Sudut Pandang minggu ini akan membincangkan isu "Ketaksubdan Ideologi", susulan kes melibatkan warga Malaysia Siti Aishah Abdul Wahab yang terjebak dengan kumpulan pelampau Maoist di London.

Antara pendedahan Astro AWANI sepanjang minggu ini mendapati pengikut ajaran-ajaran ini bukanlah calang-calang orang, malah terdiri daripada golongan terpelajar.

Mereka merupakan golongan aktivis pelajar era 1960an hingga 1970an dan menurut bekas Presiden Kesatuan Melayu United Kingdom, Prof Datuk Dr Mohd Abu Bakar, golongan yang terjebak dengan ideologi tersebut kebiasaannya melibatkan pelajar-pelajar cemerlang.

Jelas Mohd Abu, London pada era itu merupakan gedung ilmu yang cukup besar dan bebas. Ia sekaligus membolehkan pelbagai ideologi diperkenalkan

Pelajar yang cerdik pandai terutama yang datang dari tanah bekas jajahan Inggeris mudah berasa kagum dengan kepelbagaian ideologi yang diperkenalkan kepada mereka.

Menurut Pengarah Eksekutif IDEAS, Wan Saiful Wan Jan, akses kepada ideologi ini kurang terdapat di Malaysia terutamanya pada zaman itu.

Namun, apabila pelajar-pelajar ini ke luar negara, mereka mula terdedah dengan ideologi-ideologi ini dan dari situ mendorong mereka untuk menjadi taksub.

Isu "Ideologi dan Ketaksuban" ini akan dibincangkan lanjut dalam Sudut Pandang pada Jumaat, 9.00 malam di Astro Awani.