Tutup
Orang KL

Saya datang KL kerana cinta

Wawancara: Hilal Azmi

Facebook Twitter Email Google Whatsapp
Prev
Next

NORRIZAN AYOB

Pengurus insurans 51 tahun. Berhijrah dari Pulau Pinang sejak 1994.

SAYA datang ke KL disebabkan cinta. Datang ke sini untuk kurangkan bil cinta jarak jauh. Demi cinta sejati, kita pindah sajalah.

PERSOALAN besar daripada penghijrahan itu, bolehkah saya bertahan? Sebabnya kalau di Penang, biarpun kerja kilang, gaji tinggi... malah sebulan dua kali gaji. Tetapi di KL, gaji dua minggu di Penang bersamaan sebulan gaji di KL. Untuk survive, kita ada back up kononnya teman lelaki masa itu. Jadi, saya mempertaruhkan hidup di Kuala Lumpur.

TAHUN pertama, tahun cabaran. Memang pahit getir nak cari rumah sewa, nak cari yang serasi. Selama ini kita dengar saja tentang Kuala Lumpur. Semuanya indah tapi bila dah duduk sini, baru tahu betapa kekuatan fizikal dan mental diperlukan untuk mengharungi kehidupan di sini.

Kuala Lumpur
Orang ramai berpusu-pusu menaiki bas awam di Kuala Lumpur. AWANI / SHAHIR OMAR

PENGALAMAN paling best duduk di KL, masa itu datang duduk sini tak ada transport. Hari-hari rasa badan berangin duduk tepi tangga bas mini. Masa itu saya duduk di Taman Dagang, dan kawasan itu sentiasa sesak dan bas tak pernah kosong. Mustahil bas kosong. Jadi, tempat yang kosong adalah di tangga dan di situ orang akan bersesak-sesak. Biarpun pengalaman itu perit sebenarnya tetapi bila ingat balik, rasa terimbau kenangan. Tambah pula waktu itu, kawan-kawan sepejabat jerit-jerit panggil kita, dan kita tak boleh nak jawab jeritan mereka. Hahaha!

DUDUK KL ini, kita nak cari rumah yang betul-betul selesa memang sukar. Kadang-kadang kita kena tikam dari belakang, terpaksa pindah malam itu juga. Kita jumpa macam-macam orang hanya sebab kita nak sewa rumah. Jadi, kita terpaksa kongsi kehidupan. Kita terpaksa juga gamble dengan berpandangan semua orang yang kita jumpa datang daripada kalangan yang baik. Cuma kadang-kadang nasib tak baik, jumpa yang sebaliknya.

BONUSNYA macam saya kerja syarikat insurans, jadi ada banyak kawan lelaki. Mereka ini yang membawa erti kawan sebenar. Tak kisah pukul berapa, bantuan diberi... yang bukan dari segi wang ringgit semata.

SAYA suka kebebasan di sini. Kita duduk sini, kita bawa diri kita. Mak tak ada nak marah, bapa tak ada nak marah. Kita boleh buat apa saja... dapat pergi dating, boleh tengok midnight, banyak benda-benda yang fun. Tetapi sembahyang lima waktu sehari jangan tinggal.

Kuala Lumpur
Seorang lelaki bersujud di Masjid Negara, Kuala Lumpur. AWANI / SHAHIR OMAR

AGAMA kena kuat di Kuala Lumpur ini sebab yang sembahyang lima waktu pun belum tentu elok, kan? Sebab cabarannya terlampau banyak dan sentiasa kena berusaha, kuat semangat.

SAYA paling rindukan pantai, memang sangat-sangat rindu pantai. Kita ini asal dari Penang. Kalau dulu, tak ada apa, kita boleh pergi Padang Kota, Batu Feringgi. Itu yang kita rindu. Sekarang, kalau nak pergi pantai pun paling dekat Port Dickson. Itu pun bukan dekat sangat.

DI KL, kesesakan lalu lintas memang makanan harian. Saya pertama kali bertapak di Jalan Yap Kwan Seng. Saya rasa KL ni dah kurang banjir sekarang. Dulu, sebut saja jalan itu, pernah banjir sampai macam kolam tau. Sekarang sudah ada perubahan pasal banjir kilat dalam bandar. Pernah sekali saya terpaksa berjalan dari Ampang Park ke Taman Dagang sebab hujan, banjir, dan bas tiada. Itu satu pengalaman yang tak dapat dilupakan. Memang jauh tapi semua jalan beramai-ramai.

BILA datang KL, tak semestinya KL janjikan kita satu kehidupan yang kalau belajar tinggi akan janjikan kebahagian, keselesaan kehidupan. Rasanya itu tak ada langsung di sini. Kita kena ada semangat yang kental. Tak ada pelajaran pun, kalau kau rajin usaha, kau akan dapatlah benda itu. Akademik ini semua tak janjikan apa-apa. Saya sendiri pun alami benda sama iaitu mula dari bawah sangat, belajar daripada pengalaman dan usaha keras.

Tak boleh tikam orang dari belakang dan jaga persahabatan kita dengan semua orang... rakan sekerja, kawan-kawan, sebab itu juga yang bakal jadikan kita berjaya.

NIAT paling penting! Tak boleh tikam orang dari belakang dan jaga persahabatan kita dengan semua orang... rakan sekerja, kawan-kawan, sebab itu juga yang bakal jadikan kita berjaya.

SAYA bangga berjaya rempuh segala dugaan yang mendatang, yang datang dalam kerjaya kita. Kadang-kadang nak bina kerjaya bukan mudah, kan? Saya dapat tepis cabaran itu.Saya dapat bertahan dalam satu syarikat lama, kira berjayalah... sebab, kalau tak boleh tahan dan selalu lompat-lompat kerja, masalah juga tu.

KALAU boleh, anak-anak saya tak perlu lalui ini semua. Tak tau kuat atau tidak mereka nak lalui semua ini.