KENAPA ada yang marah-marah apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kata beliau mahu golf jadi sukan rakyat dan bukan lagi sukan untuk golongan elit?

Cuba lihat perbualan di media sosial. Pergi ke Twitter; cari “Najib golf” dan anda boleh baca reaksi orang ramai kepada kenyataan Perdana Menteri itu.

Siapa pernah terfikir bahawa sukan yang selalu dikaitkan dengan kelas menengah dan atasan itu seharusnya dirakyatkan? Ketika orang sibuk bercakap tentang hal-hal lain, Perdana Menteri bercakap tentang golf -- dan rakyat. Ini tentunya idea besar; jadi kenapa mesti marah-marah?

Apakah maknanya kalau sukan golf jadi sukan yang boleh dimainkan oleh semua rakyat dan bukan lagi hanya kelompok kecil elit? Mungkin kita akan mula menyelesaikan satu masalah besar negara -- jurang antara rakyat.

Apabila semua orang boleh bermain golf makanya satu-satu jenis sukan tidak lagi akan dikaitkan dengan mana-mana golongan. Sukan, apa jenis sukan sekali pun adalah untuk semua.

Keduanya, kita akan membina keperibadian dan sahsiah rakyat. Ini sangat penting terutamanya ketika kita hanya ada tempoh lima tahun sahaja lagi sebelum sampai ke garis akhir cabaran Wawasan 2020.

Wawasan yang digagaskan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad itu antara lain mencabar kita untuk mengubah nilai dan sahsiah bangsa.

Cabaran zaman sekarang saja sudah cukup luar biasa, bagaimana nanti cabaran pada masa akan datang. Itu sebabnya negara yang mahu maju perlukan rakyat yang kuat keperibadian dan sahsiahnya.

Bayangkan saja begini. Sebiji bola kecil, sebatang kayu pemukul, sebuah lubang kecil di hamparan sebuah padang yang luas.

Bagaimanakah anda boleh memasukkan sebiji bola kecil ke dalam lubang yang juga kecil dari jarak lebih kurang 200-meter kalau bukan disiplin, fokus, ketenangan, bijak membaca suasana dan bijak pula membuat keputusan?

Ini sukan yang menuntut ketepatan. Proses itu dilakukan berulang-ulang sehingga 18 lubang atau sekurang-kurangnya sembilan lubang.

Noor Azam Shairi, komentar
Pemain golf profesional, Tiger Woods yang disifatkan antara pemain golf terbaik dunia. -- Foto AFP

Kalau sudah membaca suasana dan membuat keputusan, seseorang pemain golf itu mesti yakin diri dan yakin juga dengan keputusan yang telah dibuatnya sendiri. Keputusan itu adakalanya berisiko.

Tetapi begitulah dalam hidup -- mesti percaya kepada diri sendiri dan mesti berani ambil risiko, baru boleh berjaya.

Sukan golf ini juga bukan sejenis sukan persaingan. Lawan dalam permainan golf itu bukan lawan yang sebenar kerana lawan yang sebenar ialah diri sendiri. Kita bertarung dengan diri sendiri.

Yang memisahkan seorang pemain golf yang baik dengan pemain yang lain ialah sejauh mana seseorang pemain golf itu mampu menguasai dirinya sendiri -- untuk membuat keputusan, yakin dengan keputusan yang dibuat dan melaksanakan keputusan itu dengan tepat.

Selebihnya, sukan golf juga, tidak seperti sukan-sukan lain, tidak ada pengadil. Pernah anda lihat pengadil permainan golf yang mengendalikan permainan seperti dalam sukan padang seperti bolasepak dan hoki atau sukan gelanggang seperti badminton, bola keranjang dan sepaktakraw?

Golf menuntut kejujuran. Pemain golf mesti jujur. Tidak boleh menipu. Menipu lawan bererti menipu diri sendiri. Kalau kawan tahu kita menipu, mereka tentu tidak mahu main dengan kita lagi.

Dalam hidup pun begitu. Mesti jujur, ikhlas dan amanah. Sekali kita menipu, orang tidak akan percaya kepada kita lagi.

Itu sebabnya sukan golf ini boleh membentuk perwatakan dan sahsiah. Bayangkan potensi yang ada pada negara ini sekiranya lebih ramai rakyat bermain golf.

Bayangkan.