Saat NYAWA di hujung senjata

Pagi itu sangat sejuk di Souran yang terletak di pinggir bandar Aleppo mencucuk ke tulang tatkala bangun untuk solat subuh pada jam 5:30 waktu tempatan. Pagi ini, air panas tersedia di bilik air yang menjadikan ia hari yang layak untuk menikmati mandian air panas di musim sejuk. Jarang sekali air panas dapat disediakan (yang memenuhi kriteria diri yang tak tahan sejuk ni) di samping tubuh yang belum cukup bersedia untuk mandi di pagi hari.

Sungguhpun begitu, hari ini juga bakal menjadi hari yang panjang buat kami berempat dalam misi #RescueSyria kali ini.

Setelah terkandas lebih 3 hari di pinggir bandar Aleppo ini, kami bakal membuat percubaan kedua dalam usaha untuk keluar dari Syria dan kembali ke Idlib menerusi pintu sempadan Reyhanli yang hanya terletak lebih 100 kilometer dari bandar Antakya, Turki.

Hati rasa tenang, tiada rembesan adrenalin yang mencurah-curah bagai hari sebelumnya. Misi kami menjadi lebih kritikal dek kehadiran beberapa pejuang ekstrimis di pinggir bandar Aleppo yang sebelum ini membuat serangan bom kereta, mengakibatkan lebih 6 orang maut di sempadan daerah berdekatan beberapa hari sebelumnya.

Hal ini menjadikan persepsi masyarakat sekitar berubah. Bagi orang tempatan, setiap orang luar yang tiba ke kawasan mereka semestinya tentera ekstrimis yang datang untuk mendapatkan informasi dan kemudian mengebom kawasan mereka. Bagai sejenis rasukan yang menghantui rakyat Syria termasuklah penguasa tempatan atas kejadian bom kereta yang melanda daerah Azazz yg hanya terletak kurang 80km dari Souran ini.

Laluan ‘jalan kampung’'Jalan kampung’ yang dilalui.

Oleh yang demikian, pihak sukarelawan tempatan yang sememangnya ada hubungan baik dengan Malaysia Life Line For Syria (MLLFS), menasihatkan kami agar sentiasa mengikuti langkah keselamatan yang diberikan (contohnya mengambil visual / foto hanya pada waktu yang dibenarkan).

Kami memulakan perjalanan seawal jam 7 pagi untuk cuba keluar memandangkan 'informer' kami memberitahu pintu sempadan Turki di Babussalam dibuka hanya untuk tempoh beberapa jam sahaja.

Konvoi 2 kenderaan dengan plat nombor dari Halab atau Aleppo kali ini sangat mendebarkan. Saya bersama saudara Syahrir dan Abdullah bersempit di belakang sambil beg di riba sepanjang perjalanan. Perjalanan ke Babussalam hanya lebih kurang 30 kilometer. Akan tetapi, cabaran bermula apabila sebuah lori dari arah bertentangan memberitahu pemandu tentang kesesakan di sempadan.
Pemandu yang berusia dalam lingkungan 45 tahun itu mengambil keputusan berpatah balik dan kami perlu melalui jalan ladang zaitun sebagai alternatif. Jalan tersebut lebih dekat berbanding jalan biasa, cuma keadaan jalan menyebabkan saya mabuk sepanjang perjalanan.

Keadaan jalan seperti jalan kampung sememangnya menguji ketahanan fizikal. Mana taknya, akibat mengejar masa, pemandu kami terpaksa memandu selaju 80km/jam untuk sampai ke pintu sempadan secepat mungkin. Jalan yang berlopak serta tidak rata menyebabkan kami di dalam kereta sentiasa terangguk-angguk sepanjang perjalanan.

Sampai di pos kawalan pertama, ada 2 orang muda dalam lingkungan usia 19 tahun yang memegang senjata mendekati kereta kami. Selepas beberapa perbualan bersama pemandu dan juga sukarelawan tempatan, Nasr. Kami melepasi pos kawalan tersebut.

Kami teruskan perjalanan sambil saya berzikir, membaca ayat kursi serta ayat-ayat lain agar Tuhan memudahkan perjalanan kami. Ketika ini, taubat habis-habisan atas dosa lampau dan berazam untuk tidak mengulangi dosa tersebut sentiasa meniti di bibir saya. Bukan senang nak dapat perhatian dari Tuhan tatkala susah akibat waktu senang yang kerap lupa padaNya. Tapi hati sentiasa diingatkan agar ikhlas dalam menempuh dugaan kali ini.

Pos kawalan kedua, turut berjalan lancar tanpa sebarang gangguan. Akan tetapi, satu kilometer dari pos kawalan kedua sudah ada pos kawalan seterusnya. Di sini kami diminta keluar dari kereta. Pejuang tempatan tidak berpuas hati dengan penerangan yang diberikan Nasr.

Perbualan antara pejuang muda yang berkawal di pos kawalan dengan pemandu kami dan juga Nasr mula ke nada yang lebih tinggi. Nasr melembutkan suara dengan memberi peluang pejuang muda tersebut membuat pemeriksaan ke atas setiap barangan yang kami bawa. Selepas berpuas hati dengan beg yang sarat dibuka dan disepahkan, saya, Syahrir (CEO MLLFS), Aiman (jurukamera) dan "Abdullah" (wartawan Guang Ming daily) diminta berdiri di seberang jalan.

Ketika itu, saya sempat menjenguk jam yang menunjukkan sudah 9:13pagi waktu tempatan. Seorang lagi pejuang yang datang dari jarak 300 meter dari tempat kami berdiri sudah mula memegang poket kanan di bahagian hadapan 'vest' yang dipakainya. Biasanya poket tersebut mengandungi bom tangan. Tatkala melihat kesediaan pejuang muda yang berjalan laju ke arah kami, saya mula beristighfar dan berselawat sambil tarik nafas sedalam-dalamanya agar mampu berfikir secara waras dalam keadaan ini.

Selang 30 saat, pejuang muda yang memeriksa beg kami tadi mula menarik besi pada senapang 'klashnikov'nya untuk sedia menembak. Ketika itu Amirr (ketua kumpulan pejuang tersebut) tiba untuk membuat pemeriksaan kali kedua.

Segala poket, 'pouch bag' dan celah diraba oleh mereka ini. Tiba-tiba mereka ternampak powerbank saya berwarna perak yang berkilat. Serta merta dia mengacukan senapang tersebut dan saya terus angkat tangan dan memandang Nasr yg berada 5 meter dari kedudukan kami diperiksa. Nasr bergegas datang untuk menyatakan bahawa itu ialah powerbank yang mampu membantu mengecas telefon secara on the go. Powerbank itu diperiksa berkali-kali untuk memastikan ia bukanlah bahan letupan yang merbahaya.

Tiada apa yang difikirkan ketika itu melainkan mati. Saya membayangkan kalau mati waktu itu, janganlah diapa-apakan sukarelawan tempatan yang membantu kami, terutamanya Nasr, Omara dan juga Mortadha. Bagi saya, mereka lebih penting dalam usaha membangunkan semula rakyat Syria yang kian daif akibat perang. Tanpa mereka yang menjadi 'alat bantu komunikasi' untuk orang Syria, maka tiada lagi peluang untuk orang Syria pulih.

Selain fikirkan hal keselamatan, saya juga sempat fikir bahawa saya sudah siap makan sambal tumis mak saya dan saya juga sudah pun bertemu ahli keluarga sebelum bertolak tempoh hari. Walaupun pelik laluan informasi di kepala ketika senapang diacu, tetapi itulah yang terfikir di otak saya. Dari segi fizikal, memang putih gebu muka saya akibat pucat dengan ketakutan yang amat sangat.

Rujukan emosi saya terletak pada rakan seMalaysia yang lain. Melihat muka Syahrir, senyuman kelat yang diberikan kepada saya menandakan ini bukan petanda baik. Aiman yang kerap kali bersemangat dengan kejadian yang berlaku diam membisu dengan muka pasrah. Begitu juga 'Abdullah' yang tampak jelas tulang pipinya turun akibat terlalu takut.

Akan tetapi, rundingan serta penjelasan oleh Nasr, Omara, Mortada dan juga dua pemandu kami telah berjaya membolehkan kami melepasi pos kawalan ini. Kami terus masuk kereta sambil diam membisu tanpa sebarang kata.

Lima kilometer dari Babussalam, ada sebuah lagi pos kawalan perlu kami lalui. Di situ, kami juga berjaya melepasinya dengan beberapa penjelasan yang diberikan pemandu dan juga rakan sukarelawan tempatan, Nasr, Omara dan juga Mortadha.

Pejabat Ketua Pejuang Tempatan
Pejabat Ketua Pejuang Tempatan di checkpoint terakhir.

Di checkpoint terakhir, kami diminta mengeluarkan beg, dan mengosongkan bahagian simpanan bagasi kereta untuk pemeriksaan. Kami semua turut dibawa ke pejabat Ketua Pejuang Tempatan kawasan berkenaan untuk siasatan latarbelakang memandangkan ini ialah checkpoint terakhir sebelum meninggalkan bumi Syria.

Masuk sahaja di pejabat tersebut, saya lihat Ketua Pejuang Tempatan yang tinggi lebih 6 kaki berjambang tetapi kemas pakaiannya. Dilengkapi dengan shisha di mejanya, dia sibuk berkomunikasi menerusi walkie talkie sambil mengarahkan pegawai penyiasatnya datang ke pejabat untuk memastikan latarbelakang kami.

Kesemua sukarelawan tempatan yang bersama kami memberikan penjelasan masing-masing berkaitan kehadiran kami berempat ke Syria. Malah, dia juga terkejut dengan kebolehan kami yang datang ke Babussalam dari bandar utama Aleppo (baginya, keadaan kritikal sebegini tiada siapa dapat keluar dan masuk dalam masa sesingkat kami). Setelah 10 minit memberi penjelasan, pihak Pejuang Tempatan masih tidak berpuas hati. Baginya, tiada surat rasmi mahupun dokumen lain yang membuktikan kehadiran kami sah untuk menghantar bantuan ke sekolah dan juga pusat perubatan di sekitar Aleppo.

Tiba-tiba masuk salah seorang guru agama (yang saya pernah nampak semasa sesi melawat sekolah di pinggir bandar Aleppo) datang memberikan penjelasan bagi pihak kami. Saya dengar beliau merujuk kepada nama beberapa pakar perubatan serta salah seorang imam di masjid berdekatan tempat kami berteduh di Souran. Pada masa sama, saya nampak wajah Ketua Pejuang Tempatan itu senyum, dan serta merta dulang chai (teh o) dihidangkan kepada kami.

"Kira settle la tu" bisik Aiman kepada saya. Saya yang masih gemuruh ketika itu masih tidak mempercayai bahawa penjelasan yang diberikan telah diterima pihak Pejuang Tempatan. Bila teh tersebut tiba ke depan muka, maka saya terus lega malah sambil tersenyum, ketua Pejuang tempatan terus memberikan kata terima kasih kepada kami dengan dialih bahasakan oleh Nasr.

Pintu keluar Syria di Kilis yang menempatkan kem pelarian Syria.Pintu keluar Syria di Kilis yang turut menempatkan kem pelarian Syria.

Syukur dengan keadaan itu, kami melepasi sempadan Syria dengan baik dan selamat kesemuanya. Di sempadan terakhir, kami dapat lihat sebuah kem pelarian yang menempatkan lebih 2,000 pelarian. Di sini terdapat juga beberapa kanak-kanak yang menjadi peminta sedekah dan rata-rata pelarian di sini tampak hidup melarat dan penuh seksa.

Di sempadan Turki, tiada yang pelik berlaku, cuma pemeriksaan ketat seperti biasa dibuat dan kami berjaya melepasi sempadan Turki semasa azan Zohor berkumandang.

"Hebat kan! masa masuk pun kita disambut dengan azan, masa keluar pun kita disambut dengan azan" kata Aiman kepada kami selepas masing-masing lega dengan cabaran yang dilalui hari tersebut.