....dan calon-calon untuk Anugerah Akademi yang ke-85 sudahlah kita ketahui. Filem mana yang bakal menang apabila majlis penganugerahannya diadakan 24 Februari nanti pun sudah boleh kita tebak, berdasarkan kepada pilihan Golden Globes pada Isnin.

Lincoln arahan Steven Spielberg unggul dengan 12 pencalonan. Filem itu diangkat sebahagiannya daripada biografi Presiden Amerika Syarikat ke-16 tulisan Doris Kearns Goodwin. Buku berjudul Team of Rivals: The Political Genius of Abraham Lincoln itu menceritakan bagaimana Lincoln menghimpunkan seteru politiknya dalam barisan kabinet dan mendapatkan konsensus untuk menghapuskan sistem perhambaan.

Lincoln menerima pencalonan antaranya bagi kategori Filem Terbaik dan Pengarah Terbaik. Ia diekori oleh filem Life of Pi arahan Ang Lee yang mendapat 11 pencalonan.

Life of Pi ditayangkan di negara ini selama lebih sebulan sejak akhir November. Lincoln pula dijadualkan masuk panggung pada pertengahan Februari. Tetapi sebahagian besar fiem yang tersenarai sebagai calon anugerah tahunan itu tidak pernah dan tidak akan pernah sampai ke pawagam berdekatan anda — kalau adapun, mungkin DVD cetak rompak.

Itulah hakikatnya. Cuba semak senarai pemenang terdahulu. Tidak usah selak senarai pemenang jauh-jauh sampai ke tahun 1990. Ambil tahun lalu saja, cukup. Hugo arahan Martin Scorsese yang menang lima Oscar — semuanya bagi kategori teknikal — tidak ditayangkan di negara ini.

The Artist, filem bisu dalam hitam putih yang menang lima anugerah termasuk Filem Terbaik, Pengarah Terbaik untuk Michel Hazanavicius dan Pelakon Lelaki Terbaik untuk Jean Dujardin pula hanya ditayangkan di negara ini sempena Festival Filem Perancis.

Kenapa dua filem yang menang besar di Anugerah Akademi tahun lalu itu tidak ditayangkan di pawagam berdekatan? Hanya pengedar filem dan keluarga mereka saja yang tahu.

Jadi, ada apa dengan anugerah itu sampai orang sangat teruja? Malah ada di kalangan karyawan kita yang heboh menganjurkan penganugerahan filem yang me'Melayu'kan Oscar jadi Oskar. Apa bendanya ini?

Anugerah Akademi sebenarnya bukanlah anugerah filem bertaraf dunia. Ia penganugerahan yang diberikan oleh ahli akademi perfileman di Amerika Syarikat. Akademi itu — nama penuhnya Academy of Motion Pictures Arts and Sciences atau AMPAS — dianggotai oleh hampir 6,000 karyawan dan pengkritik filem yang kebanyakannya berpusat di Hollywood.

Kajian yang dilakukan oleh akhbar Los Angeles Times setahun yang lalu mendapati ada sesuatu yang tidak kena dengan komposisi keahlian badan profesional itu. Kajian tersebut mendedahkan bahawa 94 peratus ahli AMPAS terdiri daripada mereka yang berkulit putih, 77 peratus lelaki dan hanya 14 peratus di bawah umur 50 tahun. AMPAS boleh dikatakan sebuah badan orang tua kerana purata umur ahli-ahlinya ialah 62 tahun.

Dari sisi lain, Oscar bukan satu penganugerahan kepada filem antarabangsa dalam erti kata yang sebenar. Ia umumnya adalah anugerah untuk filem Hollywood atau yang ditayang di Amerika Syarikat yang diberi berdasarkan undi popular ahli AMPAS.

Cuba bandingkan Anugerah Akademi dengan festival filem antarabangsa yang lain — Cannes, misalnya. Festival Filem Cannes ialah sebuah acara pesta filem yang juga berlangsung setahun sekali tetapi memakan masa sekitar 10 hari dan menayangkan lebih 50 buah filem dari serata dunia. Cannes jadi papan lonjak kepada pembikin flem melancarkan karya mereka. Pembikin filem memilih Cannes untuk tayangan perdana karya mereka. Cannes mempertandingkan filem terbaru dari serata dunia yang diadili oleh juri yang dihormati dan berwibawa.

Anugerah Akademi atau Oscar sebaliknya hanyalah sebuah acara penganugerahan yang berlangsung pada satu malam. Ia tidak langsung memberi ruang kepada tayangan filem. Penyertaan antarabangsa bagi kategori Filem Asing Terbaik dalam Anugerah Akademi pula hanya satu calon dari sebuah negara; itupun dipilih oleh institusi kerajaan dan tidak semestinya merupakan filem yang terbaik dari negara berkenaan.

Tetapi perbezaan yang paling besar dan utama antara Anugerah Akademi dan Cannes ialah yang satu bersifat populis; yang satu lagi pengiktirafan seni. Menang Oscar bagi kategori Filem Asing Terbaik belum tentu akan meletakkan filem tersebut dalam kamus pengkritik atau memahatkan namanya dalam mercu tanda sejarah filem dunia. Tetapi menang Palme d'Or adalah kemuncak karier seseorang pengarah.

Malah, pengkritik filem antarabangsa sama sekali tidak pernah terpengaruh dengan Anugerah Akademi. Lihat saja Vertigo arahan Alfred Hitchcock yang tahun lalu dipilih oleh majalah Sight & Sound sebagai filem terbaik sepanjang zaman. Vertigo menyingkirkan Citizen Kane arahan Orson Welles yang sebelum ini duduk di tangga teratas senarai pilihan pengkritik majalah terbitan Institut Filem Britain itu selama 50 tahun.

Dan jangan tidak tahu, Citizen Kane itu pun tidak menang Oscar.

Beberapa filem yang baik dari Hollywood seperti Bonnie and Clyde, Dog Day Afternoon, The Shawshank Redemption dan Fargo juga tidak pernah diangkat dengan Oscar.

Jadi, ada apa sebenarnya dengan Oscar?