SEPULUH tahun lalu, penggunaan kad raya amat popular dalam kalangan masyarakat terutamanya menjelangnya sambutan Aidilfitri.

Bukan saja bertindak sebagai pengganti diri dalam memohon kemaafan, bahkan kad raya turut menjadi sebahagian hiasan rumah menyerikan kehadiran syawal. Namun dengan wujudnya inovasi dan pelbagai gajet komunikasi, masih adakah mereka yang menghantar kad raya ketika ini?

Siapa sangka masih ada lagi individu yang menghantar kad raya sempena bulan Aidilfitri yang mulia ini. Ini kerana bagi mereka menghantar kad raya mempunyai nilai-nilai sentimental yang tersendiri.

Masih relevan

Bagi Abang Shahrizan Abang Halil, penggunaan kad raya bukanlah satu perbuatan yang kolot. Jika orang lain berpendapat menghantar kad raya ini melecehkan, lain pula bagi penjawat awam ini.

"Sejak dari dulu lagi, menggantung kad raya ini sudah saya amalkan. Kad raya yang saya kumpulkan sejak tahun 80an lagi mempunyai kenangan manis setiap satunya.

"Bagi saya, penggunaan kad raya ini masih relevan malah seseorang individu itu dilihat lebih berusaha keras untuk menyampaikan sesuatu mesej terutamanya dalam memohon kemaafan di hari raya,"

Budaya sihat

Pemuda tinggi lampai ini turut berpendapatan, budaya hantar kad raya ini perlu diteruskan di atas pelbagai sebab.

"Percayalah, kad raya masih ada dijual. Ambillah sedikit masa di hujung minggu anda, berikan kad raya kepada rakan-rakan anda. Ini kerana kita boleh curah apa sahaja menggunakan kreativiti kita sendiri," ujarnya.

Namun katanya, kemajuan teknologi tidak harus dipersalahkan jika penggunaan kad raya sudah tidak mendapat tempat di hati orang ramai.

"Ya benar, ramai suka guna Facebook, Whatsapp dan sebagainya. Tapi ia bergantung pada diri sendiri sama ada anda mahu atau tidak," katanya.

Beliau berharap agar pemberian kad raya diteruskan oleh mereka yang masih ada hati berbuat demikian, kerana jika ia tidak lagi diamalkan, ia bakal menjadi bukti sesuatu yang menjadi kemestian itu tidak seharusnya kekal.

Arus kemodenan

Dalam arus kemodenan, manusia sememangnya mahukan sesuatu maklumat diperolehi dengan lebih cepat dan pantas. Bagi Aslaniza Mohd Asri, penggunaan kad raya dilupakan kerana mesej yang sampai agak lambat.

"Guna Whatsapp lebih cepat. Kalau hantar kad raya kena guna setem dan itulah sebabnya mereka tidak mahu hantar kad raya lagi.

"Saya rasa ia amat merumitkan kerana sekarang kita hidup dalam zaman yang serba moden dan inginkan semua benda yang pantas," tambahnya.

Meskipun begitu bagi Irdawati Sulaiman pula, beliau tidak terus menghentikan pemberian kad raya, tetapi menghadkannya.

"Saya hanya beri kad raya pada yang istimewa contohnya suami saya, kawan karib dan sanak-saudara. Kalau boleh kekalkan semula kad raya kerana di situ kita dapat mengenang kembali si pemberi kad raya yang bersungguh memberikannya kepada kita," katanya.