SOALAN: Saya perhatikan ramai orang yang berpuasa. Tapi sedih, akhlaknya macam orang tak berpuasa. Macam mana kalau begitu?

JAWAPAN: Ramadan adalah sekolah yang mendidik jiwa agar menjadi lebih bertakwa. Oleh itu, sidat-sifat mazmumah (keji) hendaklah dihindari, manakala sifat-sifat mahmudah (terpuji) menjadi amalan.

Antara akhlak orang yang berpuasa ialah menjaga lidah dan mulut yang berakhlak.

Etika lidah berakhlak mulia:

1. Tidak bercakap perkara sia-sia;

Bab kurang bercakap ini yang susah untuk diamalkan. Maklumlah waktu rehat banyak juga. Kalau bukan bulan Ramadan, waktu tengah hari kita sibuk mencari makan sana-sini, tetapi bulan Ramadan tak ada aktiviti.

Masa beginilah sedap mengumpat sana mengumpat sini. Yang tak mengumpat pula boleh tumpang sekaki. Bukan apa sekadar menjadi halwa telinga.

2. Jika ditohmah dan sebagainya, hendaklah bersabar dan menjawab bahawa dia berpuasa.

3. Tidak mengumpat

Mengumpat adalah berdosa. Mengumpat ialah menyatakan sesuatu perkara yang tidak disukai olehnya. Ingatlah bahawa mengumpat boleh membatalkan pahala puasa.Penat sahaja berpuasa tapi tak ada hasil.

Bahkan ada ulama yang berpendapat bahawa mengumpat membatalkan puasa.Kalau tengok dalam masyarakat hari ini, mengumpat ini sudah menjadi darah daging.

4. Meninggalkan cakap kosong, bertengkar dan aktiviti yang tak ada faedah dan saham di dunia dan akhirat.

Biasanya cakap kosong yang paling “best” semasa puasa. Waktu lapang banyak. Pukul satu hingga dua petang yang dulunya untuk masa “lunch”, rehat dan solat Zuhur kini hanya diisi dengan solat Zuhur dan lepak. Masa ini ramai yang suka berbual kosong.

Sebenarnya berbual kosong tak jadi masalah. Tetapi apabila bab mengata orang, bertengkar, ampu sana ampu sini dan lain-lain, maka ia sudah jadi dosa.

Ingatlah bahawa bercakap baik juga satu pahala.

Daripada menimbun dosa, alangkah baiknya jika kita mengumpul pahala.