Moro

MAJLISNYA ringkas dan singkat. Bahawa pada 27 Mac 2014, upacara menandatangani Perjanjian Komprehensif Mengenai Bangsamoro (CAB) di Istana Malacanang, Manila, Filipina itu tiada acara potong riben atau pecahkan ais sebagaimana majlis rasmi lain.

Tempoh masa tidak lebih, tidak kurang 3 jam, dimulai ucapan wakil Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) ; perantara diwakili Perdana Menteri Datuk Najib Razak dan Presiden Filipina, Benigno Aquino III sebelum cukup ditutup dengan tandatangani persetujuan. Semua yang hadir senyum gembira, tiada duka menjelma. Itu saja kisah beberapa jam pada petang 27 Mac 2014.

Namun, latar kisah dalam majlis hanya tidak lebih 3 jam itu, ada sangkut liku yang panjang; pedih ranjau berbisa selebihnya ada denyut jadi tidak berdegup dan lebih nestapa dari ria. Tempoh kesukaran itu dilalui penduduk di Mindanao, selatan Filipina cukup lama, 40 tahun atau lebih tiga dekad. Sungguh, majlis yang hanya tidak sampai suku daripada hari diberikan kepada seluruh manusia itu menjadi perintis kepada sinar baru kepada entiti Bangsamoro.

Keadilan Bangsamoro

Maka tidak hairan jika hari itu jadi hari kebesaran kepada Bangsamoro, seolah-olah hari raya untuk mana-mana kaum meraikannya. Jika ada yang mungkin terlupa atau tersangkut ingatannya tentang apa yang akan berlaku selepas majlis tidak lebih 3 jam itu, saya ringkaskannya sebaik mungkin. Dengan termeterai CAB , tamatkan konflik yang ragut 150,000 nyawa ia turut mengiktiraf hak Bangsamoro yang majoritinya beragama Islam.

Begitu juga kedaulatan aspirasi Bangsamoro serta masa depan politik mereka bagi membentuk kerajaan sendiri turut diiktiraf. Apabila mereka mempuyai kerajaan sendiri, sudah pasti identiti mereka dilindungi. Kandungan perjanjian juga merangkumi persetujuan MILF-Manila mengiktiraf tanggungjawab bersama mendokong prinsip keadilan serta komitmen kedua-dua pihak untuk mengurangkan ketidakadilan sosial, ekonomi dan politik selain memperbetulkan semua ketidakadilan sejarah terhadap Bangsamoro.

Seterusnya, MILF dan kerajaan Fillipina juga setuju untuk tangani masalah pembahagian sama rata kekayaan dan kuasa politik demi kepentingan kedua-dua belah pihak.

Dalam beberapa persetujuan itu, saya tertarik untuk mengupasnya dari sudut sejarah Bangsamoro yang mendakwa dilayan secara tidak adil sebelum ini. Bangsamoro pastinya tidak mahu memiliki identiti serupa dengan rakyat Filipina yang lain. Bukan saja soal warna kulit, suku kaum dan agama tetapi ia melibatkan tanah dan wilayah. Rebutan terhadap tanah ini berlanjutan sejak kedatangan penjajah Sepanyol pada kurun ke-16 dahulu.

Wilayah Tanah Pesaka

Ketika negara-negara lain sudah bergerak melampaui zaman itu, Filipina masih tersangkut di situ. Di sinilah perjuangan MILF dan Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) sebelum ini. Mereka mahukan wilayah pesaka mereka terjamin dan kedaulatannya tidak diceroboh oleh pihak dari utara. Maknanya bangsa Moro mahu mempertahankan kemerdekaan melalui pertahanan ketuanannya ke atas wilayah mereka sendiri.

“Di peringkat asas kerajaan Filipina, mereka menerima bahawa bangsa Moro mempunyai kedaulatan ke atas wilayah-wilayah pusaka mereka. Sebab itu mereka bersetuju terhadap Memorandum Persetujuan bagi Wilayah Nenek Moyang (Memorandum of Agreement on Ancestral Domain (MOA-AD). Tetapi sebelum perkara itu dapat diteruskan, penduduk bukan Islam khususnya beragama Katholik membantah dan dari situ mereka mencari jalan menggagalkannya. ’’ kata Penyelaras Kajian Konflik Asia Tenggara, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Kamarulzaman Askadar . Beliau lazim dihubungi dan dicari apabila isu Mindanao dan Moro dibangkitkan. .

Kata beliau lagi semasa berkongsi pandangan mengenai isu itu, rasa bimbang penduduk bukan Islam dan bukan bangsa Moro ada asasnya kerana ia timbul tidak sahaja kerana soal agama tetapi juga sifat MILF sendiri yang telah lama berjuang menggunakan senjata. Soal agama pula dikaitkan pada kebimbangan bahawa MILF akan menubuhkan kerajaan ekstremis apabila berdamai kelak.

“Akibat daripada kebimbangan ini, ada kalangan penduduk membuat petisyen untuk dibawa ke Mahkamah Tinggi dengan berhujah bahawa persetujuan itu bercanggah dengan Perlembagaan Filipina yang menghalang sebarang pemisahan wilayah sebagaimana berlaku pada 2008.”

Moro

MILF dan MNLF

Di sini, sekali lagi Bangsamoro perlu berusaha meyakinkan bahawa bentuk pemerintahan sendiri pascapersetujuan nanti adil dan saksama. Dengan persetujuan itu, wilayah yang dianggap lebih besar akan diberikan kepada pihak Moro. Dalam hal ini, pada asasnya pun, keseluruhan pulau Mindanao dan pulau-pulau di sekitarnya adalah milik Bangsamoro. Pejuang MNLF dan MILF telahpun mengalah dan menerima wilayah yang sudah diperkecilkan.

Apabila persetujuan itu dimeterai, ia menunjukkan bahawa di satu pihak Bangsamoro menerima kedaulatan Filipina tetapi dengan jaminan hak mereka. Jika Manila menekankan bahawa Filipina menguasai mereka secara perlembagaan, maka Moro boleh berhujah bahawa mereka menolak sama sekali Perlembangaan Filipina yang memasukkan wilayah mereka ke dalam republik berkenaan. Ini kerana asalnya iaitu sejak diketahui sejarah, Moro mempunyai kedaulatan ke atas wilayahnya dengan adanya pelbagai kesultanan. Di sebelah utara juga terdapat pelbagai kesultanan. Apabila penjajah Sepanyol datang, mereka berjaya menakluk banyak wilayah di sebelah utara. Bagaimanapun mereka gagal untuk sepenuhnya menakluki wilayah Moro. Namun begitu mereka mengangap keseluruhan Filipina adalah milik mereka.

Apabila Filipina merdeka, dengan sendirinya mereka mewariskan tanah jajahan Filipina. Tetapi bagi Bangsamoro, perpindahan kedaulatan tidak boleh dilakukan tanpa persetujuan mereka. Inilah asas perjuangan MNLF yang kemudian berpecah melahirkan MILF. Mereka mahu negara yang merdeka. Tetapi setelah peperangan yang berlanjutan dan kedua-dua pihak tidak mencapai sebarang kemenangan, maka sewajarnya satu jalan tengah diperoleh demi kebaikan bersama.

Inilah tolak ansur yang berlaku di mana MNLF dan MILF mengiktiraf Republik Filipina tetapi pada waktu yang sama kedaulatan Bangsamoro ke atas wilayah-wilayah itu terjamin. Inilah sebenarnya makna yang membawa harapan baru Bangsamoro. Inilah satu perkembangan yang boleh dianggap cukup baik lagi bersejarah.

Darah diganti dakwat

Sebelum detik bersejarah dimuktamad pada 27 Mac itu , saya berada di Manila untuk menyelami sentimen perjanjian Bangsamoro. Dapat difahami beberapa perkara bermain di fikiran mereka. Nah, benar sekali, mereka cukup berterima kasih kepada Malaysia kerana bantu memberi lorong lebih mudah ke terowong keamanan. Kedua, harapan mereka jangan ada perang dan keganasan lagi selepas biru dakwat dicurah mengganti merah darah pada majlis 27 Mac.

“Kesumat, marah dan luka boleh beralih jika jalannya ada serta benar pula. Mata pedang lawannya akal bukannya pedang juga. Itu hasil sabar penantian 40 tahun.’’ kata Wan Salamat Mousa salah seorang Bangsamoro yang ditemui di Quiapo, perkampungan minoriti Islam di Manila. Terdapat 25,000 penduduk Islam tinggal di Quiapo dengan kelompok kecil 3,000 orang Bangsamoro menetap di penempatan kecil dalam perkarangan Masjid Kubah Emas yang kebanyakannya lari daripada konflik bersenjata di Mindanao.

Moro
Wan Salamat Mousa (Kiri) bersama penulis

Dalam gembira meraikan perkembangan baru melibatkan Bangsamoro itu, saya jadi teringat kepada resah damai di selatan Thailand. Yang semakin sangat dekat kepada keamanan ialah Mindanao dan Bangsamoro. Yang masih ilusi dan jauh daripada damai, minoriti Islam Narathiwat, Yala dan Pattani. Kedua-duanya akrab dengan Malaysia. Malaysia jadi perantara atau fasilitator damai di kedua-duanya. Satu lebih 90% berjaya; satu lagi masih tersangkut pada proses rundingan. Namun, seperti kata Perdana Menteri di majlis bersejarah itu, masa boleh jadi pengubat. Mungkin masa juga menentukan di mana tempatnya perdamaian di wilayah bergolak.