29 kes jangkitan kuman pada saluran pernafasan

Seorang lagi penduduk Orang Asli, Kampung Kuala Koh Gua Musang yang mempunyai tanda jangkitan kuman di saluran pernafasan meninggal dunia pagi ini menjadikan jumlah yang meninggal dunia akibat penyakit itu tiga orang setakat ini. Mangsa yang menerima rawatan awal di Hospital Kuala Krai (HKK) sejak beberapa hari lalu dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu apabila keadaannya semakin kritikal sebelum meninggal dunia. Mangsa dipercayai menggunakan air tadahan bukit dan sungai yang dipercayai tercemar. Bagaimanapun pihak hospital belum menyalurkan maklumat lengkap berhubung perkara itu termasuk jantina dan umur mangsa.