Medan pertarungan politik Pemilihan UMNO 2013 bermula Sabtu ini dibayangi ribuan harapan dan pandangan. Apa yang menarik, aspirasi dan harapan setiap orang atau ahli UMNO itu berbeza dalam membayangkan percaturan wajah-wajah kepimpinan yang bakal dipilih nanti.

Tetapi itulah warna-warni yang menyulami proses pendemokrasian sesebuah parti politik.

Di pentas 'tukang cerita', terutamanya dalam media arus perdana ada banyak pihak menekankan tentang perlunya setiap seorang daripada lebih 146,000 pemilih memanfaatkan keterbukaan dan demokrasi dalam UMNO untuk menterjemah imaginasi mereka dalam menyusun sebuah pasukan yang diimpikan atau 'dream team'.

Bekas Presiden parti terbesar orang Melayu itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah berkata 'Melayu mudah lupa'. Maka, harapannya pasti besar dalam memastikan setiap ahli UMNO supaya tidak lupa bahawa rakyat memerhati dengan rapat pemilihan kali ini.

Tetapi UMNO tidak terlepas daripada masalah yang melanda setiap parti politik di dunia dekad ini. Menurut ahli sains politik Barat, Daniele Caramani dalam satu penulisan akademiknya, ledakan globalisasi membuatkan kecenderungan masyarakat untuk bersama dalam perjuangan politik kian terhakis.

Bak kata sesetengah orang muda Melayu terutama daripada golongan kelas menengah atas dan berpendidikan tinggi, politik itu kotor dan membosankan.

Apa yang sedang dan telah melanda negara-negara maju itu, geloranya sedang dirasai di Malaysia. Orang Melayu dan rentak-tari politiknya juga pastinya tidak terlepas.

Parti-parti politik yang berada di tampuk kuasa negara-negara maju juga sedang berdepan gerakan masyarakat sivil yang mahukan politik itu diperkasa oleh kebijaksanaan rakyat.

Pasca Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu yang disifatkan sebagai ibu kepada segala proses demokrasi jelas menterjemah cabaran yang dihadapi oleh parti pemerintah yang ditunjangi UMNO.

Saluran undi 4 dan 5 serta hampir kebanyakan pengundi kawasan bandar cenderung memihak blok pembangkang. Apa rupa UMNO ketika menakhoda Barisan Nasional untuk berdepan 'bapa' kepada segala pilihan raya, PRU-14 nanti?

Mahu tidak mahu, hakikatnya parti politik akan sentiasa menjadi pusat kepada sebuah kerajaan yang demokratik pada abad ke 21 ini. Parti politik yang mencatur serta menstruktur pembentukan sesebuah kerajaan berpaksikan pilihan rakyat.

Tetapi dalam konteks Malaysia yang unik landskap sosialnya, UMNO berdepan cabaran mengimbangi kehendak masyarakat yang pluralistik dinamiknya.

Orang muda merentasi kaum kini bertanya apa hala tuju politik orang Melayu dalam landskap 1Malaysia dan pada masa hadapan? Apakah 'grand design' ke arah menstrukturkan semula ekonomi orang Melayu di kalangan golongan kelas menengah yang merupakan sebahagian daripada 68 peratus penduduk Malaysia yang kini bertumpu di kawasan bandar-bandar besar?

Profesor Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin dalam analisisnya mengenai pemilihan UMNO kali ini menyifatkan inilah masa untuk parti terbesar orang Melayu itu menstrukturkan semula parti itu.

Timbalan Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN) itu mengingatkan antaranya bahawa peranan 25 Ahli Majlis Tertinggi adalah lebih besar berbanding tiga naib presiden dan ketua-ketua sayap. Ini bermakna survival parti utama itu terletak di batu jemala mereka.

Setiap golongan masyarakat memerhati rapat perkembangan Pemilihan UMNO 2013. Mereka bukan sekadar memerhati tetapi mahukan perubahan. Perwakilan UMNO yang bakal memilih juga harus sedar kehebatan masyarakat di luar sistem politik. Senario itu mendorong ahli-ahli politik akar umbi cenderung berjuang melalui pentas NGO.

Secara kebetulan, pemilihan kali ini bakal berlangsung selepas Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak pulang dari Sidang Kemuncak ASEAN di Brunei. Mesej Najib di pentas ASEAN mudah, Malaysia mahu ASEAN menjadi sebuah pertubuhan serantau yang berpaksikan rakyat supaya setiap rakyat dapat rasa bahawa mereka relevan dengan pertubuhan itu.

Mesej Najib itu juga jika diteliti sesuai dengan parti politik yang diterajuinya. Oleh yang demikian, tarikh 12 dan 19 Oktober ini sedikit sebanyak menguji sejauh mana daya ingatan lebih 146,000 perwakilan UMNO sama ada mereka mudah lupa atau sebaliknya.

Atau mungkin juga kata-kata Tun Dr. Mahathir tentang `Melayu mudah lupa' sudah tidak boleh diguna pakai lagi selepas 19 Oktober ini?