Tutup
Orang KL

Saya tidak serik di Kuala Lumpur

Wawancara: Najib Aroff

Facebook Twitter Email Google Whatsapp
Prev
Next

NOOR AIN SIDEK

Pegawai khidmat pelanggan, 40 tahun. Berasal dari Alor Setar Kedah, menetap di Kuala Lumpur lebih 10 tahun.

SAYA mula datang ke KL pada 2003 selepas berpisah dengan suami pertama. Masa itu saya ada dua anak. Saya hendak ubah hidup saya. Saya hanya ada sijil SPM gred 2 ketika itu, tiada kawan-kawan, tiada saudara mara di KL. Saya bekerja di sebuah syarikat tukaran asing selama dua minggu kerana tidak tahan. Selepas itu saya mula bekerja dibanyak tempat termasuk pernah menjadi ulat tiket, kerja kilang dan kerja sebagai penjual kain di Kenanga City. Akhir sekali, saya bekerja di sebuah syarikat di Sungai Besi dengan gaji RM900 sebelum jadi pegawai khidmat pelanggan di sebuah syarikat pengangkutan awam sehingga kini. Saya amat bersyukur kerana Tuhan beri saya rezeki sebegini. Dari pelbagai rintangan, tiada tempat berteduh, tidur di surau bersama anak-anak, ditipu, sehinggalah dapat kerja sebegini... walaupun gaji tidak besar tetapi stabil. Tuhan saja tahu rasa syukur saya.

SUAMI kedua beza umur hanya setahun. Saya harapkan dia boleh menjaga saya dan anak-anak. Kami kenal begitu pantas, dalam tempoh 5 bulan. Kami ambil keputusan berkahwin. Saya fikir saya berseorangan di KL, dengan anak-anak, jadi kalau ada suami sebagai teman mungkin lebih baik. Semua berjalan lancar pada mulanya sehinggalah saya mengandung anak ketiga, baru saya dapat tahu suami saya seorang penagih dadah selepas dia ditahan polis. Tuhan sahaja tahu. Saya perlu turun naik mahkamah selalu, hidup sentiasa dalam ketakutan walaupun bukan saya yang buat salah. Tetapi orang sebelah saya yang buat salah, saya yang takut. Anak-anak mula terima tempias... malu. Malu nak beritahu keluarga di kampung. Saya ikat jamin dan pujuk dia pulang ke kampung. Saya tinggalkan kerja saya di KL dan kami pulang ke kampung untuk mulakan hidup baru. Tetapi dia tidak berubah malah masih terus dengan sikap menagih dadah. Akhirnya, keluarga tahu sikap suami. 

SAYA malu. Saya sudah lakukan kesilapan berkahwin dengan dia. Saya kembali semula ke KL bersama suami. Saya menumpang di rumah kakak ipar, rumah teres setingkat bersama suami. Dalam rumah itu ada 14 orang lain. Bayangkan... dengan anak-anak saya lagi. Saya tidak boleh bekerja sebab saya mengandung, tidak ada syarikat hendak ambil saya bekerja. Terlalu susah hidup masa itu. Malu jangan dikata... kita menumpang rumah orang, menumpang makan orang. Kandungan saya berusia tujuh bulan, suami saya ditahan lagi atas masalah sama... dadah. Saya mula fikir sampai bila hendak begini. Saya malu, tetapi tidak boleh lari. Ada anak-anak dan saya pula sarat mengandung dengan suami ditangkap.

Kuala Lumpur
Rumah pangsa yang dibangunkan sebagai perumahan awam pada zaman awal Kuala Lumpur berkembang menjadi sebuah kota moden. AWANI / SHAHIR OMAR

SAYA cuba minta rumah DBKL, tidak dapat. Turun naik bangunan DBKL untuk berurusan... seorang diri. Alhamdulillah, kandungan saya lapan bulan saya dapat rumah DBKL. Saya sangat bersyukur walaupun ketika saya masuk rumah itu tidak ada lampu, tidak ada tikar... kosong. Saya tidur di lantai bersama anak-anak. Saya mohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Baitulmal sebab saya mengandung tidak ada siapa hendak ambil bekerja. Masa itu jiran saya orang India... dia banyak bantu saya, belikan baju anak, susu dan segala persiapan. Tiba masa saya hendak bersalin, saya pergi ke hospital seorang diri naik monorel turun di Chow Kit, jalan kaki ke hospital bersama anak-anak lain. Alhamdulillah, semua dipermudahkan, saya jaga anak saya selama 3 bulan sebelum ibu saya datang dan minta untuk jaga anak sebab bimbangkan nasib saya... tambahan saya perlu bekerja. Saya tiada pilihan selain membenarkan.

SAYA kemudian cuba cari kerja. Saya kerja di Kenanga City, kedai kain, kerja kilang... ada waktu kerja malam. Anak-anak yang lain mula terabai. Saya risau... takut masalah sosial hidup di flat yang penuh dengan aktiviti dadah. Saya ambil keputusan hantar anak ke rumah jagaan ibu tunggal di Kajang. Saya bimbang... bimbang mereka benci saya sebab ingat saya buang mereka. Tetapi Alhamdulillah, mereka faham. Setiap minggu saya naik bas jenguk mereka. Saya pernah tanya kepada Tuhan "kenapa saya... lepas satu, satu?" Tapi Tuhan itu adil. Dia tahu kita mampu lalui.

Ini bandar besar, semangat perlu kuat. Kita susah, susah sendiri dan tidak boleh putus asa. Jangan ingat kita baik dengan orang, orang akan baik dengan kita. KL ini macam-macam orang, macam-macam ragam.

INI bandar besar, semangat perlu kuat. Kita susah, susah sendiri dan tidak boleh putus asa. Jangan ingat kita baik dengan orang, orang akan baik dengan kita. KL ini macam-macam orang, macam-macam ragam. Bila orang tahu kita susah dan ada masalah, orang tidak mahu dekat dengan kita sebab mereka rasa kita bawa masalah. Nasib saya ada anak-anak, jika tidak tentu saya tidak sekuat ini.

Kuala Lumpur
Noor Ain Sidek di pasar malam tempat dia berniaga. AWANI / SHAHIR OMAR

HIDUP perlu tabah dan berani, Jangan buat kerja separuh jalan. Jangan lari dari masalah. Tempuhi dengan segala kekuatan dan yang penting tidak putus asa, Insya-Allah, Tuhan permudahkan.

SUAMI saya yang sekarang ini dikenalkan oleh kawan waktu saya mula mula dapat kerja jadi pegawai khidmat pelanggan. Walaupun jarak umur jauh tetapi Alhamdulillah, dia sangat baik. Dia tahu semua kisah hidup saya, tiada satu pun rahsia dan dia terima saya seadanya. Inilah kejayaan. Dapat kerja yang saya kira sempurna, suami yang baik, anak-anak membesar dan bersekolah seperti kanak kanak lain. Saya lebih yakin merancang masa depan.

Jadilah diri sendiri di KL. Jangan ikutkan orang. Sentiasa bersyukur. Hidup sederhana dalam segala hal.

JADILAH diri sendiri di KL. Jangan ikutkan orang. Sentiasa bersyukur. Hidup sederhana dalam segala hal.

SAYA suka melancong. Walaupun dulu tidak terlintas untuk pergi ke negara orang, Alhamdulillah, kini saya mampu lihat budaya, sikap dan adat orang. Kerja sekarang banyak memungkinkan keadaan. Saya dan suami berjual di pasar malam setiap  hari Khamis. Kami kumpul duit sedikit demi sedikit kemudian kami melancong. 

SAYA tidak serik. KL banyak mengajar saya erti hidup. Hidup tidak akan selamanya susah. Jika niat kita betul, Tuhan akan bantu, tetapi jangan berhenti berusaha.