Dewan Rakyat lulus usul penyertaan Malaysia dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik

Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul penyertaan Malaysia dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA). Pengumuman dibuat Yang Di-pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia selepas pengundian menyaksikan 127 Ahli Parlimen menyokong dan 84 Ahli Parlimen tidak menyokong. Keputusan pengundian itu adalah hasil Sidang Khas Dewan Rakyat mengenai TPPA yang berlangsung selama dua hari sejak semalam. Pandikar mengumumkan keputusan pengundian kira-kira jam 7.15 malam. Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Usul itu kemudian akan dibawa ke Mesyuarat Khas Dewan Negara mengenai TPPA esok. Ketika ini terdapat 222 Ahli Parlimen di Malaysia. 26 pindaaan dijangka dilakukan ke atas 17 undang-undang dan peraturan berkaitan TPPA yang melibatkan negeri dan Persekutuan, perlu dipinda dalam tempoh dua tahun. Selain Malaysia, 11 lagi negara yang terlibat dengan TPPA ialah Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Singapura, Mexico, New Zealand, Peru, Amerika Syarikat dan Vietnam yang memuktamadkan rundingan pada 5 Oktober 2015.