Anwar Congo

LELAKI kurus berkulit gelap itu melangkah perlahan menaiki tangga ke lantai bumbung bangunan yang pernah jadi tempat operasinya menyembelih orang — mereka yang dipercayai anggota atau pendukung Parti Komunis Indonesia (PKI). Di lantai atas itu, dia bercerita dengan terperinci cara bagaimana dia menghabiskan nyawa mereka. Dia tidak ingat berapa orang yang sudah dia bunuh kerana dia sendiri tidak pernah mengira mereka tetapi angkanya mungkin cecah seribu orang.

"Saya peragakan boleh, kan?" tanya lelaki itu. Dia kemudian menunjukkan cara bagaimana dia membunuh mangsanya dengan seutas dawai yang diikat pada tiang lalu dijerut pada tengkuk. "Beginilah caranya supaya darah itu jangan keluar banyak," tambahnya.





Lelaki itu namanya Anwar tetapi orang lebih mengenalinya dengan nama Anwar Congo kerana dia pernah membantu pasukan tentera Indonesia yang dikirim ke negara Afrika yang pernah bergolak itu. Rambutnya sudah putih semua dan umurnya sudah mencecah 73 tahun tetapi daripada cara dia berjalan masih ternampak segak dan tegap; selebihnya, cukup bergaya apalagi kalau dia memakai sut lengkap.

Anwar adalah watak utama dalam dokumentari The Act of Killing yang sekarang ini sedang diberikan perhatian di serata dunia. Dokumentari itu adalah sebuah cerita dalam cerita. Dalam dokumentari itu, Anwar dan rakan-rakannya mengerjakan sebuah filem yang menggambarkan bagaimana dia jadi tukang sembelih komunis. Dia mengimbau semula peristiwa berdarah yang tercatat sebagai sejarah hitam Indonesia — sejarah yang hari ini sedang disemak semula.

Tetapi bagi Anwar apa yang dikerjakannya itu adalah untuk memberi ingatan kepada generasi hari ini tentang apa yang sebenarnya berlaku.

"Inilah sejarah. Inilah kita," katanya.




****************

ADA dua jenis sejarah yang tertulis dalam buku atau yang tersebar di kalangan masyarakat. Pertama, "sejarah" sebagaimana yang benar-benar terjadi dan kedua, "sejarah" sepertimana yang diceritakan secara berpilih-pilih dengan sebahagian daripadanya sengaja dipadam atau disembunyi.

Adalah kita yang tersepit di antara dua jenis "sejarah" itu — kita yang mempertahankan sejarah sebagai sebuah "kebenaran" dan kita yang tidak pernah berhenti mencari "kebenaran", saling bertengkar dan mencabar "kebenaran".
Act of Killing
Dokumentari The Act of Killing ini adalah sebahagian daripada usaha mencari kebenaran antara dua "sejarah" itu. Ia sebuah kerja seni yang cukup penting dalam masa setahun dua ini kerana kesannya yang pada satu sisi menelanjangkan kebenaran dan mengocang kepalsuan — biarpun mungkin langkah awalnya sama sekali tidak berniat untuk menulis semula sejarah.

Dokumentari ini — sebagai sebuah filem — adalah keterbalikan daripada semua filem propaganda antikomunis yang pernah terbit di Indonesia. Filem Pengkhianatan G30S/PKI misalnya, yang selama 13 tahun dipaksa ditayang ulang di televisyen setiap datang 30 September sehinggalah Soeharto terpelanting daripada takhta kuasa pada Mei 1998. Selama tempoh itu, filem tersebut jadi rujukan generasi Indonesia pasca 1965 untuk memahami satu bab penting sejarah republik.

Malangnya, ia bukan sejarah yang lengkap sebaliknya sebuah sejarah yang memihak dan selebihnya, hanyalah fiksi sejarah yang ditokok tambah. Kerja tokok tambah itu dikesan sebagai usaha membengkokkan sejarah untuk menegakkan kuasa. Sejarah yang dibengkokkan itu telah memburukkan imej PKI yang pada suatu ketika ada peranannya dalam perjuangan kemerdekaan serta diterima oleh pemerintah pada masa itu sebagai antara pemain utama dalam pembentukan awal republik Indonesia yang merdeka.

Tidak ada siapa yang tahu angka tepat jumlah korban tragedi 1965 tetapi banyak anggaran bersetuju jumlahnya boleh jadi sampai sejuta orang. Selain itu, tidak semua korban adalah anggota atau pendokong PKI; sesetengahnya jadi mangsa keadaan. Selepas penyembelihan itu dihentikan, hampir sejuta orang kemudiannya dibuang daerah sebagai tahanan politik termasuk sasterawan terkenal Pramoedya Ananta Toer yang diasingkan di Pulau Buru.

act of killing

Pensyarah Pengajian Indonesia di National University of Australia, Ariel Heryanto dalam eseinya Filem, Teror Negara dan Luka Bangsa yang terbit dalam laporan khas majalah Tempo dengan tajuk besar Pengakuan Algojo 1965 membuat pemerhatian bahawa filem Pengkhianatan G30S/PKI menjadi "satu-satunya sumber informasi rasmi" tentang Gerakan 30 September. Hasilnya, bacaan generasi hari ini tentang sejarah zaman itu jadi salah.

Tetapi apakah erti kebenaran dan apa pula ertinya sejarah yang benar?

Itulah soalan yang malah ditanyakan pada satu bahagian yang cukup tegang dalam The Act of Killing ketika mana bekas tukang sembelih itu melakonkan semula — dengan cukup realistik — bagaimana mereka menamatkan riwayat seseorang yang diyakini komunis atau mendukung parti komunis.

"Kenapa mesti sejarah itu disimpan-simpan kalau kenyataannya memang begitu?" tanya seorang di kalangan mereka yang tidak melalui tragedi 1965.

Adi Zulkadry, rakan Anwar yang sama-sama jadi tukang sembelih menegaskan bahawa dia ada alasan tersendiri apabila mempersoalkan kewajaran peristiwa lama itu dibongkar semula. Bagi dia, sekiranya filem yang mereka kerjakan itu berjaya maka penilaian ke atas sejarah 1965 akan berbalik — bahawa yang kejam bukannya anggota PKI tetapi mereka sendiri dan "kebenaran" yang mereka yakini selama ini ternyata tidak benar sama sekali.

Adi tahu bahawa sejarah ditulis oleh pemenang dan dia cukup yakin bahawa tukang sembelih 1965 adalah pemenang dan mereka berhak menulis "sejarah" sebagaimana yang seharusnya — bagi mereka. Tetapi pada masa sama, dia juga cukup sedar bahawa "kebenaran" sebagaimana yang dia fahami tidak mungkin dapat diterima sebagai sebuah kebenaran oleh orang lain.

Selebihnya, dia juga tahu bahawa apa yang benar pada suatu masa dahulu tidak mungkin lagi benar sekarang. Jika masih benar sekalipun sekarang barangkali kebenaran itu tidak mungkin dapat dipertahankan lagi pada zaman yang akan datang.




********************

PERISTIWA pembantaian 1965 adalah titik buta dalam sejarah Indonesia tetapi titik buta itu perlahan-lahan sedang terbuka. Selepas Soeharto lengser 15 tahun lalu, Suruhanjaya Nasional Hak Asasi Manusia Indonesia memutuskan bahawa sekurang-kurangnya ada sembilan pelanggaran hak asasi manusia yang tersangkut dengan peristiwa itu. Selain itu, ada suara yang mahu kerajaan mengambil tanggungjawab ke atas apa yang berlaku dan memulakan proses rekonsiliasi.

Hanyalah Abdurrahman Wahid atau Gus Dur semasa jadi Presiden yang pernah mengeluarkan kenyataan tentang kemungkinan republik meminta maaf kepada mangsa tragedi 1965 serta mencabut pengharaman ke atas PKI. Kenyataannya itu bagaimana pun tidak dipersetujui oleh Nahdatul Ulama yang sebelum itu beliau sendiri pernah pimpin. Ada beberapa sebab antaranya kerana PKI sendiri ada dosa kepada pertubuhan Islam itu dan selebihnya, ahli Nahdatul Ulama sendiri ramai yang ikut jadi tukang sembelih pada 1965.

Sejarah penuh darah itu dibungkamkan selama berpuluh-puluh tahun biarpun ia bukan rahsia. Rahsia yang sebelum ini hanya dibisik-bisik selama zaman Orde Baru kini relatifnya bebas dijeritkan di tengah khalayak. Dokumentari The Act of Killing ini malah seperti budak dalam dongeng Hans Christian Andersen yang muncul menjeritkan bahawa sang maharaja tidak memakai baju baru.

Terlepas daripada kerangka Indonesia, pesan-pesan yang dititipkan oleh Act of Killing adalah untuk kita — bahawa ini adalah cerita kita juga; cerita anak semua bangsa. Tentang sejarah dan kebenaran. Tentang sejarah yang dikenang, sejarah yang dilupakan dan sejarah yang dipadam.

Apakah kita terlupa kepada sejarah? Atau apakah kita dipaksa untuk melupakan sejarah?