INI sebuah kisah benar — cerita yang ada kena-mengena dengan mereka yang hidup atau yang telah mati tetapi terus terang, sebarang persamaan kisah ini dengan cerita mereka atau mungkin cerita anda bukan saya sengajakan.

Cerita ini saya ketengahkan selepas timbul desakan/gerakan/hasutan (sila potong mana yang tidak berkenaan) untuk memboikot beberapa perniagaan dan barangan milik orang Cina.

Alasannya, seperti yang dilaporkan oleh media, kerana mereka itu mendanai Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum yang baru lalu. Tindakan mereka itu dikatakan telah memecahbelahkan perpaduan dalam negara. Ia juga sebagai isyarat kepada peniaga-peniaga berkenaan supaya "jangan kurang ajar".

Kempen boikot itu didesak/digerakkan/dihasut (sila potong mana yang tidak berkenaan) ke atas 29 perniagaan dan barangan melibatkan rangkaian kedai makan, rangkaian pasar raya serta beberapa jenama barangan keperluan asas seperti minyak, tepung dan roti.

Ini pengakuan — daripada senarai perniagaan dan barangan itu, ada beberapa yang biasa saya beli. Dua kedai makan itu pula tempat saya selalu berjumpa kawan-kawan terutamanya kerana lokasinya yang selesa dan mudah untuk bertemujanji, dan bukan sangat kerana sedap roti bakar atau kopinya.

Tetapi kisah benar yang hendak saya ceritakan ini bukan tentang kedai kopi tersebut atau perniagaan dan barangan lain yang didesak/digerakkan/dihasut untuk diboikot itu.

Ini cerita lain tetapi ada kena-mengena dengan kempen boikot itu kerana selepas beberapa hari NGO berkenaan mendesak/menggerakkan/menghasut kempen tersebut, mesej akhir yang tinggal dan difahami oleh umum ialah "kempen boikot perniagaan dan barangan orang Cina". Titik. Mesej yang lain tercicir.

Ini pengakuan kedua: Saya ada masalah dengan kempen boikot ini. Pertama, alasannya kurang jelas. Kedua, alasan-alasan lain yang disebut selepas itu seperti status halalnya diragui, barangan itu tidak selamat untuk dimakan, perniagaan itu hanya mementingkan keuntungan dan tidak beretika adalah hal-hal yang dilihat hanya muncul kemudian. Asas kempen boikot ini asalnya kerana apa dan untuk apa?

Tindakan boikot adalah satu pilihan ekonomi. Kita membuat keputusan untuk membeli sesuatu barangan atau menggunakan sesuatu perkhidmatan atas pertimbangan untung rugi. Kita membuat pilihan itu secara umumnya untuk kepentingan sendiri iaitu meningkatkan manfaat dan mengurangkan kos. Kita membuat pilihan itu secara bermaklumat.

Sebagai contoh, apabila ingin membeli sesuatu barangan atau memilih sesuatu perkhidmatan antara perkara yang kita lakukan ialah membandingkan harga. Kalau sesuatu barangan itu murah sekalipun adakalanya kita tidak akan membelinya kerana barangan itu misalnya, mungkin tidak tahan lama. Oleh itu, kita sedia untuk membayar lebih kerana biarpun mahal tetapi dari segi kos jangka panjang ia menguntungkan.

Seseorang pengguna, sama ada dia memahami atau tidak konsep pilihan ekonomi, sebenarnya membuat pilihan itu setiap hari. Ada yang melakukannya secara sedar dan ada juga yang melakukannya sebagai satu kebiasaan. Adakah kita berbelanja atas asas kaum?

Saya sendiri tidak membuat pilihan itu atas asas kaum. Saya berbelanja untuk mendapatkan sesuatu barangan atau perkhidmatan kerana saya mahu mendapatkan manfaat yang sebanyak mungkin daripada barangan atau perkhidmatan itu.

Ini kisah benar. Saya tidak pernah ada apa-apa masalah untuk memanggil Ah Kong, tukang rumah yang duduk di Jalan Ipoh, kerana saya tahu saya tidak akan berdepan dengan hal-hal berbangkit seperti kerja yang selekeh, tidak tepat waktu, tiada disiplin kerja dan sebagainya. Malah saya tidak pernah melihat Ah Kong sebagai Cina. Saya kenal dia sebagai seorang tukang rumah, itu saja.

Ini pula pengakuan yang terakhir: Saya akan ikut kempen boikot kalau ada alasan yang munasabah untuk memboikot. Malah saya sudah dan akan terus memboikot peniaga yang tidak jujur, menipu dan tidak profesional. Saya juga memboikot perniagaan yang mutu perkhidmatannya tidak memuaskan hati.

Saya tidak sama sekali memboikot kerana fahaman atau sokongan politik mereka kerana kalau saya berbuat begitu saya tidak tahu apa hendak jawab kalau ada orang bertanya: Habis, kenapa ada pilihan raya?