DALAM pemberitaan, ada satu kerja yang namanya "mengesahkan maklumat". Apa saja maklumat yang diterima harus dipastikan kesahihannya sebelum boleh disebarkan sebagai berita. Itu kerja wajib. Itu kerja wartawan yang banyak orang tidak nampak tetapi ia satu kerja yang sangat mustahak.

Mengesahkan maklumat bukan satu kerja baru — memang itulah kerjanya sejak dulu. Itulah juga kerja jeneral perang Athens, Thucydides yang dikenang sebagai sejarawan apabila dia merakamkan kisah perang antara orang Athens dan Sparta dalam kitab Sejarah Perang Pelopponesia lebih 2,000 tahun yang lalu.

Kenapakah kerja mengesahkan maklumat itu penting? Itulah kerja yang akan mematikan khabar angin, mengetepikan gosip liar dan memberi terang kepada ingatan yang kabur. Itulah juga kerja yang menjelaskan kemusykilan serta mendedahkan tipu muslihat dan pembohongan.

Makanya, apabila akhbar Mingguan Malaysia melaporkan kononnya bekas pemimpin Parti Komunis Malaya, Ong Boon Hua alias Chin Peng meninggal dunia bukan pada Hari Malaysia tetapi sehari sebelum itu, orang wajar bertanya apakah muslihat laporan itu. Apatah lagi, asas pemberitaan iaitu mengesahkan maklumat nampaknya telah tidak dipenuhi sebelum berita itu disiarkan.

Laporan Mingguan Malaysia pada 22 September 2013 yang meragui tarikh kematian Chin Peng.

Berita itu memetik sumber yang identitinya tidak didedahkan dan tidak dijelaskan kenapa ia mahu dirahsiakan. Menurut sumber itu, Chin Peng meninggal dunia pada petang 15 September tetapi sengaja dilaporkan pada pagi 16 September ketika rakyat negara ini menyambut Hari Malaysia. Tarikh kematian itu dilaporkan dipercayai dipilih supaya Chin Peng nantinya dikenang pada hari penting dalam sejarah negara — hari pembentukan Malaysia.

Sumber itu mendakwa penangguhan pengumuman kematian itu adalah "agenda pihak-pihak tertentu kononnya mahu mengaitkan kematian Chin Peng sebagai semangat nasionalisme." Sumber itu juga dilaporkan "akan cuba bekerjasama dengan hospital di Bangkok bagi mendapatkan kesahihan maklumat yang diterima mengenai tarikh sebenar kematian pemimpin kanan PKM itu."

Ini kerja lapor dahulu semak kemudian, bukannya sahkan dahulu sebelum lapor. Laporan itu disiarkan pada 22 September iaitu kira-kira seminggu selepas Chin Peng mati. Apakah tidak boleh maklumat yang diperolehi daripada sumber itu disahkan dengan hospital di Bangkok tempat Chin Peng menghembuskan nafas akhirnya? Apakah terlalu susah untuk menghubungi pihak hospital bagi mendapatkan kepastian? Ini zaman Google dan Skype.

Tarikh mati bukan perkara main-main apalagi matinya Chin Peng ialah di sebuah hospital. Ini bukan cerita orang mati yang mayatnya dijumpai dalam longkang berhari-hari selepas kematian dan tarikh matinya hanya ditentukan dengan cara agak-agak macam dalam siri televisyen CSI.

kematian chin pengBill Kovach dan Tom Rosenstiel dalam buku mereka yang masyhur, The Elements of Journalism: What Newspeople Should Know and the Public Should Expect meletakkan kerja mengesahkan maklumat itu sebagai teras kewartawanan yang ketiga selepas tanggungjawab kepada kebenaran dan setia kepada masyarakat. Ini adalah disiplin — yang paling asas — yang dituntut daripada setiap wartawan.

"Pada akhirnya, disiplin mengesahkan maklumat itulah yang akan memisahkan kewartawanan daripada hiburan, propaganda, fiksyen atau seni," tulis dua sarjana media itu.

Mereka juga meletakkan peranan itu kepada masyarakat — yang membaca atau menonton berita. Masyarakat, kata Kovach dan Rosenstiel, mesti memberikan perhatian dan mendesak sekiranya ada sesuatu yang mereka rasakan tidak kena. Mereka mesti berani bertanya kepada media soalan-soalan yang wajar ditanya: Kenapa laporan itu disiarkan? Apa tujuannya? Apakah prinsip kewartawanan dalam proses pemberitaan itu?

Apakah yang menjadi asas kepada disiplin menyemak dan mengesahkan maklumat? Kovach dan Rosenstiel menggariskan lima perkara:

Pengarang New York Times, Joe Lelyveld pula mengingatkan dua soalan yang harus ditanya oleh wartawan sebelum mereka menggunakan sumber yang tidak ingin dikenali. Pertama, apakah yang diketahui langsung oleh sumber? Kedua, apakah muslihat sumber apabila berkongsi maklumat tersebut?

Muslihat sumber itulah yang menjadikan laporan Mingguan Malaysia seperti di halaman 3 pada 22 September lepas jadi perhatian. Ia dilihat mengabaikan proses pengesahan maklumat yang menjadi asas disiplin kewartawanan. Laporan yang tidak disahkan itu apabila diyakini oleh pembaca akan membentuk satu naratif yang baru tentang kematian Chin Peng.

Sejak kematiannya lebih seminggu yang lalu, reaksi yang diberikan oleh pelbagai pihak terhadap berita kematian itu terutamanya oleh pemerintah dan sesetengah media secara tidak langsung telah memberikan satu gambaran yang lain tentang Chin Peng dan PKM. Polemik tentang wajar atau tidak abu Chin Peng dibawa pulang serta peranan beliau dalam sejarah pembentukan negara setidak-tidaknya mencetuskan minat baru di kalangan generasi muda untuk membaca sejarah.

Ada banyak bahan bacaan lain yang ada di pasaran dan perpustakaan — versi sejarah yang tidak diajar di sekolah. Generasi muda ini akan membaca sorot pandang yang lain atau bab yang dicicirkan daripada sejarah rasmi. Keluar daripada pembacaan itu, mereka akan bertanya: Apakah semua ini?

Apa yang mereka lakukan apabila membaca semula sejarah adalah kerja mengesahkan maklumat. Ia kerja yang akan memberi terang kepada ingatan yang kabur, menjelaskan kemusykilan dan mendedahkan tipu muslihat. Ia kerja melawan lupa dan melawan tidak tahu.