Jumaat lalu, pengumuman Bajet 2014 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut merangkumi peruntukan sebanyak RM 389 juta buat pembangunan sukan negara.

Daripada jumlah itu,.RM239 juta adalah untuk pembangunan pogram jurulatih, peningkatan pencarian bakat serta meningkatkan prasarana sukan di negara ini.

Baki selebihnya adalah untuk kontinjen negara, di temasya Sukan Asia, Komanwel dan juga Remaja Olimpik tahun depan.

Saya percaya jumlah itu mencukupi buat Kementerian Belia dan Sukan (KBS), bagi memastikan pogram untuk menghasilkan jurulatih berkualiti dalam sukan-sukan utama dapat dihasilkan.

Memang, saya juga setuju dengan peruntukan untuk meningkatkan prasarana sukan di negara ini.
Seperti dicadangkan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong, kawasan luar bandar juga perlu mempunyai prasarana sukan mencukupi.

Saya percaya KBS dibawah pimpinan Khairy Jamaluddin, akan mengambil pendekatan terbaik untuk menggunakan peruntukan itu dengan berkesan.

Tidak dapat dinafikan, peranan jurulatih amat penting dalam menghasilkan atlet berkualiti.

Selain pengumuman Bajet 2014, saingan Watson Piala Malaysia turut mencuri tumpuan minggu ini.

Kejayaan Kelantan melepasi halangan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membuktikan, skuad The Red Warriors masih antara pasukan terbaik musim ini, walaupun kehilangan Norshahrul Idlan Talaha dan Nurul Azwan Roya.

Apa yang pasti, pengendali Kelantan, Bojan Hodak juga berhak menerima pujian kerana mampu melakar pendekatan taktikal sesuai untuk memastikan kemenangan pasukannya.

Bagi saya, Kelantan wajar meneruskan kemaraan ke final jika dilihat kepada aksi sepanjang musim.
Dua tahun lalu, saya pernah membuat laporan khas mengenai pasukan dan pengurusan Kelantan yang membolehkan saya, memenangi Anugerah Ulasan Sukan Terbaik Anugerah SAM 2011.

Apa yang boleh saya katakan ialah, budaya bola sepak memang dapat dirasai di Kelantan dan suasana itu kini, semakin berkembang ke negeri-negeri lain.

Jika sebelum ini, penyokong Kelantan kerap diakitkan dengan aspek negatif, tetapi kini..mereka adalah penyeri bola sepak negara kerana sokongan padu terhadap pasukan mereka.