Mufti Besar Arab Saudi menyeru rakyat negara itu supaya membayar zakat kepada rakyat Palestin di Gaza yang sekarang sedang berdepan serangan tentera rejim Israel, lapor Al-Arabiya News.

Serangan selama dua minggu itu setakat ini membunuh sekurang-kurangnya 341 orang.

“Orang di Gaza menderita akibat keganasan, hilang tempat tinggal, rumah dan harta mereka musnah,” kata Sheikh Abdulaziz al-Sheikh dalam khutbah Jumaat di sebuah masjid di Riyadh.

Jelas mufti itu, rakyat Palestin adalah orang yang paling layak untuk menerima zakat berbanding orang lain.

“Menghulur zakat untuk mereka (orang Palestin] lebih baik daripada untuk orang lain. Mereka perlukan kita untuk bersama-sama di sisi mereka mengharungi cabaran ini dan memberikan mereka sokongan moral," tambahnya.

Dalam khutbahnya itu juga, Sheikh Abdulaziz menekankan tentang kepentingan zakat dan bagaimana umat Islam perlu membantu golongan yang memerlukan. -- Al-Arabiya News