tanda putera


SELEPAS tertangguh selama setahun, filem Tanda Putera ditayangkan di pawagam di serata negara mulai minggu ini. Filem arahan Shuhaimi Baba itu mengundang kontroversi selepas ia dituduh tidak memotretkan sejarah dengan jujur — kononnya ia memberikan gambaran yang buruk mengenai penglibatan pemimpin DAP dan kaum Cina dalam peristiwa berdarah 13 Mei 1969.

Shuhaimi menafikan tuduhan itu dan mempertahankan Tanda Putera sebagai sebuah fiksyen. Ia bukan sebuah filem propaganda, katanya. Beliau menegaskan bahawa Tanda Putera ialah sebuah filem tentang persahabatan bapa pendiri bangsa, Tun Abdul Razak Hussein dan Tun Dr. Ismail Abdul Rahman yang berlatarbelakangkan tragedi 13 Mei.

Tulisan ini tidak ingin meneroka benar atau salahnya soksek dan riuh-rendah tentang kontroversi itu. Tulisan ini hanya ingin menyentuh satu perkara: tentang filem dan sejarah. Apakah kita boleh belajar sejarah daripada fiksyen? Apakah kita boleh menerima sebuah filem sejarah sebagai realiti sejarah? Atau, bagaimanakah sebenarnya kita harus mengambil sikap terhadap sebuah filem sejarah?

Bagaimanakah sejarah yang dipaparkan di layar perak harus ditempatkan bersama sejarah yang telah ditulis? Bagaimanakah filem membentuk semula sejarah yang telah dikaji oleh sejarawan dan sudah tercatat dalam buku sejarah? Bagaimanakah filem menyalin sejarah sebagaimana yang difahami dalam ingatan kolektif mereka yang melalui sejarah itu sebagai sebuah pengalaman?

Sejarawan yang mengkaji filem sejarah, Robert A. Rosenstone dalam eseinya The Historical Film as Real History membincangkan dengan padat persoalan-persoalan itu. Katanya, filem sejarah dihadapkan kepada masyarakat untuk dinilai dengan segala pemahaman sedia ada masyarakat tentang sejarah itu sendiri. Sebuah filem sejarah tidak mungkin dapat berdiri sendiri dan kemudian dipaksa kepada kita untuk diterima sebagai sebuah sejarah.

Rosenstone juga menghujahkan bahawa sebuah filem sejarah adalah sebuah sejarah yang dicipta semula dengan segala kemungkinan dan keterbatasan seni filem. Filem sejarah tidak mungkin dapat memindahkan realiti sejarah ke layar perak sebagaimana ia sebenar-benarnya terjadi. Hakikat bahawa ada pelakon yang melakonkan watak dalam sejarah secara tidak langsung menjadikan filem sejarah sebagai sebuah fiksyen.

Seorang pelakon hanya boleh mendekati watak sebenar yang dilakonkannya — raut wajah dan tampangnya, cara dia berjalan dan cara dia bercakap. Seorang pelakon tidak mungkin menjadi watak itu yang sebenarnya dan kita sebagai penonton tidak harus menerima bahawa begini atau begitulah watak sejarah itu yang sebenarnya.

Abraham Lincoln
Lincoln arahan Steven Spielberg antara filem sejarah yang dicipta semula

Daniel Day Lewis dalam Lincoln arahan Steven Spielberg adalah Daniel Day Lewis yang melakonkan watak Abraham Lincoln; sama seperti mana Reza Rahardian sebagai BJ Habibie dalam Habibie dan Ainun dan tentunya, Rusdi Ramli sebagai Tun Abdul Razak dalam Tanda Putera. Sebuah filem sejarah adalah sebuah sejarah yang dicipta semula.

Sebagai sebuah ciptaan semula, sebuah filem sejarah mungkin boleh jadi menyimpang daripada sejarah yang sebenar tetapi mungkin juga ia menampilkan semangat realiti sejarah tersebut. Rosenstone menolak ciptaan yang menyelewengkan sejarah tetapi meraikan ciptaan yang memaparkan semangat sejarah.

Ambil saja debat panjang yang berlaku hanya setahun yang lalu di Hollywood tentang tiga buah filem yang tercalon untuk kategori filem terbaik bagi Anugerah Akademi: Argo, Zero Dark Thirty dan Lincoln. Debatnya ketika itu ialah sejauh mana pengarah filem mempunyai lesen kreatif untuk menokok-tambah atau memangkas dan meremehkan apa yang sebenar-benarnya berlaku dalam sejarah.

Argo misalnya dikritik keras kerana menyelewengkan banyak kejadian yang berlaku berkait dengan insiden penahanan tebusan diplomat dan kakitangan pejabat Kedutaan Amerika Syarikat di Tehran pada November 1979. Ben Affleck selaku pengarah mengada-adakan adegan tertentu bagi tujuan dramatik dan beliau melakukannya kerana menyedari tugas dan peranannya sebagai pembikin filem.

Adakah tindakannya itu salah?

Kepada sejarawan, Affleck telah berdosa kepada sejarah. Tetapi sebagai pembikin filem dia berjaya kerana adegan-adegan itu secara keseluruhannya memantapkan Argo sebagai sebuah cerita yang akhirnya mengangkat filem itu diiktiraf dengan pelbagai anugerah yang diberikan kepadanya. Selebihnya, Argo meninggalkan kesan bahawa isu keganasan yang mendasari peristiwa di Tehran itu masih lagi menjadi isu besar yang dihadapi oleh dunia sekarang — dan bagi Rosenstone, filem sejarah itu membangkitkan persoalan zaman.

Lincoln juga dikritik oleh sejarawan kerana terlalu melebih-lebihkan watak presiden Amerika Syarikat itu dan meremehkan apa yang sebenarnya berlaku berkait dengan pindaan ke atas Perlembagaan berhubung perhambaan. Seorang sejarawan yang menulis dalam majalah The New Yorker merumuskan bahawa Lincoln bukan sebuah filem yang sempurna tetapi masih juga sebuah karya yang penting. Berapa ramaikah orang yang menghabiskan buku Team of Rivals: The Political Genius of Abraham Lincoln berbanding dengan mereka yang menonton filem Spielberg itu?

Dalam konteks itu, sebuah filem sejarah jadi penting kerana ia akan membuka mata kita kepada sejarah itu sendiri. Bagaimanapun, kita sama sekali tidak dapat — dan tidak seharusnya dipaksa — untuk menerima sebuah filem sejarah sebagai sebuah realiti sejarah. Ini salah besar. Kita akan membodohkan diri sendiri kalau itulah caranya kita menanggapi filem sejarah.

Filem sejarah hanya boleh jadi jendela untuk kita melihat sebuah sejarah. Kejahatan paling besar boleh dilakukan oleh kita dalam menghadapi sebuah filem sejarah — dalam hal ini, Tanda Putera — ialah pertama, mengajak orang ke pawagam untuk "belajar sejarah". Seruan itu sedang dilakukan oleh sesetengah pihak. Kejahatan yang kedua: menerima filem sejarah itu sebagai realiti sejarah.

Sebuah filem sejarah dan sebuah kajian sejarah tidak dapat dikumpulkan bersama kerana kedua-duanya bergerak di atas jalur yang berbeza. Apa yang boleh diharapkan ialah dengan adanya sebuah filem sejarah seperti Tanda Putera — dan penuh kontroversi pula — orang akan mencari buku sejarah untuk mendapatkan pemahaman yang sebenarnya.

Tetapi ada satu masalah: dalam zaman masyarakat pasca literasi seperti sekarang — ketika mana orang boleh membaca tetapi tidak mahu membaca, ketika mana kita tidak ada budaya membaca tetapi ada budaya menonton — orang belajar sejarah bukan dengan membaca buku sejarah.

Apabila itu terjadi, kita sebenarnya mengkhianati diri sendiri serta berdosa kepada bangsa dan tanahair tercinta. Ini kerana boleh jadi kita akan tersalah memahami sejarah dan seterusnya gagal menjawab pertanyaan dari mana kita datang dan ke mana kita mahu berangkat.

Pilihan yang ada kepada kita sudah cukup jelas dan terang: Kalau mahu menonton filem, pergilah ke pawagam. Kalau mahu memahami sejarah, nah, bacalah buku sejarah.