Belon-belon empat warna -- merah, hitam, putih dan hijau -- diikat serangkai jadi seperti sebidang bendera mengapung di tepi jalan dekat Muqata di Ramallah. Orang ramai sudah berhimpun sejak beberapa jam awal menunggu pulangnya Mahmoud Abbas yang mereka anggap wira. Laporan menyebut lebih lima ribu orang semuanya ada di Muqata pada Ahad itu, beberapa hari lalu.

Lelaki itu -- mereka memanggilnya Abu Mazen, dunia mengenali dia sebagai Tuan Presiden -- beberapa hari sebelumnya berucap di New York merayu sokongan dunia.

"Kepada Perhimpunan Agung ini, saya mohon dikeluarkan sijil lahir negara Palestin," ucapnya dalam pidato di Pertubuhan Bangsa Bersatu.

Sokongan itu dia terima -- 138 negara semuanya, dan Palestin pun diakui sebagai pemerhati dengan status sebuah negara. Hanya sembilan negara menentang manakala 41 berkecuali.

"Kita sekarang sudah punya negara," ucap Mahmoud alias Abu Mazen dengan penuh bangga kepada ribuan orang yang menyambutnya di Muqata, tiga hari kemudian.

Mereka yang menunggunya sejak berjam-jam awal di komples pentadbiran Lembaga Palestin di Muqata menyambut ucapan Abu Mazen itu dengan sorak-sorai dan tepuk gemuruh. Belon-belon yang dirangkai jadi bendera itu kemudian dilepaskan -- terbang bebas ke angkasa.

Tetapi apakah dengan jadi sebuah negara maka Palestin bebas seperti ribuan belon empat warna itu?

Soalnya begini: Kalau Palestin itu negara, sempadannya di mana? Berapa luas wilayahnya sebelum ini dan berapa pula luasnya sekarang? Kalau Palestin itu negara, laut dan udaranya milik siapa? Kalau Palestin itu negara, apakah jutaan rakyatnya yang kini jadi pelarian -- ada yang berjaya, tapi banyak juga yang merempat -- boleh balik semula ke tanah air sebagai warganegara?

Israel menyambut berita Palestin jadi negara itu dengan mengumumkan pembinaan 3,000 penempatan baru melampaui Garis Hijau. Garis Hijau adalah batas sempadan yang dibentuk pada 1949 hasil perjanjian gencatan senjata selepas Perang Arab Israel setahun sebelumnya. Rejim Zionis juga merancang penempatan di kawasan dekat dengan Baitulmaqdis. Pelan ini sangat penting kerana ia sekaligus akan menutup laluan dari Tebing Barat ke kota suci itu yang sepatutnya nanti jadi ibu negara Palestin.

Israel juga mengumumkan tidak akan menyerahkan wang cukai yang ia kutip bagi pihak Lembaga Palestin. Wang itu akan ditahan. Jumlahnya $120 juta dolar Amerika. Duit itu akan digunakan untuk membayar sebahagian hutang Palestin kepada agensi bekalan elektrik Israel.

Dua tindakan itu -- meluaskan kawasan yang diduduki dan meningkatkan tekanan kepada pentadbir Palestin -- adalah hadiah rejim Zionis kepada negara Palestin.

Maka, apa ertinya Palestin jadi sebuah negara?

Ambil contoh apa yang berlaku di Qaryut, sebuah kampung dekat Nablus di Tebing Barat hanya beberapa jam selepas PBB mengangkat status Palestin jadi negara. Hampir 200 orang berhimpun merayakan berita gembira itu. Mereka mendengar pidato, menyanyi dan melaungkan slogan.

Mereka kemudian berarak menuju ke sekatan jalan. Sebaik saja mendekati satu selekoh, mereka disergap hampir 20 orang anggota tentera Israel; tabung gas pemedih mata dan peluru bersalut getah ditembak dari jarak dekat.

Apa yang terjadi di kampung itu sesuatu yang sudah biasa -- insiden yang berulang-ulang hampir setiap minggu. Kampung itu -- seperti banyak kampung lain di Tebing Barat -- tersepit di antara kawasan penempatan Yahudi. Sejak Februari 2012, laluan utama ke kampung itu ditutup sepenuhnya oleh tentera Israel. Jalan itu bersambung dengan sebatang jalan raya yang menghubungkan Ramallah dengan Nablus.

Kampung itu adalah bumi negara Palestin. Sayangnya, ia perlahan-lahan dipisahkan dengan wilayah Palestin yang lain -- sama seperti pelan besar membangunkan penempatan dekat sebelah timur Baitulmaqdis yang diumumkan Israel minggu lalu.

Status negara juga memungkinkan -- kononnya -- Palestin mengheret Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa. Benarkah begitu? Adakah itu maknanya Israel sudah berhenti mencabul undang-undang antarabangsa kerana Palestin sudah jadi negara?

Tidak usahlah kita tertipu atau menipu diri sendiri dengan apa yang berlaku baru-baru ini. Negara Palestin sudah lama ada -- sejak mula pembahagian wilayah yang membentuk Israel. Negara Palestin ada dalam jiwa raga setiap warganya yang terpelanting ke banyak negara jadi pelarian.

Yang tidak ada dalam hati kebanyakan mereka hanyalah pengiktirafan kepada Lembaga Palestin yang dipimpin oleh Abu Mazen.