Tutup
Orang KL

Tidak boleh menyerah kalah

Wawancara: Tan Su Lin

Facebook Twitter Email Google Whatsapp
Prev
Next

SYAHRIL ABDUL KADIR

Bekas wartawan, pengusaha food truck Nasi Kandar Kaw, 39 tahun. Lahir di Sabah, membesar di Pulau Pinang, bersekolah di Terengganu dan kini menetap di Kuala Lumpur.

ARWAH bapa saya dulu seorang anggota tentera, jadi kami selalu merantau. Saya sendiri lahir di Sabah, kemudian saya dibesarkan di Pulau Pinang. Saya bersekolah di Terengganu dan akhirnya mengambil SPM di Kuala Lumpur.  Itu ceritanya, bagaimana saya boleh berada di Kuala Lumpur.

WALAUPUN saya bukan anak jati Kuala Lumpur, saya dibesarkan di merata tempat, tetapi saya rasa sekarang Kuala Lumpur sudah menjadi macam hometown saya. Keluarga pun dah banyak berpindah ke sini. Peluang pun banyak di Kuala Lumpur, sama ada nak tak nak saja. Sebab itulah selepas tamat sekolah, saya sudah mula berada di sini untuk mencari rezeki.

Di KL ada macam-macam; ada benda menarik, ada benda pahit, menyedihkan dan macam-macam. Tapi untuk menjadi warga KL, itulah harga yang perlu kita bayar.

PENGALAMAN pahit di Kuala Lumpur tak ada sangat, cuma saya rasa semua orang merasai benda sama apabila berlaku kejatuhan ekonomi pada 1998, demonstrasi sana sini, nampaknya KL menjadi target lah. Namun di sebalik cerita-cerita menarik di Kuala Lumpur, sudah tentu ada seribu macam kenangan. Ada yang bagi kami warga KL terkilan pun ada, tapi nak buat macam mana? Kita terpaksa lalui juga. Ini satu pengalaman yang mungkin tidak ada di tempat lain. Di tempat lain mungkin tak ada demonstrasi dan sebagainya. Tetapi di KL ada macam-macam; ada benda menarik, ada benda pahit, menyedihkan dan macam-macam. Tapi untuk menjadi warga KL, itulah harga yang perlu kita bayar.

Kuala Lumpur
Warga asing menikmati suasana malam di Jalan Bukit Bintang di tengah Kuala Lumpur. AWANI / SHAHIR OMAR

PERKARA yang paling saya suka adalah Kuala Lumpur ini menjanjikan seribu satu macam peluang untuk orang berniaga, untuk orang mencari rezeki tapi pada masa sama selaras dengan kemajuan negara, kita lihat pertambahan warga asing. Ada yang datang secara izin dan ada yang tanpa izin. Akhirnya, kita lihat ada macam-macam penyakit yang kita tak pernah dengar. Kementerian Kesihatan juga mengatakan ia mungkin berpunca daripada pendatang asing ini. Di samping peluang rezeki itu, ada juga mereka yang mengambil kesempatan masuk ke tempat kita dengan cara tidak betul dan ini sedikit sebanyak mengecewakan kami sebagai warga Kuala Lumpur.

Kita tidak boleh menyerah kalah. Kita kena kerja sekuat hati untuk memastikan survival kita dan keluarga.

PERKARA yang paling mengajar saya di Kuala Lumpur, sebagai warga KL adalah betapa kita terpaksa menghadapi beban kenaikan kos, beban kewangan atau sukarnya untuk mencari rezeki. Macam di tempat lain kalau RM10 mungkin boleh buat macam-macam tetapi di KL, RM10 mungkin masih tidak mencukupi, apatah lagi mereka yang ada keluarga. Tetapi sebenarnya, rasanya mana-mana ibu kota di seluruh negara pun, semua warganya mengalami masalah yang sama. Jadi yang paling penting, kita tidak boleh menyerah kalah. Kita kena kerja sekuat hati untuk memastikan survival kita dan keluarga.

SECARA peribadi, saya merasakan saya dah buat yang terbaik. Sebelum ini saya pernah menceburi bidang kewartawanan, saya pernah berkhidmat dengan kerajaan, saya pernah bertugas dengan menteri dan sekarang saya ceburi perniagaan ini bersama sahabat saya. Jadi bagi saya, saya dah cuba buat yang terbaik. Memang kita tak boleh berpuas hati sangat. Kalau kita berpuas hati mungkin kita akan hanya setakat itu sahaja.  Kuala Lumpur menjanjikan seribu macam peluang jadi saya bersama rakan saya merasakan kami perlu bersama-sama menyahut cabaran itu dan Alhamdulillah, so far we are on the right track.