Akibat berkawan dengan DAP, PAS tidak lagi kedengaran 'galak' melaungkan agenda menubuhkan negara Islam dan melaksanakan hukum hudud dalam ceramah mereka menjelang pilihan raya umum ke-13 awal bulan depan.

Kali ini, pengisian ceramah PAS lebih kepada isu royalti minyak, menuduh pemimpin Barisan Nasional rasuah, Umno tidak Islamik, Umno menolak hudud, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak telus, harga barang naik serta membuat tohmahan terhadap Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) oleh kerajaan pusat.

Kebanyakan isu yang dibangkitkan PAS bersifat kitar semula meskipun kerajaan pusat, Umno Kelantan dan SPR sudah menjawab dan memberi penjelasan kepada rakyat berkaitan isu-isu yang dibangkitkan itu.

Mengenai royalti minyak, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berulang kali menjelaskan bahawa kerajaan persekutuan sudah menubuhkan jawatankuasa khas untuk mengkaji secara telus berhubung isu bayaran tunai hasil petroleum kepada negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung termasuk Kelantan, maka serahkanlah kepada jawatankuasa berkenaan.

Tetapi malangnya, terdapat pihak yang menyokong tuntutan itu, tidak semena-mena marah hingga mereka membuat patung 'Mustapa' dan menyebatnya di khalayak ramai, suatu perbuatan yang dianggap keterlaluan.

Bagi penulis pula, sepanjang membuat liputan pelbagai pilihan raya di Kelantan sejak pertengahan tahun 1990-an dahulu, suasana kempen dalam ceramah PAS begitu 'galak' memperjuang penubuhan negara Islam dan pelaksanaan hukum hudud.

Kini, ceramah PAS nyata berbeza terutama kerana mereka tidak lagi menekankan perjuangan asal menubuhkan negara Islam dan hukum hudud.

Bekas Setiausaha Dewan Ulama PAS Kelantan yang juga pengasas PAS Kelantan Wan Ismail Wan Ahmad, 87, berkata PAS telah menggadai nilai-nilai murni Islam semata-mata gila kuasa hendak ke Putrajaya, serta sanggup mengambil DAP sebagai sahabat yang jelas menentang Islam.

PAS juga dilihat cuba menjawab isu-isu yang dibangkitkan oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk isu tanah, kegiatan pembalakan yang tidak terkawal, bantahan penduduk Orang Asli di Hulu Kelantan yang terjejas pendapatan akibat pembukaan ladang pertanian dan pencemaran bekalan air.

Maka tidak hairan terdapat anggota dan pemimpin tegar PAS yang meninggalkan parti itu kerana kecewa dengan kepimpinan parti berkenaan, sebagaimana baru-baru ini seramai 300 bekas anggota PAS dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tawang menyertai Umno.

Ketua kumpulan berkenaan, Rosli Md Noor, 46, yang juga bekas setiausaha lujnah sukan dan kebajikan PAS cawangan Tawang, berkata mereka meninggalkan PAS dan menyertai Umno kerana kesedaran sendiri setelah parti itu tersasar jauh daripada landasan asal perjuangan agama.

Pengerusi Biro Agama Nadi Rakyat Malaysia, Rujhan Abdul Rahman pula melihat PAS sejak kebelakangan ini, setelah mengadakan pakatan dengan DAP, seolah-olah ketandusan isu.

"Maka PAS menggunakan kembali isu-isu agama seperti mengatakan tukar kerajaan PAS di Kelantan ini akan dipertanggungjawabkan di akhirat, tetapi dasar yang diperjuangkan PAS untuk meletakkan Al-Quran dan Hadis, dasar yang diperjuangkan untuk menubuhkan negara Islam, melaksanakan hukum hudud, semuanya sudah terkubur apabila dia mengadakan pakatan dengan DAP," katanya kepada Bernama di sini.

Kerana itu, katanya, PAS dilihat lebih banyak memaki dan mencaci pemimpin Umno.

"Kita hari ini dapat melihat sendiri bagaimana Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan kesatuan ummah dan akidah sehingga dia boleh mengatakan solat orang Umno tidak mendapat pahala, bagaimana jika orang itu memang jahil dia kata aku tak solat pun tak apa sebab solat tak dapat pahala, bagaimana Nik Aziz hendak menangani soal akidah sebegini?" katanya.

Beliau melihat sejak akhir-akhir ini PAS sudah berada di tahap yang begitu 'nazak' akibat perkongsian dengan DAP yang terang-terang menentang perjuangan PAS untuk menubuhkan negara Islam dan melaksanakan hudud.

"Jika benar Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia akan membatal DAP, kenapa DAP hendak menggunakan logo PAS tidak logo PKR (Parti Keadilan Rakyat)?, di sini kita nampak PAS dicengkam oleh DAP atau mungkin DAP mempunyai maklumat yang lebih besar lagi yang menyebabkan PAS sendiri takut kepada DAP," katanya.

Rujhan turut membidas pemimpin PAS yang terus mendakwa kononnya "PAS itu Islam, Islam itu PAS" sehingga mengelirukan masyarakat, dalam meraih sokongan menjelang PRU13 pada 5 Mei.

"Hari ini mereka meletakkan PAS itu Islam, Islam itu PAS, ini ialah fatwa politik dan bukannya fatwa agama, bagaimana kalau Islam itu PAS yang tidak ada PAS di tempat lain, bagaimana dengan negara Arab yang tidak ada PAS, bagaimana mereka hendak masuk syurga?" katanya.

Beliau berharap masyarakat tidak terpedaya dengan dakwaan itu kerana PAS hanya sebuah parti politik yang membawa wadah kononnya memperjuang Islam tetapi hakikatnya menggadai Islam.

"Cuma kekeliruan rakyat kerana pemimpin PAS ini berselindung di sebalik imej mereka, pakaian mereka nampak warak dengan kopiah mereka, jubah mereka tetapi cuba tengok apa yang berlaku terhadap pemimpin PAS yang didakwa melakukan kemungkaran tetapi pemimpinnya sanggup membela orang berkenaan," kata Rujhan.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Dr Awang Adek Husin berkata hanya penyokong tegar PAS yang masih percaya undi PAS ialah tiket untuk ke syurga tetapi pengundi muda, orang atas pagar dan cerdik pandai tidak mudah dipedaya.

Tambahnya PAS hanya di Malaysia, jadi bagaimanakah dengan umat Islam di negara lain adakah mereka menjadi ahli neraka kerana tidak mengundi PAS?

Awang Adek juga mendakwa baru-baru ini dua anggota muslimat PAS mengunjungi rumah anggota Wanita Umno dan menawarkan RM500 sebagai habuan supaya mengundi PAS. -- Mohamad Bakri Darus (BERNAMA)

_____________________________________________________________________

* Tulisan ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Astro Awani.