Tutup
Orang KL

Mimpi KL jadi kota basikal

Wawancara: Noor Azam Shairi

Facebook Twitter Email Google Whatsapp
Prev
Next

AKMAL AZFAR ABDUL MUTALIB

Pemilik The Basikal, 28 tahun. Lahir di Segamat, membesar di Sungai Buloh dan Semenyih. Mencari rezeki di Kuala Lumpur.

MACAM mana saya boleh mula buka kedai basikal? Sebenarnya saya tak pernah terfikir pun untuk buka kedai basikal. Dulu masa belajar di UPM, saya rasa naik bas dalam universiti itu satu aktiviti yang paling kurang pandai. Pasal apa? Dari bilik saya, nak turun tunggu bas, naik bas, berebut dengan perempuan semua… untuk perjalanan yang jauhnya 3 kilometer, ambil masa lebih kurang 45 minit. Itu pada saya sangat kurang pandai. Jadi saya buat keputusan, naik motosikal. Tetapi kemudian saya rasa apabila naik motosikal, saya macam membahayakan orang lain. Saya kemudian buat keputusan untuk naik basikal. Pada waktu itu juga saya mengalami keruntuhan jiwa akibat masalah cinta monyet dan untuk mengisi semula jiwa, saya mula naik basikal. Selepas saya naik basikal dan nampak diri sendiri dan nampak practicalitynya, saya rasa saya nak semua pelajar di universiti itu kayuh basikal. Saya dengan tak sengaja jadi ahli MPP (majlis perwakilan pelajar) di UPM. Selama lima tahun saya cuba galakkan orang naik basikal di universiti. Semasa saya di universiti juga saya ada tolong seorang pakcik buka bike center untuk pelajar dapatkan maklumat tentang basikal. Entah macam mana, bike center itu kemudiannya jadi besar, besar dan besar sampai jadi sebuah kedai basikal. Dengan tak sengaja juga, kita dapat jadi pengedar kepada beberapa pengeluar komponen basikal.

WAKTU saya mula-mula naik basikal, saya buat sebuah basikal dan untuk ke mana-mana saya kayuh basikal. Setiap hari. Dalam masa sebulan selepas itu, saya kayuh dari UPM ke Muar… lebih kurang 243 kilometer termasuk sesat di Melaka. Itu kali pertama saya kayuh jarak jauh. Waktu praktikal pun saya kayuh basikal dari rumah ke tempat kerja, lebih kurang 60 kilometer pergi balik.

Kuala Lumpur
Laluan basikal di Bangsar. Foto Astro AWANI / SHAHIR OMAR

APABILA kayuh basikal, saya rasa macam terbang bebas. Saya rasa lapang. Apabila angin kena muka, saya rasa macam semua masalah hilang, terbang dibawa angin. Bagi saya, itu masa paling best untuk berfikir. Ada dua masa yang saya rasa saya boleh berfikir: masa naik basikal dan masa buang air besar. Dua masa itu idea datang mencurah-curah.

ADA orang naik basikal sebab hendak berlumba. Ada juga orang yang naik basikal sebab hendak masuk event. Saya hormat mereka. Tetapi bagi saya naik basikal satu terapi untuk lapangkan fikiran.

NAIK basikal di KL ini kalau hendak ikutkan sebenarnya selamat. Banyak orang salah faham tentang ini kononnya KL ini banyak kereta dan sebagainya. Itu semua mengarut. Memanglah KL ini banyak kereta. Kalau kita fikir orang hendak langgar, bila-bila orang boleh langgar. Semuanya bergantung kepada kita sendiri. Kita yang tentukan jalan mana yang kita nak lalu. Kalau kayuh basikal di lebuh raya memanglah bahaya. Kalau awak ada pelan nak berulang-alik naik basikal, boleh rujuk laluan yang tidak bahaya. Ada banyak jalan dalam yang tidak bahaya, yang ada pemandangan yang menarik, yang ada bangunan-bangunan lama.

SEBENARNYA nak kayuh basikal dalam KL tak susah, lagi-lagi pada waktu sesak sebab semua kereta tak laju. Sebenarnya kayuh pada waktu sesak lagi best sebab awak dapat potong kereta dan boleh lambai-lambai… bye-bye, basikal lagi laju. Ini bukan berlagak tapi satu kepuasan. Mobiliti juga tak terganggu. Kalau semua kereta dah sangkut, kita boleh naik atas pavement. Ada masanya mungkin kita kena bertekak dengan pak guard, boleh atau tidak nak parking basikal. Inilah benda-benda yang mesti kita lalui kalau kayuh basikal di KL. Setidak-tidaknya hidup ini ada cabaran, daripada kita mengikut cara hidup macam orang lain yang naik kereta. Bagi saya, hidup macam orang lain itu sudah jadi terlalu normal dan tidak begitu menikmati hidup.

SAYA enjoy life dengan berbasikal kerana saya boleh jumpa lebih ramai orang. Selalunya kalau kita duduk dalam kotak besi yang beratnya dua tan, kita tak dapat semua ini. Kereta sekarang pun semua dah ada aircond. Kita tak dengar bunyi-bunyi yang ada di sekeliling kita. Kalau kayuh basikal, kita akan hargai hal-hal yang kecil yang kita nampak dan dengar. Kita tidak hanya dengar cakap orang tetapi kita explore sendiri.

Kuala Lumpur

SAYA sudah putuskan yang saya tidak mahu tinggal jauh daripada tempat kerja, yang memerlukan saya berulang-alik dengan kereta. Biarlah sewa mahal sedikit pun tak mengapa asalkan senang. Kalau naik LRT atau komuter pun, pagi-pagi… satu benda yang saya ingat, orang yang naik LRT atau komuter, muka semua ketat. Abang pernah tak naik LRT atau komuter pagi-pagi? Pergi kerja muka ketat, balik kerja pun muka ketat. Saya terfikir bila masa dia orang ini happy? Saya tertanya-tanya orang naik kereta pula macam mana. Macam mana agaknya orang menangani tekanan. Saya bukannya bagus sangat nak judge orang tetapi saya selalu terfikir macam mana kita sepatutnya boleh lebih menikmati hidup dan mempunyai hidup yang bermakna.

MENIKMATI hidup ini sesuatu yang subjektif. Apa yang saya enjoy mungkin orang lain tak enjoy. Ia bergantung sepenuhnya kepada pilihan masing-masing. Kita yang tentukan hidup kita sendiri. Selalunya, apa yang saya nampak, orang meletakkan hidup orang lain jadi hidup dia sendiri. Apabila awak letakkan kehendak orang lain jadi kehendak awak sedangkan awak sendiri tak berapa hendak sangat sebenarnya hidup yang macam itu, itu yang awak terpaksa berjuang setiap hari untuk dapatkan sesuatu yang sebenarnya bukan kehendak awak. Kalau awak tone down, duduk sekejap, go slow, awak akan sedar sebenarnya bukan itu yang awak hendak tetapi ada benda lain. Saya sendiri pun sebenarnya masih mencari apa yang saya hendak, yang akan buat saya happy. Bukan bermakna kita mesti ada semua benda baru kita akan happy. Adakah kalau kita ada semua benda yang kita hendak dalam hidup ini akhirnya kita akan gembira? Kita mungkin gembira tetapi kita mungkin tidak bahagia. Duduk di KL, atau duduk di mana-mana pun, semuanya bergantung kepada diri kita sendiri… apa yang kita hendak, bukannya apa yang orang lain hendak.

SEMASA kecil saya ada impian hendak jadi jutawan. Pada umur 17 tahun, saya mulakan syarikat saya yang pertama. Tetapi kemudiannya saya sedar itu bukanlah apa yang saya hendak dalam hidup ini. Apa yang saya hendak ialah hidup yang bahagia. Saya bersyukur kerana saya terfikir tentang masa depan dan makna hidup semasa umur saya muda. Saya jumpa basikal. Basikal buat saya gembira tetapi basikal tidak memenuhi kehendak hidup saya. Basikal itu cuma perkakas. Duit boleh penuhi kehendak hidup tetapi duit tak mungkin boleh beli kebahagiaan.

KALAU kahwin, saya mahu seorang isteri yang memahami saya dan juga suka berbasikal. Saya mahu ada sebuah keluarga yang sederhana. Saya mahu hidup yang sederhana. Setiap pagi, saya boleh hantar anak ke sekolah dengan basikal. Saya mahu mereka rasa hidup yang sederhana. Saya mahu mereka rasa hidup yang sama seperti yang ayah besarkan saya. Ada sebuah keluarga yang sederhana adalah cita-cita utama saya.

Kita yang tentukan hidup kita sendiri. Selalunya, apa yang saya nampak, orang meletakkan hidup orang lain jadi hidup dia sendiri.

SUATU masa dulu, saya suka buat semua benda dengan cepat, semuanya agresif. Kita nak kena kejar itu, kejar ini. Tetapi kemudian saya berhenti dan saya go slow. Apabila saya go slow, saya boleh hargai hal-hal kecil yang sebenarnya buatkan saya bahagia.

SAYA percaya suatu hari nanti akan lebih ramai orang berbasikal di KL. Ia boleh berlaku. Semuanya bergantung pada pendidikan dan kesedaran. Ini kerana semua manusia memang dicipta untuk mengikut kelompok yang majoriti. Walaupun kita tahu apa yang kita buat sekarang ini bukannya apa yang kita mahu tetapi oleh sebab majoriti tidak buat, kita takut hendak buat. KL akan jadi cycling nation. Ini mimpi saya. Sebelum saya mati, memang saya nak tengok lebih banyak orang kayuh basikal di KL. Itu satu benda baik yang saya boleh sumbangkan untuk KL.

SEKARANG ini pun saya sudah mulakan projek empowerment dalam kalangan remaja dan anak-anak muda untuk belajar tentang basikal. Mereka inilah yang akan jadi generasi pengganti. Apabila dewasa nanti mereka akan kembangkan kepada anak-anak mereka. Kalau kita sudah tanamkan kesedaran itu sekarang, beri masa 10 atau 15 tahun, mereka akan terima berbasikal sebagai satu idea. Kita tidak boleh harapkan mereka akan kayuh basikal sekarang kerana masih ada satu generasi yang tiada kesedaran itu. Generasi akan datang inilah yang akan menjadikan KL sebagai kota berbasikal. Kalau nak beri alasan kononnya Malaysia ini panas dan tak sesuai untuk berbasikal, kita boleh 1,001 alasan. Apa yang kita perlu buat ialah memberi jawapan kepada alasan-alasan itu dan bergerak ke depan. Daripada beri alasan, lebih baik kita buat sesuatu.

KALAU kita asyik sibuk dengan orang ini salah orang itu salah, ini tak boleh itu tak boleh, kita tak akan ke mana-mana. Kita perlu tutup mulut dan buat sesuatu dengan kekuatan masing-masing untuk buat perubahan. Tidak kisahlah kalau perubahan itu kecil sekali pun. Kalau setiap orang buat perubahan yang termampu, negara ini akan jadi lebih baik.

ADA banyak salah faham tentang berbasikal di KL. Orang ingat kayuh basikal dalam KL ini bahaya. Orang ingat kayuh basikal ini panas, kayuh basikal berpeluh, terlalu jauh, basikal hilang. Awak pergi kerja pukul 8 pagi, balik pukul 5 petang, bila pula panas? Betul atau tidak? Bila yang panas? Kalau alasan jauh, sebenarnya jarak 15 kilometer radius kita masih boleh kayuh basikal. Selepas habis belajar, saya berulang-alik dari UPM ke Pusat Perubatan Prince Court setiap hari selama dua bulan, 50 kilometer lebih kurang pergi balik. Masa yang saya ambil dengan berbasikal tak jauh bezanya dengan masa berkereta pada waktu puncak. Kalau pasal berpeluh sebenarnya ramai orang yang tak tahu cara berbasikal yang betul. Kalau kayuh tekan-tekan, memanglah berpeluh. Tetapi kalau kayuh dengan betul, tak gelabah dan relaks, tak berpeluh. Kalau berpeluh pun apabila muka kena angin peluh pun kering.

Kuala Lumpur
Penunggang basikal menggunakan laluan khas untuk basikal daripada Mid Valley ke Dataran Merdeka Kuala Lumpur. Laluan basikal itu siap pada April 2015 dengan kos kira-kira RM700,000. - Foto Astro AWANI / SHAHIR OMAR

SEBENARNYA kalau nak naik basikal kita tak perlu ada stamina macam seorang atlet. Orang lemah jantung pun boleh kayuh basikal tapi kenalah dengan cara yang betul. Awak pun tak perlu beli basikal yang super duper canggih harga sampai 10, 20 ribu ringgit kalau nak naik basikal.

KALAU kita hendak menjawab alasan, memang tak akan selesai kerja nak menjawab alasan. Sebelum orang dapat fikir alasan, kitalah yang perlu siapkan jawapan kepada alasan-alasan itu.

SAYA gembira apabila tengok muka orang happy dapat naik basikal yang sedap, lagi-lagi orang yang sebelum ini tak tahu atau tak pernah naik basikal. Walaupun kadang-kadang saya mungkin tak buat duit yang banyak, saya gembira tengok orang enjoy cycling.