Jurulatih badminton perseorangan negara, Rashid Sidek mengejutkan pemerhati sukan tempatan minggu ini, apabila mengambil tindakan meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Banyak persoalan timbul, dan banyak sudut perlu dilihat mengapa Rashid nekad meninggalkan BAM selepas sedekad menabur bakti sebagai jurulatih, selepas bersara sebagai pemain pada tahun 2000.

Secara peribadi, sudah pasti saya sebagai seorang penulis sukan berasa kecewa Rashid mengambil keputusan ini.

Ia kerana, pengalamannya sebagai pemain dan jurulatih amat penting dalam kita berusaha menghasilkan produk pemain pelapis berkualiti di masa depan.

Saya mula mengenali Rashid ketika memulakan karier sebagai seorang wartawan sukan pada 2003 dan pada waktu yang sama, saya juga mengenali beberapa adik beradik Sidek yang lain, Datuk Misbun, Jalani dan juga Rahman.

Mereka mungkin mempunyai perwatakan berbeza, tetapi satu persaman dikalangan mereka adalah semangat yang cukup kuat untuk sukan badminton.

Rata-rata media arus perdana sepanjang minggu ini, melaporkan mengenai rasa kecewa Rashid terhadap perubahan dalam sistem kejurulatihan BAM, serta sukar bekerja dengan Pengarah Pengurusan Bakat BAM, Tan Aik Mong.

Ketika menemubual Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong minggu lalu, beliau berasa BAM mungkin perlu diberikan peluang dan ruang untuk melaksanakan perubahan struktur kejurulatihannya.

"Perubahan struktur kejurulatihan yang dilakukan BAM, tidak akan menampakkan hasil dalam tempoh terdekat.

"Ia memerlukan masa dan kita perlu beri masa kepada BAM dan yakin dengan perubahan yang ingin dilakukan," kata Zolkples ketika ditemui Astro AWANI Jumaat lalu.

Namun, Zolkples tetap mengakui Rashid seorang jurulatih yang baik dan tidak pernah menimbulkan masalah ketika berurusan dengan MSN.

Meskipun saya secara peribadi berasa kecewa dengan tindakan Rashid, tetapi mungkin ia juga wajar untuk Rashid dan BAM meleraikan ikatan, sekiranya sukar untuk bekerjasama.

Mungkin juga, jika Rashid berada di luar BAM, dia tetap mampu menyumbang jika masih terbabit sebagai jurulatih sama ada bersama bekas kelabnya, Nusa Mahsuri atau pun secara persendirian.

Saya percaya, apa yang merisaukan peminat badminton tempatan ialah, mengapa dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, ramai jurulatih terbaik di BAM meninggalkan persatuan itu?

Sebelum ini, bekas pakar beregu Indonesia Rexy Mainaky meletak jawatan sebagai pengendali beregu kebangsaan tahun lalu dan sebelum itu, abang Rashid, Datuk Misbun Sidek meninggalkan BAM pada 2010.

Rexy berkhidmat seketika di Filipina sebelum kembali ke Indonesia bersama Persatuan Bulu Tangkis Seluruh Indonesia (PBSI).

Rexy jelas masih memiliki sentuhan juara, apabila pasangan Indonesia yang dibimbing, Hendra Setiawan-Muhmammad Ahsan muncul juara dunia tahun ini.

Tiada salahnya jika BAM sedang menggunakan formula baru dalam usaha kita menghasilkan kelompok pemain pelapis yang berkualiti.

Tetapi, sudah pasti ia juga wajar untuk BAM turut mencari kaedah terbaik yang dapat memastikan, kita tidak akan terus kehilangan kelibat jurulatih tebabit di persatuan itu.

Saya berharap, isu perletakkan jawatan Rashid akan dapat dileraikan dengan baik oleh BAM dan juga, perubahan dalam struktur kejurulatihan persatuan itu mampu memberi impak positif, demi kemamuan badminton negara.