ADA beberapa tafsiran yang boleh dibuat dengan imej himpunan jutaan manusia menunggu sebarang jenis kenderaan untuk pulang bersama keluarga sempena sambutan Tahun Baru China pada hujung minggu .

Himpunan itu, buruh-buruh murah tidak kisah menunggu sehingga 12 jam, asalkan dapat menaiki kenderaan lalu kembali ke halaman selepas bekerja mencari rezeki di bandar-bandar besar. Angka yang dibincangkan di sini bukannya ratus atau ribu tetapi juta.

Maka, disebut juga di dalam laporan bahawa ia merupakan penghijrahan terbesar dalam tamadun manusia untuk sebuah perhimpunan bersama keluarga.

Kerana tradisi, mereka diikat untuk terpaksa bersama keluarga di malam bersejarah “makan besar”. Jika bukan kerana tradisi, sudah lama barangkali mereka tidak pulang berhari raya bersama keluarga disebabkan hambatan tertentu.

Tetapi tradisi sekali pun lama kelamaan akan hilang jika tidak diamalkan secara besar-besaran. Buku “A Different Chinese” karya CQ ada membongkar bagaimana era globalisasi menempatkan warga Cina di beberapa negara dan menjadikan pula mereka antara paling berjaya.

Mereka bukan sahaja berpengaruh di China, kehadiran mereka ada di Singapura, Malaysia dan Thailand. Suara mereka juga kedengaran di Taiwan, Singapura, Filipina dan Vietnam. Kalau itu dambil kira, mereka ada di hampir semua negara ASEAN. Individu paling kaya di Malaysia, Filipina dan Thailand ialah orang Cina dan bukannya bangsa lain.

CQ dalam bukunya itu juga membincangkan bagaimana kekayaan, kemakmuran dan kejayaan menukar secara perlahan-lahan orang Cina di negara-negara yang mereka diami. Betapa walaupun dalam keadaan tertentu tradisi Cina masih dipelihara, tetapi ia pada masa sama menukar gaya hidup kadang- kala menjadi lambang budaya kaum Cina itu sendiri. Saya harus bersetuju dengan CQ kerana beberapa sebab.

Satu, saya memiliki ramai rakan kaum Cina. Mereka rata-rata berbahasa Inggeris. Nama mereka bukan Chen Chen tetapi Amy Chan, pangkal nama yang digunakan, bukan melambangkan mereka kaum Cina sepenuhnya. Anak kepada beberapa rakan saya dari kaum Cina pula, mereka tidak dihantar ke sekolah jenis Cina, sebaliknya ke sekolah antarabangsa, sebab itu kebanyakan generasi muda Cina sekarang lebih fasih menulis dan membaca dalam bahasa Inggeris berbanding bahasa ibunda mereka.

Saya beberapa kali melawat China, antaranya di Beijing, Shanghai dan Kunming. Rata-rata mereka di sana tidak membaca akhbar berbahasa Mandarin. Malah di Malaysia sekali pun, pelanggan terbesar akhbar The Star, akhbar bahasa Inggeris utama di Malaysia ialah kaum Cina. Inilah antara tradisi yang disebutkan tadi, secara perlahan-lahan hilang dan tidak lagi mesra bersama orang-orang Cina di seluruh dunia.

Namun, di sebalik semua itu sekali pun, seolah-olah dapat diterima apabila dikatakan bahawa China menjadi kuasa baru di dunia, dan bukan lagi bergantung sepenuhnya kepada Amerika Syarikat. Ini didokong kuat oleh kekuatan ekonomi China yang meningkat pesat itu.

Kalau ada pun negara di dunia ini yang boleh menyainginya ialah Jepun. Tetapi sedikit malang bagi Jepun, ia pernah jatuh dan bangkit dan jatuh lagi ekonominya disebabkan pelbagai faktor, tanpa terkecuali bencana yang terlalu banyak. Ia dilihat tidak akan dapat menandingi China, yang mempunyai penduduk paling ramai.

Sistem politik di China pula berasaskan komunisme sekali gus menjanjikan kestabilan lebih ampuh berbanding Jepun. China hasilkan barangan murah untuk kegunaan dunia. Maka dengan itu, manusia dikerah bagi tujuan tersebut. Kekuatan ekonomi China ini tentunya mengukuhkan kedudukan politiknya di mata dunia.

Bayangkan dua perkara ini. Bahasa Mandarin, asalnya di China, adalah bahasa paling banyak digunakan oleh manusia. Penduduk paling ramai di dunia ialah yang ada di China. Apa lagi yang diperlukan untuk menjadikan sesebuah negara itu kuat melainkan ada kekuatan komunikasi dan modal manusia sebagai penggerak ekonomi. Tidak syak lagi dua perkara ini meletakkan China sebagai tenaga utama masa depan dunia.

Maka dengan itu, himpunan penghijrahan tahunan jutaan warga China menunggu untuk pulang bersama keluarga merayakan sambutan Tahun Baru Cina itu perlu dibaca pada lapis yang lain, betapa China akan terus pesat membangun disebabkan ramainya tenaga sebagai penggerak . Bahawa China, di tangan kepimpinan baru nanti, kekal jadi kuasa dunia disebabkan ekonominya yang membangun itu. Himpunan penghijrahan jutaan manusia itu cerminan realitinya kenyataan tersebut.