Bintang bola sepak antarabangsa Wales, Gareth Bale kini pemain termahal dunia selepas melengkapkan perpindahan bernilai €100 dari kelab Inggeris, Tottenham Hotspur ke gergasi Sepanyol, Real Madrid.

Bayaran itu turut mengatasi, rekod perpindahan rakan sepasukannya di Real, Cristiano Ronaldo yang berjumlah €80 million ketika berhijrah dari Manchester United pada 2009.

Perpindahan Bale menimbulkan pelbagai reaksi di kalangan pemerhati, kerana ia adalah jumlah yang cukup tinggi dibayar untuk seorang pemain yang masih belum meraih sebarang kejuaraan utama di peringkat kelab, mahupun antarabangsa.

Secara peribadi, saya memang mengikuti dan meminati pemain berkaki kidal ini kerana dia memiliki potensi menjadi antara pemain terbaik dunia, seangkatan dengan Ronaldo dan dua bintang Barcelona, Lionel Messi serta Neymar.

Pembelian Bale turut mendapat restu lagenda Real dan Perancis,Zinedine Zidane yang kini menjadi penolong pengurus serta Pengarah Sukan di kelab itu.

Bale turut mengakui, dia mahu meningkatkan tahap permainannya ke tahap lebih tinggi dan salah satu cara mencapai sasarannya, adalah dengan beraksi dengan barisan terbaik dunia.

Bagi saya, Bale mampu berjaya tetapi dia perlu cepat mengadaptasi dengan persekitaran di kelab barunya itu.

Bale mungkin pemain termahal dunia, tetapi Ronaldo tetap dilihat sebagai antara pemain paling berpengaruh di Real dan juga ketika di bilik persalinan pemain skuad Galacticos.

Bekas pemain Southampton, berkemungkinan menjadi pemain termahal dunia yang tidak akan beraksi di saingan Piala Dunia Brazil tahun depan.

Ia gara-gara, kedudukan Wales di tangga kedua tercorot, Kumpulan A kelayakan Piala Dunia Zon Eropah.
Meskipun gagal layak ke saingan utama di peringkat antarabangsa sejak Piala Dunia 1958, Wales beberapa kali hampir mara ke pusingan akhir kejohanan utama dalam tempoh sedekad ini.

Justeru, satu lagi cabaran buat Bale, adalah untuk satu hari nanti membantu negaranya mara ke pusingan akhir sebuah kejohanan utama di masa depan.

Bagi saya, jika dia mampu melakukannya selain meraih kejuaraan bersama Real, dia berhak untuk satu hari menerima anugerah Ballon d' Or.

Apa pun, Bale kini perlu terlebih dulu bersaing untuk tempat dalam kesebelasan utama Real, di bawah kendalian Carlo Ancelotti musim ini.