SEKARANG ini, yang "gerek seh" ― seperti kata orang Melayu Singapura ― ialah menunjukkan kepada umum bahawa kita prihatin terhadap apa yang sedang berlaku di Gaza. Kita tampal stiker slogan sokong Gaza pada cermin kereta. Kita tukar gambar profail di Facebook dan Twitter. Kita pakai baju-T dengan slogan sokong Gaza atau anti Israel. Kita boikot perniagaan dan barangan yang kita percaya menyumbang kepada pembantaian ke atas penduduk di Gaza. "Jangan biaya belanja beli peluru untuk penduduk Gaza," kata mereka. Gerek seh!
Yang sangat tidak cool malah agak kurang ajar ialah apabila kita memaksa orang untuk ikut sama jadi macam kita. Ada yang memaki hamun pekerja perniagaan yang kita boikot. Ada yang katanya kena ludah. Tak bolehlah macam itu. Kita tahu atau tidak apa yang kita buat? Kata M. Nasir: "Kalau nak tahu cerita/ Mesti tahu tajuknya/ Kalau tak faham, bertanya/ Jangan hentam keromo/ Nanti takut-takut salah tarik/ Nak tarik ular lidi tertarik naga".
Pendek katanya, jangan jadi tiong emas.
Pilihan
Pemulauan sebagai aksi penentangan dalam sesuatu perjuangan ― seperti banyak hal lain dalam hidup ― adalah soal pilihan. Pilihan itu pula dibuat dengan maklumat. Kita mesti tahu apa yang kita buat dan kenapa kita memilih untuk berbuat begitu. Kita tidak boleh balun ikut suka-suka saja.
BERITA BERKAIT
Aqsa Syarif kesal orang ramai ganggu premis McDonald's
McDonald's kecewa premisnya dirosakkan
Kezaliman di Gaza ini bukan cerita baru. Ini bukan cerita seminggu dua yang lalu. Gaza ― wilayah sempit yang besar sedikit saiznya daripada Bandar Melaka dan sesak dengan 1.8 juta penduduk ― sudah terkepung sejak lebih lapan tahun yang lepas. Kepungan itu menjadikan Gaza bagaikan sebuah penjara terbuka. Ia bukan saja sebuah kawasan yang paling padat penduduk di dunia, ia juga krisis kemanusian yang paling hebat dalam sejarah manusia selepas Perang Dunia Kedua.
Cerita sepanjang lapan tahun lalu lebih menyayat hati daripada apa yang kita lihat baru-baru ini. Dalam tempoh lapan tahun itu, ia mengharungi empat serangan besar-besaran tentera rejim Israel dari udara dan darat. Serangan itu menyebabkan bangunan kediaman, masjid, sekolah dan hospital rosak teruk. Sekatan itu bagaimanapun menyebabkan segala bangunan yang rosak itu tidak dapat dibaiki semula. Sekatan itu juga menyebabkan kekurangan serba-serbi ― makanan, ubat-ubatan, peluang pekerjaan dan sebagainya.
Reaksi
Tetapi hanya baru-baru ini saja kita melihat orang ramai dan dunia amnya memberikan reaksi yang cukup luar biasa kepada nasib penduduk di Gaza. Itupun hanya selepas Piala Dunia 2014 selesai dan selepas angka korban mencecah 1,000 orang. Gaza yang sekarang masih Gaza yang dulu juga. Kalau hendak boikot, kenapa tidak sejak lapan tahun dulu?
Ini sebabnya kita kena tahu cerita dan kena tahu juga tajuk ceritanya. Cerita ini bukan hanya di Gaza saja. Jangan dalam riuh-riuh kita mengumumkan kepada dunia "saya sokong Gaza", kita membayangkan bahawa ceritanya tidak ada kena-mengena dengan Tebing Barat. Ceritanya berkait-kait ― berkait di Bukit Golan dan berkait juga di berpuluh-puluh kem pelarian yang dibuka di Syria, Lubnan dan Jordan. Ceritanya bukan tentang serangan bom, apa yang dibom dan berapa orang yang mati bedilan bom. Ceritanya tentang tanah yang dirampas yang hendak direbut kembali. Ini cerita Palestin.
BERITA BERKAIT
Bagaimana Israel mengebom bangunan di Gaza?
Robert Fisk yang hampir sepanjang hayatnya sebagai wartawan membuat liputan konflik Arab-Israel baru-baru ini mempersoalkan kenapa reaksi dunia terhadap nahas MH17 dan serangan di Gaza sangat berbeza. "Ada sesuatu yang sangat aneh tentang reaksi kita kepada dua angka korban yang memeranjatkan ini," tulisnya di The Independent. Ketika itu, angka korban di Gaza sudah cecah lebih 800 orang.
Dalam masa 24 jam selepas pesawat penerbangan MH17 dilaporkan ditembak jatuh, Israel melancarkan serangan darat ke atas Gaza. Serangan darat itu dibuat sembilan hari selepas ia membedil Gaza dari udara. Hampir semua akhbar di dunia meletakkan nahas MH17 di muka depan ― kecuali akhbar Perancis yang dihormati, Le Monde.
BAGAIMANA AKHBAR DUNIA MELAPORKAN NAHAS MH17?
Kenapa agaknya? Barangkali kita sudah mangli dengan apa yang berlaku di Gaza kerana kita sendiri pun sesat dalam jalan ceritanya. Deria kemanusiaan kita jadi tumpul. Mereka yang terbunuh hanyalah angka korban. Mereka yang terbunuh itu kemudiannya hanya jadi nota kaki, seperti kata wartawan yang melukis kartun, Joe Sacco dalam bukunya Footnotes in Gaza.
Sacco membuka laporan penyiasatannya tentang insiden pembunuhan 275 orang Palestin di Khan Younis pada 3 November 1956 dan 111 orang di Rafah sembilan hari kemudian dengan menceritakan tentang kemanglian itu di kalangan wartawan yang membuat liputan konflik Palestin-Israel. "Mereka boleh mengirimkan berita bulan lepas pada hari ini ― atau berita tahun lepas sekalipun. Siapa yang tahu apa bezanya?" kata Sacco.
Seminggu, sebulan, setahun, 10 tahun atau 50 tahun sebelumnya pun ceritanya sama. "Dua mati. Lima mati. 20 mati," tulis Sacco. Selepas itu, apa? Semua peristiwa itu datang bertimpa-timpa. Pada akhirnya kemudian nanti, setiap tragedi itu hanyalah nota kaki dalam satu catatan sejarah yang panjang. Kata Sacco, apa yang berbekas hanyalah kebencian terhadap penindasan dan cita-cita kebebasan yang terus bertumpuk.
Itu sebabnya kita yang bebas mesti memperjuangkan mereka yang dibelenggu kebebasannya. Boikot hanya satu caranya. Ada banyak cara lain juga.
Baca dan faham
Kita mesti menuntut kerajaan Barisan Nasional supaya mengotakan janjinya "berjuang untuk penubuhan sebuah negara Palestin". Janji itu ada dalam manifesto BN semasa Pilihan Raya Umum ke-13 tahun lalu. Janji mesti ditepati ― "macam malam ikut siang, macam bulan ikut matahari".
Kita juga mesti ambil tahu lebih banyak tentang Gaza, tentang Tebing Barat dan tentang seluruh permasalahan konflik Palestin-Israel ini. Kita mesti ambil tahu; tidak boleh jadi tiong emas atau burung kakaktua. Kita mesti tahu inti ceritanya termasuk isi dan kulit supaya kita tidak jadi bodoh dan ikut-ikut orang.
Apabila sudah baca dan sudah faham, kita tentu akan tahu kenapa kita mesti menulis kepada kerajaan Mesir. Kita juga akan tahu kenapa dan bagaimana Presiden Mesir sekarang, Abdul Fattah al-Sisi yang menggantikan Mohamed Morsi yang digulingkan oleh tentera berbeza sikap dan pendekatan mengenai Hamas, Gaza dan Palestin.
FOTO: PERHIMPUNAN SOKONG GAZA DI KUALA LUMPUR
Apabila sudah baca dan sudah faham, kita tentunya akan kenal apa itu yang namanya Kuartet Asia Barat. Kita tentunya selepas itu mahu menulis surat, memorandum atau petisyen kepada bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair dan kuartet itu. Kita tentu juga mahu menulis yang sama kepada kerajaan Amerika Syarikat serta kepada semua wakil rakyat di Kongres.
Apabila sudah baca dan sudah faham, kita tentunya akan tahu bagaimana sebenarnya keadaan di Gaza serta apa yang ia perlukan. Jerit pekik, caci maki dan ludah kita kepada Israel tidak akan membangunkan semula rumah, sekolah, masjid dan hospital yang ranap. Kita akan tahu bahawa yang diperlukan oleh anak-anak di Gaza bukanlah baju Melayu untuk menyambut hari raya.
Apabila sudah baca dan sudah faham, harap-harapnya kita celik hati dan celik akal kepada hak asasi manusia serta kepada pencabulan dan penindasannya. Harap-harapnya marah kita kepada rampasan tanah di mana-mana ceruk dunia ini pun sama. Jangan kita hanya riuh apabila tanah Palestin yang dirampas tetapi kita jadi patung apabila ada tanah saudara-saudara kita setanahair yang dirampas.
Jangan juga diam kepada tragedi kemanusiaan yang lain. Apa yang berlaku di Syria sejak dua tahun lalu, apa yang jadi di Somalia, Sri Lanka, di Ukraine, di Georgia juga adalah tragedi kemanusiaan, penindasan dan pencabulan hak manusia. Kenapa kita tidak tersentuh dengan pembunuhan penganut Kristian oleh Gerakan Daulah Islamiyah (ISIS) di Iraq dan Syria? Tidak usah pergi jauh-jauh: Pelarian Rohingya yang datang menumpang di negara ini kita pandang sebelah mata saja.
Tak syok lah macam ini.
Noor Azam Shairi
Thu Aug 07 2014
xxx
Beli kondo mewah: Isa Samad, Mohd Emir diperintah bayar RM3.31 juta kepada FGV
Mahkamah Tinggi memerintahkan bekas Mohd Isa dan bekas Mohd Emir membayar lebih RM3.31 juta kepada syarikat itu berhubung pembelian dua unit kondominium mewah di ibu negara.
AWANI Ringkas: Kandungan mudarat di media sosial meningkat
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan sepanjang hari di Astro AWANI menerusi AWANI Ringkas.
Xiaomi lancar kereta elektrik Xiaomi SU7, harga bermula RM141,500
Xiaomi semalam secara rasminya telah melancarkan kereta elektrik mereka yang pertama dinamakan Xiaomi SU7 untuk pasaran China.
X akan tawar ciri premium percuma jika ada lebih 2,500 pengikut disahkan
ELON Musk memaklumkan perubahan pada penawaran ciri-ciri X kepada semua akaun.
'Tulisan jawi tiada kaitan Jelajah Perikatan Nasional' - MUDA Kelantan
MUDA Kelantan menegaskan tulisan jawi tertera pada sepanduknya adalah logo rasmi baharu cawangan itu, dan tiada kaitan dengan program Jelajah Perikatan Nasional (PN).
Ops Lebih Muatan: JPJ keluar 126 notis saman, 13 kenderaan barangan dikenakan tindakan
Sebanyak 126 notis saman dikeluarkan JPJ Pulau Pinang terhadap pemandu kenderaan barangan menerusi Ops Khas Lebih Muatan di sekitar negeri ini.
AWANI Ringkas: Bas terbalik di Lebuh Raya Karak
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan sepanjang hari di Astro AWANI menerusi AWANI Ringkas.
Lelaki mengaku rogol, cabul anak kandung
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Kampung Seri Rahmat, Batu Gajah pada jam 10 hingga 12 malam, Februari lalu.
Piala Uber: Pearly ambil sudut positif jika tidak ke Chengdu
Pearly Tan tidak berasa kecil hati sekiranya beliau dan pasangan M. Thinaah, tidak disenaraikan ke skuad Piala Uber 2024 di Chengdu, China.
Bubur Lambuk Ayam Belanda hidangan istimewa di Kampung Parit Sikom
Istimewa Ramadan 2024, penduduk kampung Parit Sikom, Pontian, Johor menikmati hidangan istimewa, Bubur Lambuk Ayam Belanda, yang diedarkan sebanyak 500 pek .
Isu boikot: Mediasi positif, McDonald's dan BDS bertemu lagi 30 April
Perbincangan dilapor berlangsung sangat positif dengan hanya satu atau dua perkara berbangkit yang perlu diselesaikan.
Kesan boikot, benarkah bantu produk tempatan?
Rakyat Malaysia menunjukkan solidariti kepada Palestin apabila pelbagai senarai perkongsian produk tempatan 'membanjiri' media sosial.
Tun Mahathir yakin kuasa boikot umat Islam tekan rejim Zionis
Dr Mahathir yakin kuasa boikot umat Islam yang dianggarkan berjumlah 1.7 bilion di seluruh dunia terhadap barangan Israel akan menekan rejim Zionis.
Teruskan boikot organisasi, perniagaan menyokong Israel - Yayasan Al-Quds
Tindakan boikot ialah pendirian moral yang boleh membantu mengurangkan dana yang disalurkan kepada rejim Israel.
Boikot: Hak pengguna - Fuziah
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) ketika ini tidak mempunyai sebarang dasar berhubung tindakan memboikot sesuatu barangan oleh pengguna.
Malaysia wajar ketuai gerakan boikot Israel
Pemimpin-pemimpin dunia perlu berani mengambil langkah yang lebih keras dengan memboikot secara menyeluruh.
Boikot Israel: Tiada laporan pekerja diberhentikan setakat ini - Sivakumar
KSM belum menerima laporan pemberhentian kerja susulan kempen boikot syarikat dan produk berkaitan Israel yang digerakkan di negara ini.
Boikot: Malaysia tetap hantar kontinjen ke Olimpik Paris
Malaysia tetap menghantar kontinjen ke Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis dalam misi memburu emas sulung negara walaupun beberapa negara mahu memboikot penganjuran temasya sukan terbesar dunia itu.
Isu 'miscommunication', boikot kedai makan bukan dasar kerajaan - Salahuddin
Tindakan memboikot premis-premis yang menjual makanan dan minuman pada harga tinggi bukan dasar yang disokong oleh kerajaan, kata Datuk Seri Salahuddin Ayub.
Penyokong ada sebab boikot Piala Dunia Qatar, kata Louis van Gaal
Tuan rumah terpalit dengan isu hak asasi manusia berikutan layanan terhadap pekerja asing dan larangan homoseksualiti.