ADA ironi yang sangat besar apabila konsert penyanyi Ke$ha dibatalkan kira-kira 36 jam sebelum ia dijadual berlangsung di Stadium Negara pada Sabtu malam. Agensi berkaitan di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia memaklumkan larangan tersebut kepada penganjurnya pada pukul 11.24 pagi Jumaat. Lebih kurang lima jam kemudian, ketika membentangkan Bajet 2014 di Dewan Rakyat, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bercakap tentang hasrat kerajaan menjadikan tahun 2015 sebagai Tahun Festival untuk menarik lebih ramai pelancong.

Butir lanjut mengenai kenapa konsert itu dibatalkan hanya akan diketahui dalam masa beberapa hari ini. Tetapi berita yang tersebar ke serata dunia ialah konsert itu disekat kerana "menyentuh sensitiviti agama dan bertentangan dengan budaya Malaysia".

Penganjurnya, Livescape mendakwa rugi RM1.1 juta kerana larangan yang dikenakan pada saat-saat akhir itu. Ia berjanji akan memulangkan balik wang tiket kepada peminat. Ia juga akan membayar balik segala kos perjalanan ke Kuala Lumpur termasuk kepada pelancong yang datang ke negara ini semata-mata untuk hadir ke konsert itu.

Ini bukan kali pertama larangan seperti ini dibuat. Hanya sebulan lepas, konsert Lamb of God juga dilarang dengan alasan yang sama. Sempena Hari Kebangsaan ke 56, sebuah pementasan dari Singapura yang bertajuk MERdEKAnya KITA dihalang daripada mengadakan persembahan kerana dianggap ancaman kepada negara walaupun kandungan naskhah tersebut mengenai jalur kemerdekaan tiga negara, Malaysia, Indonesia dan Singapura. Tahun lalu, Singapore Dance Theatre dilarang daripada membuat persembahan ballet di Kuala Lumpur kerana pakaian tarian itu dikatakan kurang sopan walaupun memang itulah pakaian untuk tarian ballet di mana-mana pun di dunia ini.



Ini semua adalah acara yang sudah ditetapkan tetapi kemudian dibatalkan kerana tidak mendapat kebenaran — dalam kata mudahnya, dilarang. Kita tidak tahu berapa banyak lagi persembahan muzik atau teater yang dilarang kerana proses untuk membawa persembahan itu ke sini tidak didedahkan kepada umum — hanya diketahui di kalangan orang dalam industri.

Apakah kayu ukur yang digunakan apabila pihak berkuasa membuat sesuatu larangan seperti ini? Apabila kita bercakap tentang sensitiviti agama, apakah batas antara apa yang sensitif dan apa yang tidak sensitif? Siapa yang sensitif? Negara ini berbilang kaum dan agama — sudah tentu dalam apa hal sekali pun akan ada pihak yang sensitif. Apakah kalau satu pihak sensitif maka semua orang harus menanggung akibat daripada sensitiviti itu? Bagaimana pula kalau orang terlebih sensitif? Sensitiviti itu pula apa asasnya? Adakah ia berasas atau adakah ia kebimbangan yang dibuat-buat?

Begitu juga, apabila pihak berkuasa menggunakan alasan "budaya Malaysia", acuan apakah sebenarnya yang dipakai? Tesis atau kitab mana yang dirujuk yang menggariskan bahawa inilah budaya Malaysia? Kita selalu dengar orang kata "ini bukan budaya kita" — makanya, budaya kita itu apa dan bagaimana?

Setelah 56 tahun Merdeka, apakah kita masih ingat — kalau tidak menganut sekali pun — prinsip-prinsip penubuhan negara ini yang diletakkan batu asasnya oleh Tunku Abdul Rahman: "… kebebasan dan keadilan dan sentiasa menjaga dan mengutamakan kesejahteraan dan kesentosaan rakyatnya dan mengekalkan keamanan antara segala bangsa." Di mana garis pemisah antara hak-hak kebebasan dan usaha menuju sentosa itu?

Inilah ironinya. Bukan, bukan ironi lagi. Ini mungkin satu tragedi.

Adakah mereka yang berkenaan sedar bahawa bidang seni adalah satu bisnes dan sumber ekonomi? Adakah mereka sedar tentang peluang ekonomi yang terlepas? Adakah mereka juga sedar bahawa larangan demi larangan yang dibuat selama ini secara tidak langsung mewujudkan satu suasana yang kurang selesa di kalangan pelabur — siapa lagi yang mahu menaja persembahan muzik atau teater antarabangsa?

Adakah kita memahami keadaan semasa di rantau ini — tentang kelas menengah yang sedang tumbuh di Indonesia dan tentang ekonomi yang subur berkembang di Filipina? Adakah kita memahami tentang keperluan kelas menengah selepas mereka menyelesaikan segala keperluan makan dan pakai? Lihat juga apakah yang ditawarkan oleh Singapura kepada keperluan kelas menengah Asia Tenggara ini?

Mustahil tidak ada seorang pun di kalangan pentadbir di negara ini yang tidak faham hubung kait industri seni budaya dan hiburan dengan pelancongan dan ekonomi. Atau, memang sebenarnya mereka tidak faham?

Menganjurkan persembahan di negara ini, baik konsert muzik, teater atau tarian, adalah satu risiko yang sangat tinggi. Tidak semua orang berani ambil risiko itu. Itu sebabnya apabila ada penyanyi antarabangsa yang buat konsert jelajah di rantau sebelah sini, Malaysia selalu saja tidak termasuk dalam senarai. Mereka singgah di Jakarta, Singapura, Manila dan Bangkok tetapi tidak Kuala Lumpur.

Maka, berbondong-bondonglah rakyat kelas menengah negara ini ke kota-kota negara jiran itu untuk menonton konsert atau menyaksikan teater bertaraf dunia. Kelas menengah yang menonton konsert atau teater itu juga berbelanja — sekurang-kurangnya untuk ke sana ke mari, untuk makan, untuk bermalam. Orang ekonomi faham kesan proses aktiviti-aktiviti ini; orang yang menguruskan permit persembahan artis luar negara mungkin tidak faham.

Semasa membentangkan Bajet 2014, Perdana Menteri menyebut cita-cita pentadbirannya mahu menarik lebih banyak pendapatan daripada wang asing melalui pelancongan. Beliau mengumumkan tahun 2015 sebagai Tahun Festival "dengan penganjuran dan pameran pelbagai program budaya dan perayaan di negara ini".

Apa yang dilakukan oleh penganjur persembahan antarabangsa itu sama. Sasaran mereka bukan saja penonton dan peminat muzik dalam negara tetapi pelancong dari negara-negara di rantau ini — kumpulan kelas menengah yang mampu berbelanja. Apa yang mereka lakukan itu juga adalah menyediakan ruang kepada sebahagian rakyat untuk bergembira — menuju bahagia dan sentosa.

Kita kuat melaungkan tentang kesederhanaan blabla blabla blabla tetapi kita sendiri pun tidak begitu jelas yang dikatakan sederhana itu agaknya apa.

Itulah ironinya — ironi yang sedang jadi tragedi.

____________________________________

Noor Azam Shairi ke Singapura tahun lalu untuk menonton konsert Sting dan tahun ini ke Singapura lagi untuk menonton pementasan teater arahan Yukio Ninagawa dan Peter Brook. Dia gembira.