Pemilihan pengendali Harimau Muda A, Datuk Ong Kim Swee sebagai jurulatih sementara skuad senior kebangsaan tampak satu pilihan tepat, oleh pucuk pimpinan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Pengendali kelahiran Melaka ini akan menggantikan kelibat Datuk K Rajagobal, selepas FAM memutuskan untuk tidak melanjutkan kontraknya yang berakhir 31 Disember ini.

Meskipun perlantikan Kim Swee bersifat sementara, bekas pemain kebangsaan ini mampu menjawat perlantikan tepat, seandainya meraih keputusan memberansangkan di temasya Sukan Sea 2013 di Myanmar, Disember ini.

FAM juga kelihatan seakan memberi peluang buat Kim Swee, membuktikan dia berhak diberi perlantikan secara tetap, sebelum memutuskan samada jurulatih asing akan dilantik atau tidak, selepas tamatnya saingan Sukan Sea.

Sejak mengendalikan skuad Harimau Muda A pada 2009 hingga kini, pencapaian terbaik Kim Swee adalah ketika meraih pingat emas Sukan Sea 2011 di Indonesia dan mara ke pusingan akhir kelayakan Olimpik 2012.

Memang benar, setiap jurulatih mempunyai kaedah berbeza dalam pemilihan pemain, percaturan taktikal dan formasi pasukan.

Begitu juga dengan Kim Swee dan Rajagobal.

Kita tidak boleh menafikan, atau melupakan kejayaan Rajagobal meraih emas Sukan Sea 2009 di Laos sebelum mencetuskan sinar harapan baru dengan menjuarai Piala AFF Suzuki 2010.

Bekas pengendali Selangor dan Kelantan ini tampak berjaya menobatkan Malaysia sebagai juara rantau ASEAN, tetapi gagal membawa Harimau Malaya ke tahap lebih tinggi di peringkat Asia.

Detik kejatuhan Rajagobal sebenarnya bermula, pada pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014, apabila Malaysia tewas dengan agregat 5-3 di tangan Singapura.

Ia kemudian berlanjutan ke saingan Piala AFF Suzuki 2012 dan kelayakan Piala Asia 2015.

Kerana itu, saya berharap jika Kim Swee diberi kepercayaan selaku pengendali kebangsaan secara tetap mampu membawa skuad senior ke tahap lebih tinggi di samping memastikan Malaysia kekal pasukan terbaik rantau ASEAN.

Apa pun, Kim Swee kini perlu membuktikan dia berhak mendapat perlatikan secara tetap dengan memastikan emas bola sepak Sukan Sea kekal milik negara di Myanmar.

Memang secara peribadi saya mengenali Kim Swee, sebagai seorang jurulatih muda yang sentiasa mencari kaedah terbaik menyiapkan pasukannya dan percaya dengan kaedah meninjau pemain berbakat atau mengkaji kekuatan lawan (scouting).

Secara peribadi, saya berasa Kim Swee wajar diberikan peluang selaku pengendali tetap skuad negara jika dia berjaya mempertahankan pingat emas Sukan Sea.

Namun, apa yang penting adalah untuk Kim Swee mencapai misi mempertahankan pingat emas Sukan Sea dan kemudian, mencatur pendekatan terbaik untuk skuad senior kebangsaan.

Saya percaya, Kim Swee akan melakukan pemilihan pemain berdasarkan prestasi semasa dan bukan, berlandaskan reputasi seseorang pemain itu.