Media di Indonesia menggesa rakyat republik itu untuk memberikan tumpuan kepada usaha penyatuan nasional dan melupakan segala perbezaan politik selepas Mahkamah Perlembagaan mengesahkan kemenangan Joko Widodo atau Jokowi dalam pemilihan presiden yang berlangsung pada 9 Julai lalu.

Mahkamah itu pada Khamis sebulat suara menolak petisyen yang dikemukakan oleh pesaing Jokowi, bekas jeneral, Prabowo Subianto dan sekaligus mengekalkan keputusan pilihan raya yang diumumkan oleh suruhanjaya pilihan raya (KPU) republik itu pada 22 Julai lepas.

Petisyen itu diputuskan oleh barisan sembilan hakim yang mengeluarkan keputusan setebal 4,000 halaman.

"Sama ada Prabowo menerima kekalahan pilihan raya atau meneruskan perjuangan atas apa yang beliau anggap sebagai ketidakadilan, itu tidak lagi relevan. Kita mesti maju ke hadapan untuk membentuk kerajaan baru yang akan berkhidmat kepada rakyat," kata akhbar The Jakarta Globe dalam lidah pengarangnya hari ini.

KPU empat minggu sebelum ini mengisytiharkan Jokowi memenangi pilihan raya yang sengit itu dengan kelebihan undi sebanyak enam peratusatau lebih kurang lapan juta undi. Prabowo bagaimanapun beberapa jam sebelum pengisytiharan itu mengumumkan menarik diri daripada proses pengiraan selepas mendakwa ada penyelewengan proses pilihan raya.

Dalam lidah pengarangnya, The Jakarta Globe menyebutkan cabaran-cabaran yang dihadapi oleh Indonesia menyentuh soal jurang ekonomi rakyat, prejudis ke atas kelompok minorit serta pendidikan.

Ia mengingatkan bangsa Indonesia tentang pentingnya hidup berharmoni seperti yang digariskan oleh Pancasila yang menjadi falsafah dasar kenegaraan republik itu.

"Ketepikan hal-hal yang remeh dan dendam, dan tumpukan kepada tugas yang ada: meningkatkan taraf hidup semua," kata akhbar itu.

The Jakarta Globe bagaimanapun mengakui tugas itu bukan mudah tetapi ia boleh dicapai dengan kerjasama semua pihak.

Sementara itu, akhbar The Jakarta Post meramalkan penyokong Prabowo akan meninggalkan bekas jeneral itu selepas calon presiden itu "gagal memalukan Indonesia di mata dunia" apabila mendakwa demokrasi di republik itu lebih buruk daripada Korea Utara.

Ia juga membayangkan parti politik seperti Golkar dan Parti Persatuan Pembangunan (PPP) yang mendukung Prabowo semasa kempen pilihan raya akan turut mengasingkan diri "demi survival".

Polis pada Khamis melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan protes yang dibuat oleh pendukung Prabowo di tengah kota Jakarta menjelang keputusan mahkamah tersebut.