Seorang Muslim wajib memberikan kesaksian apabila diminta. Mengundi pada pilihanraya adalah satu kesaksian. Justeru menjadi kewajiban untuk seseorang Muslim itu mengundi. Jangan diabaikan kewajiban ini kerana ia boleh melemahkan perjuangan umat.

Kelalaian memenuhi tuntutan ini boleh membinasakan keagungan Islam. Maka jelas di sini bahawa pengundian seorang Muslim bukan semata-mata memenuhi tanggungjawab kenegaraan tetapi juga amanah keagamaan.

Keamanan perlu dipelihara bagi menjamin kesejahteraan negara. Pihak wewenang mesti melaksanakan tugas dengan sikap amanah dan tanggungjawab yang tinggi.

Kehilangan integriti menerusi sikap yang bias, kelemahan pengurusan, kelewatan tindakan dan penipuan boleh mengundang kemarahan dan menyalakan api keganasan.

Kepada ahli-ahli parti yang bersaing elakkan sikap melampau dan taksub melulu. Segala scenario perlu ditangani dengan akal yang waras dan tindakan yang tepat. Jangan digadaikan keamanan menerusi aksi yang keterlaluan.

Justeru, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyeru agar rakyat Malaysia mendokong dan menyokong politik adiluhung (yang tinggi mutunya -- Editor) yang menjunjung nilai yang murni untuk ditegakkan dalam masyarakat. Menjana nilai adalah permulaan langkah dalam mengangkat martabat bangsa.

Perjuangan politik yang menjunjung tinggi nilai kebenaran dan keadilan perlu dijadikan teras dalam membina tamadun bangsa. Amalan politik longkang yang menjadikan fitnah, adu domba, rasuah dan ugutan sebagai alat dalam persaingan merebut kuasa mesti diketepikan.

_____________________________________________________

AMIDI ABD MANAN ialah Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

*Tulisan ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Astro Awani.