Seorang pesara guru ditemui meninggal dunia ketika sujud di Masjid Al- Ghaffar, Jasin pada Isnin.

Mohamed Nor Abu, 72, berada dalam keadaan sujud sebelum rebah secara tiba-tiba ketika melakukan sujud terakhir solat Maghrib berjemaah.

Memetik laporan Sinar Harian, Allahyarham pada mulanya disangka pengsan oleh jemaah lain, namun disahkan meninggal dunia oleh pihak polis.

Menurut Imam 1 Masjid Al-Ghaffar, Muhammad Adib Hatim, 29, beliau hanya menyedari insiden itu setelah selesai mengimamkan solat Maghrib sebelum mendapati Allahyarham tiba-tiba rebah.

“Alhamdulillah walaupun berlaku peristiwa itu kita tetap meneruskan solat Isyak berjemaah sebelum diikuti solat tarawih.

“Satu yang kita dapat kongsikan bersama dan dapat dijadikan pengajaran yang mana saya mengenali arwah seorang yang tidak tinggal solat berjemaah, malah difahamkan arwah juga seorang yang telus ketika menjawat jawatan sebagai bendahari Masjid An Nur,” katanya kepada Sinar Harian.

Anak Allahyarham, Khairulzaman Mohamed Nor, 48, reda dengan permergian ayahnya yang dipilih Allah SWT untuk meninggal dunia ketika bersolat.

“Saya sekeluarga reda dan bersedia menerima berita pemergiannya.

“Bila terima berita arwah meninggal dalam keadaan baik di tempat yang baik, membuatkan saya bertambah reda dan bersyukur mempunyai seorang ayah yang penyayang dan berjaya mendidik kami adik-beradik,” katanya kepada Sinar Harian.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan lima anak, dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Maju.