Keputusan sama ada Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu atau mesra disapa Mat Sabu bertanding atau tidak dalam Pilihan Raya Umum ke-13, (PRU-13) masih menjadi tanda tanya.

Ada yang menganggap jika Mat Sabu tidak bertanding, ia bukan sesuatu yang mengejutkan, tetapi bukan sedikit yang merasakan ia satu tamparan hebat kepada PAS kerana Timbalan Presiden memilih untuk tidak bertanding pilihan raya kerana kecewa dengan mainan politik dalaman partinya sendiri.

Penganalisis politik, Prof. Madya Dr. Ahmad Martadha Mohamed menyifatkan, ia merupakan satu trend di kalangan barisan kepimpinan tertinggi Pas untuk menonjolkan golongan ulama pada PRU ke-13 nanti.

Biarpun Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali menjelaskan bahawa parti itu akan memastikan Mat Sabu bertanding di kawasan yang sesuai namun ia tidak dapat menutup atau mematikan gerakan dari dalam parti yang sedang berusaha 'membunuh' karier sosok politik yang kerap naik turun mahkamah itu.

Gerakan untuk 'membunuh' karier politik Mat Sabu bukan rahsia di kalangan pemimpin PAS, malah ada di kalangan pemimpin kanan parti itu menerusi proksinya sedang berusaha untuk memastikan bekas tahanan ISA itu tidak bertanding di Parlimen Pendang biarpun dicalonkan oleh PAS kawasan tersebut.

Usaha untuk menyekat Mat Sabu merupakan satu perancangan kumpulan-kumpulan tertentu dalam PAS untuk memastikan dalam pemilihan parti itu tahun ini, Timbalan Presiden baru akan dipilih.

Pertembungan ideologi antara golongan ulama dan profesional dalam PAS telah wujud sejak sekian lama. Kemunculan seorang demi seorang tokoh profesional yang diterima masyarakat amat membimbangkan golongan yang mengelarkan diri mereka ulama dalam PAS.

Usaha berterusan dilakukan untuk golongan profesional tidak mendapat tempat dalam kepimpinan PAS. Paling popular disebarkan bahawa jika golongan yang mahu dikenali sebagai ulama tidak lagi menerajui PAS, maka kepimpinan ulama akan berkubur dan hilanglah parti Islam. Bagi golongan ini, hanya yang berjubah dan berserban sahaja layak menerajui parti Islam.

Atas alasan itu juga, Mat Sabu perlu dinyahkan dari jawatan tertinggi parti kerana jika terus menduduki kerusi nombor dua tentunya tokoh yang sering mengetuai demonstrasi itu akan menggantikan Presiden jika apa-apa berlaku kepada Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Jika ini berlaku, ia merupakan satu 'mimpi buruk' bagi golongan yang menggelarkan diri mereka ulama dalam PAS.

Di kalangan golongan profesional pula, Mat Sabu bukanlah pilihan utama mereka. Sokongan padu golongan ini ketika pemilihan parti tahun 2011 hanyalah semata-mata kerana tidak mahu mengulangi kesilapan yang dilakukan pada tahun 2009 yang mana dua tokoh yang dikatakan mewakili golongan profesional, Mat Sabu dan Datuk Husam Musa telah bertanding jawatan Timbalan Presiden yang disandang Nasharudin Md Isa.

Mat Sabu dan Husam tewas kepada Nasharudin dalam pertandingan tiga penjuru itu. Kerana itu, ketika pemilihan tahun 2011, golongan profesional sepakat tidak menyenaraikan calon untuk jawatan Timbalan Presiden kerana mahu memastikan Mat Sabu memenangi jawatan tersebut sekaligus merobohkan benteng yang telah dibina oleh golongan ulama.

Bagi sesetengah dari golongan profesional, Mat Sabu dilihat masih dengan cara lama.

Mat Sabu merupakan sosok yang popular di kalangan akar umbi. Kerana popularnya juga beliau sering mendapat undangan untuk berceramah di seluruh pelosok negara. PAS kawasan pula menggunakan populariti Mat Sabu untuk menarik seramai mungkin penyokong parti ke ceramah yang dianjurkan dan dapat mengutip sebanyak mungkin derma.

Satu perkara mengenai Mat Sabu, biarpun popular, beliau dilihat tidak mempunyai imej nasional. Beliau juga lebih dikenali dengan jenakanya ketika ceramah berbanding ideanya mengenai tata kelola yang cekap.

Biarpun lebih dikenali dengan jenakanya, ada yang berpendapat suara Mat Sabu perlu kedengaran di dewan rakyat berbanding hanya di pentas ceramah. Kerana faktor itu, ada penganalisis politik berpendangan, PAS Pusat perlu membuat keputusan tegas membenarkan Timbalan Presidennya bertanding di parlimen Pendang seterusnya tidak terikut-ikut rentak puak yang mempunyai kepentingan lain.