Kerajaan dicadang untuk membuka penempatan baru dan memindahkan semua mangsa banjir terutama yang tinggal di tebing sungai sebelum melaksanakan sebarang projek tebatan banjir.

Pakar hidrologi dan pemodelan banjir yang juga Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Pembangunan) UniSZA, Prof. Dr. Mohd. Ekhwan Toriman berkata, projek tebatan banjir kemudian boleh dimulakan selepas semua penduduk di kawasan berkenaan dipindahkan ke lokasi yang strategik.

"Projek tebatan banjir adalah rancangan jangka masa panjang, pindahkan penduduk terbabit (tinggal di tebing sungai) ke bandar baru yang selamat.

"Mungkin kerajaan boleh mengambil model penempatan Felda dan diaplikasi kepada penduduk berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Pada awal bulan, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan projek tebatan banjir di seluruh negara akan menjadi antara keutamaan dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) sebagai langkah untuk mengatasi bencana banjir pada masa akan datang.

Sehubungan itu kata Najib, jabatan-jabatan yang berkenaan akan diminta mengemukakan laporan dan kajian sebelum perinciannya dapat ditentukan.

Sebelum ini, Mohd. Ekhwan menjelaskan, pengurusan banjir yang lebih efisien boleh dilakukan agar kerosakan mahupun kemalangan mampu diminimumkan.

Jelasnya, daripada tahun ke tahun kesan banjir akan semakin membesar walaupun taburan hujan sama.

Ujarnya, ia berlaku disebabkan oleh pembangunan di sesetengah kawasan yang berbeza.

Dalam pada itu jelas Mohd. Ekhwan, untuk jangka masa pendek, beberapa prosedur pencegahan boleh dimulakan segera.

"Ia termasuk mendalam dan meluruskan sungai atau pembinaan empangan yang dapat mengawal air daripada melimpah.

"Kita tahu masalah ini akan berulang setiap tahun dan paling penting sekarang selesaikan penempatan semula penduduk mengikut acuan felda dan projek tebatan boleh dimulakan," jelasnya.

Pada 2013, Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Datuk Makhtar Mustapha berkata, projek tebatan banjir lembangan Sungai Kelantan berharga RM266 juta yang dilaksanakan oleh Kerajaan Pusat sudah disiapkan sekali gus bakal menyelamatkan kawasan berkenaan daripada terus dilanda banjir akibat limpahan air sungai ketika musim tengkujuh.

Ia merangkumi komponen utama seperti benteng sepanjang satu kilometer di Kampung Penambang, dinding penahan banjir di Kampung China sehingga ke belakang Istana Kota Lama sejauh 2.24 kilometer, tambahan dinding konkrit, pintu air dan pembinaan 26 sistem saliran.

Projek tersebut dilaksanakan bagi menyediakan infrastruktur tebatan banjir bagi mengatasi masalah banjir kilat ekoran limpahan air Sungai Kelantan di bandar Kota Bharu.