ia kena dengan genre muzik yang saya perjuangkan iaitu folk music.

SEPANJANG saya busking, ada satu pengalaman yang paling saya tak boleh lupa. Ada seorang ini, saya tak tahu dia manusia atau malaikat, dia bagi saya 800 ringgit. Tak tahu sebab apa. Dia bagi 800 ringgit. Gaya dia macam bukan orang biasa, macam orang gila. Tapi dia bagi saya 800 ringgit. Kejadian itu bagi saya ada kaitan dengan benda-benda surreal, di luar alam nyata… sebab ia ada kaitan dengan perjalanan hidup kita. Tapi benda macam ini bukan selalu jadi. Tengok pada nasib kita… mungkin tak okay… tengok juga pada tahap kepercayaan kita dengan Tuhan. Kejadian itu pada tahun 2012.

DULU Pasar Seni macam pasar seni, sekarang ini disalut ‘plastik’. Itulah yang selalu saya kesalkan. Kadang-kadang pembangunan ini hilangkan sifat seni yang ada. Kita pergi ke Pasar Seni pun dah macam pergi ke Bukit Bintang atau Petaling Street. Tak ada beza. Sepatutnya ciri-ciri seni, art itu kena ada di Pasar Seni.

BUSKER lama dan yang baru tak sama. Pengalaman yang membezakan. Masa dulu tak ada orang nak jadi busker, bro. You tanya budak-budak, dia orang tak mahu jadi busker. Dulu jadi busker bukan benda yang best. Hari ini budak-budak semua nak jadi busker sebab dia rasa best... sampaikan pertandingan pun dah jadi komersial sangat. Tapi bila difikir balik, ini cara mudah budak-budak nak dapat duit. Lagi pun dia orang pun tak ada kerja, kan? Tambah-tambah sekarang ini, ekonomi tak menentu.

SAYA ini nak kata kaya dengan busking tak adalah… tapi boleh sara kehidupan. Kita boleh survive. Sekarang ini DBKL ada bagi permit untuk busking. Ini bagi saya satu langkah ke depan. Pada saya ini penting kerana naik taraf imej golongan busker. Tetapi kami masih tak boleh main sesuka hati, tak banyak tempat boleh main. Langkah itu setidak-tidaknya jadikan busker satu kerjaya yang formal. Secara tak langsung apabila kerajaan positif, masyarakat pun positif. Apabila masyarakat tengok orang busking, pandangan mereka sudah positif. Itu paling penting dan ia kejayaan bagi saya. Lagi pun, orang ramai tak faham busking ini apa. Ini budaya baru.

Pesanan saya untuk siapa-siapa yang ada keinginan untuk datang ke Kuala Lumpur, balik kampunglah. Duduk di kampung kadang-kadang lagi okay daripada duduk di Kuala Lumpur.

PESANAN saya untuk siapa-siapa yang ada keinginan untuk datang ke Kuala Lumpur, balik kampunglah. Duduk di kampung kadang-kadang lagi okay daripada duduk di Kuala Lumpur. Kuala Lumpur ini tak janjikan apa-apa apatah lagi mimpi indah. You nak, you kena betul-betul work hard. Di kampung pun banyak cita-cita best, ada tanah kebun dan macam-macam lain.

SAYA tak tahu kenapa ramai sangat orang nak datang ke Kuala Lumpur. Kuala Lumpur ini dah makin sesak. Cuba tengok kes jenayah apa semua… macam-macam ada di sini. Itu belum dengan warga asingnya lagi. Penuh. Padat.