Saingan Liga Perdana Inggeris Barclays (BPL) musim ini tampak lebih mencabar, dengan kini lebih dari lima pasukan yang mampu mencabar kejuaraan.

Ia berbeza dengan musim sebelum ini, apabila hanya empat atau lima pasukan yang kelihatan sebagai pencabar kejuaraan.

Kemampuan Arsenal menghuni tangga teratas selepas 11 perlawanan, sebenarnya bukan satu pencapaian mengejutkan.

Dua musim berturut-turut sebelum ini menyaksikan, skuad bimbingan Arsene Wenger sekadar menduduki empat tempat teratas untuk layak bersaing di Liga Juara-juara Eropah.

Tetapi kemasukan perancang Jerman, Mesut Ozil jelas seperti pelengkap kepada resepi Wenger membentuk barisan ampuh untuk saingan musim ini.

Apa yang hanya perlu dilakukan Wenger kini, hanya memastikan aksi konsisten mendahului liga sehingga ke akhir musim.

Jika ia mampu dilakukan, tidak mustahil Gunners mampu menamatkan penantian sembilan tahun, kejuaraan BPL.

Peningkatan Liverpool, dibawah kendalian Brendan Rodgers jelas membuktikan, pengendali kelahiran Ireland Utara itu kini sudah berjaya mengubah corak permainan the reds dengan kaedah permainan yang lebih dinamik musim ini.

Gandingan pemain seperti Philip Coutinho serta gandingan "SAS" Daniel Sturrdige dan Luis Suarez jelas menggerunkan pencabar-pencabar lain pada saingan musim ini.

Kudrat dan pengaruh kapten, Steven Gerrard masih digunakan Rodgers bagi mengekalkan keseimbangan dalam pasukannya dan ketiadaan Jamie Carragher yang bersara, sudah diisi dengan kehadiran Kalo Toure di bahagian benteng.

Rodgers juga tampak berani, apabila dalam sesetengah perlawanan menggunakan formasi 3-4-3, walaupun formasi 4-3-3 adalah formasi kebiasaan yang digunakannya.

Bekas pengurus Swansea ini kekal dengan sasaran awalnya, iaitu sekadar menduduki empat tangga teratas BPL musim ini walaupun, berdasarkan tahap permainan terkini The Reds mampu menduduki kedudukan lebih baik.

Apa pun,ketiadaan komitmen di peringkat Eropah jelas memberi kelebihan buat Rodgers membentuk barisan ampuh sepanjang musim ini.

Saya secara peribadi, setuju dengan pandangan pengurus Chelsea, Jose Mourinho terhadap kekuatan keseluruhan Liverpool kerana Teh Reds masih perlu membawa masuk tambahan pemain berkualiti, untuk memastikan kekuatan menyeluruh sebagai satu pasukan.

Mungkin Rodgers juga menyedari hakikat ini dan jika layak ke saingan Eropah musim depan, sudah pasti beliau tetap perlu meneruskan usaha memantapkan lagi pasukannya.

Pasukan di tangga ketiga BPL ketika ini, Southampton jelas mengejutkan ramai pemerhati dan peminat menerusi aksi meyakinkan setakat ini.

Skuad kendalian Mouricio Pochettino ini, tampak berjaya menonjolkan beberapa pemain muda berkualiti pada saingan kali ini.

Adam Lallana, Nathaniel Clyne dan Jay Rodriguez adalah antara tonggak utama pasukan, selain Ricky Lambert, penyerang yang hanya beberapa musim lalu hanya beraksi di liga bawahan di England.

Ketiadaan nama-nama besar jelas tidak menghalang Pocettino, untuk tampil dengan perancangan taktikal sesuai mencabar kelab-kelab BPL yang lebih dominan sebelum ini.

Tetapi, sudah pasti ramai yang pasti bersetuju jika saya mengatakan, bahawa Southampton sukar mengekalkan kedudukan di empat tangga teratas BPL sehingga akhir musim ini.

Jika Pochettino mampu memastikan Southampton kekal di empat teratas BPL, ia jelas satu kejayaan besar buat The Saint's dalam sejarah penubuhan kelab itu.

Chelsea, yang kini menghuni tangga keempat, tampak bergelut mengekalkan tahap konsisten dalam 11 perlawanan pertama musim ini.

Tetapi saya menjangkan Mourinho akan tetap mampu menghadirkan cabaran kuat dari Chelsea di akhir musim dan jika gagal meraih kejuaraan BPL sekalipun, saya optimis The Blues masih mampu memberi cabaran kuat dalam saingan Piala Liga, FA dan juga Liga Juara-juara Eropah.

Masalah yang mungkin kelihatan, ialah keengganan Mourinhio menggunakan perancang Sepanyol, Juan Matta secara tetap dalam kesebelasan utama pasukannya musim ini.

Pemain tengah veteran, Frank Lampard masih menjadi taruhan utama Mourinho, walaupun ketika pra- musim, beliau mengatakan pemain tengah England itu akan hanya digunakan secara bergilir.

Jika dilihat kepada corak permainan yang diterapkan Mourinho bersama bekas pasukan-pasukannya sebelum ini, dia menerapkan corak permainan bola sepak moden dengan menggunakan formasi 4-2-3-1.

Untuk posisi tiga pemain tengah menyerang, Mourinho tampak lebih menggemari Andre Schurrle,Kevin De Bryune dan Oscar berbanding Mata.

Apa pun, kita perlu ingat bahawa ini adalah "Jose Mourinho" yang digelar The Special One" dan sudah meraih empat kejuaraan liga di empat negara Eropah berbeza, serta dua kejuaraan Eropah dengan dua kelab dari dua negara berbeza.

Justeru, sukar mempersoalkan penegndali yang dianggap ramai pemerhati sebagai pengurus, jurulatih terbaik dunia ini.

Sejak mula melakar nama selaku pengurus FC porto pada 2004, Mourinho seorang pengurus yang melakukan kajian dan analisis terperinci terhadap pasukan yang dikendalikannya dan juga kekuatan serta kelemahan lawan.

Kerana faktor itu, Chelsea tetap tidak boleh diperkecilkan pada musim ini, walaupun kurang konsisten pada awal musim ini.

Pasukan di tangga kelima BPL kini, Manchester United jelas tidak memulakan saingan dengan baik, di bawah kendalian pengurus baru, David Moyes.

Namun, kemenangan tipis 1-0 ke atas pendaulu liga, Arsenal pada 10 November lalu membuktikan, pemain-pemain United semakin membentuk keserasian dengan pendekatan Moyes.

Sudah pasti, United mampu meneruskan kebangkitan selepas rehat tugasan antarabangsa minggu ini.
Memang, bukan mudah untuk mana-mana pengurus mengambil alih sebuah pasukan juara seperti United, apatah lagi menggantikan seroang pengurus lagenda seperti Sir Alex Ferguson.

Tetapi Moyes memiliki perwatakkan seorang juara dan dia juga dipilih sendiri Ferguson pada hujung musim lalu selaku penggantinya.

Selain empat pasukan ini, kelibat Tottenham Hotspur dan Manchester City, juga tidak wajar dipandang mudah pasukan lain.

Skuad kendalian Andre Villas-Boas dan Manuel Pellegrini mempunyai kekuatan skuad yang menyeluruh.
Justeru, saingan BPL pasti bertambah mencabar menuju Disember dan menjelang Februari, mungkin peminat sudah dapat melihat siapa yang berpeluang cerah menjulang kejauraan dan kelab mana, diambang penyingkiran.